Selasa, 9 Februari 2016

Melaka ketika dan selepas Portugis . Bahagian 10

Tidak berapa lama kemudian Albuquerque berjaya mengumpulkan armada lautnya yang terdiri daripada 10 buah kapal dengan kekuatan 300 anak kapal. Armada ini diketuai oleh kapten Fernao de Andrade dan dibantu oleh Lopo de Azevedo. Albuquerque juga membahagi-bahagikan harta kepada setiap kapal dimana harta rampasan perang yang berpeti-peti ini akan dibahagikan kepada setiap anak kapal jika mereka berjaya belayar balik ke pengkalan Portugis di India.

Kapten Fernao Peres, ketua bagi armada itu bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga perubahan angin monsun tiba. Ketika itu nanti kesemua Jong yang dihantar ke Moluccas, Banda, Timor dan beberapa tempat dari arah timur Selat Melaka akan tiba dengan membawa bekalan ubat-ubatan dan barangan dagangan. Kesemua bekalan ini nanti akan dipindahkan ke kapal Galleon Portugis yang diketuai oleh Diogo Mendes de Vasconcelos. Kapal-kapal di dalam armada Diogo ini sebenarnya adalah berperanan khas untuk tujuan perdagangan sahaja dan bukannya seperti armada perang Fernao. Armada laut Diogo yang sarat dengan barangan berharga itu nanti akan belayar terus menuju ke Portugal tidak seperti armada Fernao Peres yang akan berakhir di India.

Kesemua arahan berkenaan persiapan pemergian Albuquerque itu nanti dan juga hal ehwal pentadbiran di Melaka telah sedia untuk dilaksanakan. Akan tetapi, pada satu hari datanglah deligasi yang mewakili penduduk Melaka datang berjumpa Albuquerque membawa satu petition. Mereka mewakili suara bagi kaum Kalinga, Pegu, Jawa dan penduduk Muslim dari luar Melaka.

Mereka mengingatkan Albuquerque bahawa pentadbiran Portugis di Melaka masih baharu dan orang ramai masih tidak berasa aman dan selamat sepenuhnya di bawah naungan Raja Portugal yang asing dan jauh itu. Malah terdapat juga sekumpulan penduduk dan orang-orang Jawa yang masih terang-terangan memberontak. Deligasi ini mahukan Albuquerque terus berada di sini untuk menjaga Melaka . 

Mereka, orang-orang tempatan yang bersumpah taat setia kepada penjajah yang menakluk mereka dengan peperang yang dahsyat itu kini tidak segan silu merayu kepada Albuquerque agar tidak balik ke India sekurang-kurangnya sehingga musim monsun berikutnya. Mereka juga sanggup membayar apa jua kos perdagangan dan juga sanggup menyara semua anggota tentera Portugis dengan memberi mereka harta benda milik mereka sendiri asalkan armada Portugis itu terus kekal di Melaka.

Mereka juga membayangkan jika sesuatu yang buruk berlaku kelak maka Albuquerque akan dipertanggungjawabkan kerana pergi meninggalkan mereka . Lagipun kelancaran pentadbiran di Melaka masih bergantung kepada Albuquerque. 

Akan tetapi Albuquerque tetap dengan keputusannya untuk pergi kerana bimbangkan keselamatan koloni Portugis di India yang telah lama ditinggalkannya kerana misi menakluk Melaka. Albuquerque berterima kasih kepada deligasi yang menemuinya itu dan menyuruh mereka bersurai . Masing-masing baliklah dengan tangan kosong kerana gagal memujuk Albuquerque. 

Tiga atau empat hari kemudian Albuquerque bertolak dengan armada kecil yang terdiri dari empat buah kapal. Albuquerque menaiki sebuah kapal galleon yang bernama Flor de la Mar manakala dua lagi kapal dibawah kapten Jorge de Leao dan Pero de Alpoem. Mereka berdua ini memang dalam pelayaran dari India dan kini hendak menuju pulang. Sebuah lagi kapal yang turut sama dalam armada kecil itu ialah sejenis kapal jong yang ditawan dan Simao Martins sebagai kaptennya. Dalam armada empat buah kapal itu terdapat 60 orang Jawa yang bekerja sebagai tukang kayu dan besi. Albuquerque memilih mereka kerana orang-orang Jawa ini adalah pelaut yang mahir. Turut dibawa bersama mereka ialah isteri dan anak-anak mereka kerana telah menjadi kebiasaan bagi orang-orang Jawa untuk membawa sekali ahli keluarga ketika pergi belayar.

Walau bagaimanapun, Putera Zainal yang Albuquerque tawan dari Jongnya yang diberi nama "Bravo" hilang sebelum angkatan Albuquerque berlepas. Puncanya kerana Albuquerque menyatakan kepada putera itu yang angkatannya kali ini tersangat sedikit dan hanya ada beberapa buah kapal perang sahaja. Kekuatan Portugis yang kecil itu tidak mungkin dapat membantu putera itu mendapatkan kembali negerinya apatah lagi mengembalikan kedudukan putera itu di Pasai. 

Albuquerque mengarahkan orang pergi mencari Putera Zainal tetapi tidak dijumpai. Putera Zainal telah senyao-senyap keluar dari Melaka dan pergi untuk bergabung dengan Sultan Mahmud kerana berasa tidak puas hati dengan Albuquerque. Dia tinggal bersama dengan Sultan Mahmud untuk beberapa hari dan akhirnya dengan usahanya sendiri dia dapat menawan kembali negeri Pasai tanpa bantuan sesiapa. Tetapi kejayaan menawan Pasai itu tidaklah lama kerana akhirnya ia jatuh semula selepas itu.

Sementara itu pemberontak yang bertanggungjawab mengusir Putera Zainal dari negerinya itu awal-awal lagi telah datang kepada Albuquerque untuk berbaik-baik dengàn Portugis. Dia takut sekiranya Albuquerque bertindakbalas atas apa yang dilakukannya kepada Putera Zainal dan Joao Viegas ketika di perlabuhan Pasai. 

Dalam pelayaran balik Albuquerque ke India inilah, kapal yang dinaiki Albuquerque bernama Flor de la Mar telah karam di lautan. Ia karam di kawasan beting pasir berhampiran Aru, pantai Pulau Sumatera. Anak kapal yang terselamat telah dibantu oleh perampas-perampas kuasa dari Pasai .

Kisah berikutnya akan menceritakan apakah yang terjadi kepada kapal galleon Flor de la Mar sehingga ia boleh tenggelam dan bagaimana Portugis boleh terlibat dengan hal ehwal Pasai.


TAMAT.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan