Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 5
Pada pagi itu, kapal Albuquerque bersama-sama dengan kapal yang lain masing-masing mengibarkan bendera diraja Portugal dan diiringgi bunyi trompet mara menuju ke Melaka. Saat tentera Portugis menjejakkan kaki di bumi Melaka mereka berdoa kepada St. Jaime dan meniup trompet. Lalu menyerang tentera Melaka yang sedang menunggu. Fernao Gomes de Lemos mendahului kumpulan Portugis dan diikuti pula oleh Vasco Fernandes Coutinho, Aires de Silva, Joanne Mendes, Botelho, Simao Martins, Fernao Peres, Francisco de Tavora, Nuno Vaz de Castelo Branco, Afonso Pessoa, Goncalo Paiva dan banyak lagi.
Mereka semua berjuang seolah-olah reputasi mereka berada dalam bahaya dan menyerang dengan ganasnya menggunakan tombak lalu merempuh tembok pertahanan orang-orang Melaka. Oleh kerana orang-orang Portugis telah diberi amaran awal maka mereka dapat mengelak dari terpijak jerangkap samar dan periuk api yang ada di pantai itu dan dapatlah mereka terus mara lalu bertempur dengan tentera Melaka secara bersemuka. Bilangan tentera Melaka pula tersangat ramai berbanding tentera Portugis dan mereka bersenjatakan Musket, panah beracun, meriam besi bersaiz kecil, busur silang, lembing, dan juga tombak panjang daripada batang buluh dengan matanya daripada besi yang kelihatan seperti lidah api.
Portugis menyerang dengan kekuatan penuh dan tersusun. Tertib ketenteraan yang teratur ini menyebabkan ramai tentera Melaka yang terkorban dan ramai juga yang lari meninggalkan tembok pertahanan mereka. Mereka kemudian terus dikejar oleh orang-orang Portugis sehingga sampai di jambatan kayu yang menyeberanggi sungai Melaka . Albuquerque yang nampak orang-orang Portugis telah mara sehingga sampai ke jambatan segera memberi arahan kepada mereka agar berhenti dan jangan menyeberanggi sungai itu. Tentera Portugis yang mendengar arahan itu akur lalu berpatah balik. Oleh kerana telah kepenatan Albuquerque membenarkan mereka berehat di atas jambatan tetapi menghantar Dinis Fernandes de Melo dan Pero de Alpoem dan orang-orangnya dengan menaiki bot untuk memunggut meriam-meriam dari tembok pertahanan yang telah kosong ditinggalkan tentera Melaka.
Tentera Melaka yang berlindung di dalam bandar kota Melaka tidak jauh dari situ mula melancarkan serangan hendap menggunakan senapang Musket. Orang-orang Portugis pula bertahan di atas jambatan dan ramai yang tercedera manakala cuaca pula semakin panas terik . Selepas berbincang dengan orang-orangnya, Albuquerque memutuskan supaya tentera Portugis berundur dengan menaiki bot balik semula ke armada mereka.
Di atas kapal Albuquerque sendiri terdapat 30 orang yang cedera dan 14 lagi mati. Kebanyakannya mati kerana terkena panah beracun dan mereka tidak mempunyai penawarnya. Para kapten mula membangkang kerana Albuquerque tidak menyudahkan misi pada hari itu kerana kemenangan sudah hampir menjadi milik mereka. Perbincangan itu menjadi semakin hangat kemudian bangunlah Albuquerque lalu berkata dengan suara yang lantang:
"Tuan-tuan, saya tahu betapa kamu semua sangat bersemangat dan telah berjuang dengan bersungguh-sungguh dengan baik sekali. Saya merayu kepada anda semua agar mengambil tindakan ini dengan perlahan-lahan , walaupun ia akan menyebabkan kesukaran di pihak kita. Peperangan ini terlalu besar dan bukannya dapat ditamatkan dengan segera. Pada pendapat saya jumlah musuh terlalu ramai .Marilah kita percaya kepada tuhan kerana dengan takdir kita akan dapat juga menakluk kota ini . Jika diikutkan pendapat saya , saya mahu operasi ini dilakukan dengan cara yang paling ringan dan kurang pertumpahan darah dari pihak Portugis".
Jawapan Albuquerque itu memuaskan hati semua orang. Dan mereka mula bertenang.
Di Melaka, Sultan Mahmud yang menyedari mala petaka yang menimpanya memanggil mesyuarat dengan para pembesar. Keesokkan harinya baginda menghantar utusan kepada Albuquerque untuk bertanya mengapa dia melancarkan perang walaupun orang-orang tahanan sudah dibebaskan dan dihantar kepadanya seperti yang diminta. Baginda meminta Albuquerque memberitahunya apa yang dia mahu dan baginda akan menurut.
Albuquerque menjawab bahawa dia tidak akan berterima kasih kepada Sultan itu kerana menyerahkan para tawanan . Ini kerana Sultan berbuat begitu bukan atas nama persahabatan dan Sultan juga masih berhutang nyawa diatas orang-orang Portugis yang dibunuhnya dahulu dan bersalah kerana merampas kilang mereka sedangkan asalnya orang Portugis datang hanya untuk berdagang dengan izin Sultan Mahmud sendiri . Oleh itu untuk gantirugi semua benda yang telah dicurinya Sultan Mahmud perlu membayar dengan harga dua kali ganda . Kemudian Sultan mestilah tunduk kepada kekuasaan dan Kedaulatan Raja Portugal. Jika Sultan tidak mahu tunduk maka Kota Melaka akan dimusnahkan.
Sultan Mahmud yang menerima jawapan Albuquerque itu tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang tidak masuk akal Albuquerque yang terang-terangan berhasrat mahu menakluk Melaka dan memaksa Sultan tunduk kepada kekuasaan Raja Portugal yang kafir itu. Sultan Mahmud mula memperkukuhkan pertahanan di Kota Melaka . Semua jalan yang menuju ke arah pantai telah ditutup dengan tembok yang dibina daripada kayu balak dan tanah. Mereka menggunakan cara ini kerana Kota Melaka bukanlah sebuah kubu pertahanan. Di sebelah luar tembok yang baru dibina itu diletakkan banyak periuk api dan jerangkap samar.
Albuquerque yang nampak perkembangan yang dilakukan oleh Sultan Mahmud ke atas Kota Melaka mula berasa kesal kerana Sultan tidak mahu tunduk kepada Portugis. Selepas ini orang-orang Portugis yang sudah banyak menempuh kesukaran itu akan diuji lagi dengan lebih banyak kesukaran. Portugis sendiri tidak ada cara untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di tengah laut itu dan mereka sangat terdedah sekiranya armada laut Melaka tiba-tiba muncul dan menyerang mereka.
Di kota Melaka, orang-orang Melaka membina kubu kayu di kedua-dua bahagian jambatan terutama di bahagian tebing kanan dimana kawasan itu mempunyai jumlah penduduk yang ramai. Bahagian pentadbiran dan perniagaan letaknya di bahagian kiri tebing.
Selepas bermesyuarat dengan para kaptennya, Albuquerque telah membahagikan orang-orangnya kepada dua kumpulan yang akan menyerang Melaka khususnya di bahagian jambatan. Kerana jambatan itu adalah sangat penting dan kini giat diperkukuhkan pertahanannya oleh orang-orang Melaka dengan meletakkan beberapa buah meriam.
Dinis de Melo bangun dan memberitahu Albuquerque bahawa mudah untuk menawan jambatan itu jika mereka menggunakan kapal yang besar masuk sehingga menuju terus ke jambatan itu. Cadangan ini diterima baik oleh semua orang maka sebuah Jong yang berlabuh di pulau tempat Portugis berlabuh itu akan digunakan untuk tujuan itu. Jong itu adalah jenis yang berbesar dan mempunyai empat buah tiang layar . Kain layarnya pula telah ditukar dengan kain layar milik Portugis yang mempunyai simbol salib . Jong ini juga mempunyai enam platform yang diletakkan dengan beberapa unit meriam bersaiz lebih kecil.
Jong ini berada di bawah kendalian kapten Dom Joao de Lima . Turut mengiringgi Jong ini nanti ialah sebuah kapal yang diperintah oleh Simao Martins dan sebuah kapal galleon besar yang diperintah oleh kapten Duarte de Silva . Kesemua kapal ini mempunyai seramai 200 anak kapal dan akan diperintah oleh ketua mereka iaitu Dom Joao de Lima.
Portugis terpaksa menunggu beberapa hari sehingga kedatangan air pasang besar dimana paras air sungai akan naik dan cukup dalam supaya kapal-kapal mereka dapat memasuki sungai Melaka. Ketika air pasang besar, Jong itu ditunda menggunakan rantai sauh dimana sauh itu sendiri telah ditenggelamkan di bawah jambatan secara senyap-senyap oleh orang Portugis pada waktu malam. Semasa memulakan detik serangan untuk kali kedua ini, Albuquerque dan orang-orangnya sudah bersedia di dalam kapal masing-masing.
Apabila kedatangan kapal Jong itu disedari oleh orang-orang Melaka mereka menembaknya dengan meriam manakala Jong dan kapal-kapal pengiringnya membalas tembakan itu. Bilangan tentera Melaka pula jauh lebih ramai tetapi mereka terdedah dan tiada perlindungan maka ramailah yang terbunuh kerana dibedil dengan meriam Portugis itu. Jong itu pula mara dengan lajunya dibantu oleh keadaan sungai yang sedang air pasang besar dan dengan menarik rantai sauh yang dicampakkan di bawah jambatan itu. Sehinggalah akhirnya Jong itu sampai ke jambatan dengan bahagian hadapannya betul-betul berada di bawah jambatan.
Dari puncak tiang kapal Jong orang-orang Portugis membaling batu, periuk berisi serbuk belerang dan juga tombak ke arah tentera Melaka yang bertahan di atas jambatan . Tentera Melaka yang diasak bertubi-tubi mula berundur meninggalkan jambatan dan akhirnya lari di kedua-dua arah tebing.
Pada masa yang sama orang-orang Portugis yang menaiki bot mula mendarat . Albuquerque dan orang-orangnya menyerang di bahagian tebing sebelah Upeh manakala Nuno Vas de Castelo Branco dan orang-orangnya pula menyerang di bahagian tebing yang letaknya Istana dan masjid Agung Melaka. Mereka menyerang dengan beraninya sambil menghunus tombak-tombak panjang mereka ke arah tentera Melaka.
Tentera Melaka yang berundur dari jambatan mula bergabung dengan tentera Melaka yang bertahan di tebing sungai. Tetapi meriam-meriam Portugis yang menembak mereka dari Jong besar itu menyebabkan kemusnahan yang besar . Ada yang bertindak terjun ke dalam sungai dan akhirnya dibunuh pula oleh tentera Portugis yang sedia menunggu dengan bot masing-masing di dalam sungai.
Dalam masa yang singkat Portugis berjaya menawan jambatan Melaka yang penting itu. Albuquerque berjalan beberapa langkah di atas jambatan itu sambil memberi arahan supaya tentera Portugis yang tercedera dibawa balik ke kapal. Memandangkan aras air pasang besar itu masih tinggi, Albuquerque mengarahkan Jong yang rosak teruk itu balik semula ke arah laut. Ketika ini hari sudah memasuki tengahari dan tentera Portugis mula kepanasan kerana matahari yang memancar terik.
Rui de Araujo memberitahu Albuquerque terdapat ramai tentera Melaka yang bertahan di sebuah kubu tidak jauh dari situ dan mengesa Albuquerque supaya membunuh mereka semua. Tetapi Albuquerque tidak bersetuju kerana mereka tidak mempunyai masa lagi untuk meneruskannya pergi lebih jauh kerana tentera Portugis sudah kepenatan , lapar dan kepanasan. Dia berpuas hati dengan apa yang mereka capai untuk hari ini dan dapatlah tentera Portugis berundur balik ke armada mereka. Kebetulan hari yang bersejarah itu jatuhnya pada hari perayaan St. Lawrence. Iaitu pada hari Ahad, 10 Ogos 1511. Bersamaan dengan 15 Jumadil Al-Awwal 917 Hijrah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan