Ahad, 7 Februari 2016

Melaka ketika dan selepas Portugis . Bahagian 8

Apabila Albuquerque mendapat tahu kedatangan mereka, dia memanggil para pegawainya dan kapten-kapten Portugis kononnya untuk mendengar luahan mereka. Apabila mereka semua sudah berkumpul tiba-tiba Albuquerque mengarahkan Rui de Araujo membacakan pertuduhan terhadap Utimutiraja, kemudian surat pengkhianatan yang ditulis sendiri oleh Utimutiraja kepada putera Alauddin ditunjukkan. Jelas tersebut di dalam surat rahsia itu akan tindakan yang telah dilakukannya.

Utimutiraja sungguh terkejut apabila perbincangan hari itu tiba-tiba bertukar menjadi sebaliknya dan kedudukannya kini dalam bahaya. Dengan adanya bukti pengkhianatan ini, Utimutiraja, anaknya dan cucu lelakinya yang kini telah dewasa kesemuanya ditahan. Bagaimanapun Pateh Kadir yang turut hadir sama ketika itu dibenarkan pulang. Afonso de Albuquerque mengarahkan Utimutiraja dibicarakan di mahkamah dan akan disaksikan oleh seluruh penduduk Melaka dan orang asing.

Akibat dari sabit kesalahan ini, dia dipaksa mengembalikan apa yang telah diambilnya, termasuklah lebih 500 orang Hamba Raja dan Hamba dari kalangan orang biasa. Arahan juga dikeluarkan supaya tembok yang dibina oleh Utimutiraja supaya dirobohkan dan parit yang digalinya turut ditimbus kembali dengan tanah. Pateh Kadir sebagai seorang pegawai baru dilantik yang menjaga kawasan Upeh dipertanggungjawabkan melaksanakan semua kerja-kerja ini. 

Akhirnya sekali Utimutiraja bersama anak lelakinya, menantu dan cucu lelakinya semuanya dihukum mati.

Apabila isteri Utimutiraja mendapat tahu berita ini dia meminta Albuquerque menanguhkan hukuman itu, dan membenarkan semua ahli keluarganya berhijrah balik ke tanah Jawa, memandangkan ramai orang di Melaka membenci mereka. Sebagai balasan untuk melepaskan mereka semua balik ke Jawa isteri Utimutiraja akan memberikan banyak emas yang sama beratnya dengan 100,000 crusados Portugis.

Albuquerque membalas permintaan ini dengan menyatakan sebagai menteri keadilan kepada Raja D. Manuel untuk Negara Portugal, dan kedaulatannya, bukanlah menjadi adat mereka untuk menjual keadilan dengan duit kerana keadilan itu adalah satu benda paling berharga di dalam dunia. 

Seperti takdir, platform yang telah dibina oleh Utimutiraja dan Dato Bendahara masih lagi wujud sehingga kini di tengah plaza Melaka. Asalnya ia dibina untuk meraikan Diogo Lopes de Sequeira semasa jamuan makan malamnya dahulu. Tetapi kini di sinilah Utimutiraja akan dijatuhkan hukuman bunuh. Utimutiraja, anak lelakinya, Patiaco dan beberapa saudara maranya semuanya dipancung selepas pendakwaan kesalahan mereka dibacakan. Patiaco, seorang Portugis yang rapat dengan Utimutiraja turut dipancung. Dialah yang bersekongkol bersama dengan yang lain, yang masing-masing ketika itu bersenjatakan keris mahu membunuh Diogo Lopes de Sequeira semasa kapten itu sedang bermain chess.

Hukuman pancung ini adalah yang pertama dilaksanakan mengikut undang-undang Portugis, pada tarikh 27 Disember 1511, enam belas hari selepas para pesalah itu ditangkap.

Selepas hukuman bunuh dilaksanakan, penduduk Melaka berasa aman kerana tiada lagi kezaliman dari keluarga Jawa itu lagi. Mereka mula menganggap bahawa orang Portugis sebenarnya baik dan adil. Mereka malu kerana di sini amalan duit adalah segalanya sehingga boleh membeli apa sahaja termasuk keadilan.

Isteri Utimutiraja yang bersedih kerana kematian suami dan anaknya memutuskan untuk membelanjakan semua emas ganjaran itu memandangkan Albuquerque menolak rasuah yang dihulurkannya untuk membebaskan mereka. Dia mahu menggunakan emas yang banyak itu untuk menuntut bela atas kematian mereka semua. Dia merancang untuk bertemu dengan Pateh Kadir dan menjanjikan enam atau tujuh dulang emas jika dia boleh membalas dendam terhadap orang Portugis. Jika dia berjaya , bukan sahaja dia berkuasa terhadap keluarganya tetapi juga berhak berkahwin dengan anak perempuannya.

Pateh Kadir sekarang seorang yang berkuasa di bandar itu setelah jawatan Utimutiraja diberikan kepadanya oleh Albuquerque. Semasa Utimutiraja masih hidup dia tidak berapa baik dengan Utimutiraja kerana sifat tamak kawannya itu. Tetapi apabila janda Utimutiraja datang dengan hasratnya itu membuatkan Pateh Kadir berfikir untuk mengambil peluang ini bagi memperkukuhkan kedudukannya. Jika keluarga yang ternama dan kaya seperti Utimutiraja jatuh ketanggannya maka mudahlah Pateh Kadir untuk bangun memberontak melawan Portugis dan akhirnya menjadi ketua untuk seluruh Melaka.

Pateh Kadir tidak mahu terlibat secara langsung yang boleh merugikannya. Maka pada suatu subuh dia sengaja membakar sebuah kampung yang berhampiran dengan Upeh . Kampung ini didiami oleh kaum Ceti dari Kalinga. Malah isteri Utimutiraja juga pernah mengadu bahawa kaum Ceti inilah penyebab kematian ahli keluarganya kerana tuduhan yang dilemparkan mereka sehingga akhirnya Albuquerque percaya.

Ketika Albuquerque menyedari kebakaran itu dicetuskan oleh orang Jawa, dia mengarahkan kaptennya untuk menyiasat dan mengarahkan Pateh Kadir balik semula ke Upeh.

Tidak berpuas hati dengan kerosakan yang dilakukannya di kampung itu Pateh Kadir menyuruh pengikutnya yang tinggal di dusun untuk melakukan pekara yang sama , dan juga keganasan untuk menakutkan orang-orang Melayu pula. Semua orang tahu yang orang Jawa yang terdesak itu tidak takut mati asalkan dapat membalas dendam.

Keganasan orang Jawa ini berpanjangan sehingga sepuluh hari sehinggalah Pateh Kadir berdamai dengan Albuquerque. Untuk mendapatkan kepercayaan Albuquerque dan hasratnya untuk berkhidmat dengan Raja Portuga, Pateh Kadir menenangkan para pengikutnya. Dia mengarahkan penentangan dihentikan dan pengikut-pengikutnya pun bersetuju.

Albuquerque pula mendapat tahu bahawa Pateh Kadir sememangnya berhajat untuk berkahwin dengan anak perempuan Utimutiraja itu. Jelaslah yang keganasan yang dicetuskan oleh Pateh Kadir adalah untuk menarik hati bakal isterinya dan bukannya untuk menuntut bela. Albuquerque juga perasan Pateh Kadir selalu memuji orang-orang Jawa sebagai orang yang paling kaya dan paling berkuasa di Melaka, dan dengan jawatan baru yang diberikan Albuquerque kepadanya maka status Pateh Kadir semakin meningkat. Dia sememangnya calon yang paling layak untuk anak perempuan Utimutiraja itu. Maka dengan layanan baik yang diberikan Albuquerque kepadanya maka Pateh Kadir berpuas hati dan tunduk patuh kepada pentadbiran Portugis.

Walau bagaimanapun, hubungan baik ini tidak berkekalan kerana taraf yang diberikan oleh Albuquerque kepadanya akhirnya menjadikan Pateh Kadir kembali memberontak. Setelah berkahwin dengan anak perempuan Utimutiraja, Pateh Kadir merasakan dia adalah ketua kepada sebuah keluargan yang paling kaya dan berpengaruh. Dia juga tahu yang ibu mertuanya masih mahukan dia menuntut bela atas kematian suami dan anaknya kerana itulah syarat yang dipersetujui ketika berkahwin dengan anak perempuannya itu.

Albuquerque pula masih menunggu ketibaan musim monsun supaya armadanya dapat belayar kembali ke India. Setakat ini Pateh Kadir hanya menunjukkan sikap ingkar kepada arahan Albuquerque. Dia tidak terlibat dalam sebarang penentangan terhadap Portugis.


BERSAMBUNG.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan