Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 2
Disebelah lain Jong pula Galleon kapten Francisco de Tavora dan Fernao Peres cuba untuk merapatinya tetapi kapal galleon mereka sangat rendah. Maka tidak dapatlah orang-orang Portugis itu memanjatnya. Bagaimanapun dari tiang kapal galleon mereka yang tinggi itu orang-orang Portugis dari kapal Francisco de Tavora menghujamkan lembing-lembing dan batu ke arah Jong. Anak kapal Jong itu pula membalas dengan membaling lembing, batu, periuk-periuk berisi serbuk bedil dan banyak benda lagi ke arah kapal Tavora dan juga Albuquerque. Oleh kerana menerima terlalu banyak kerosakkan maka galleon-galleon Portugis itu terpaksa menjauhkan diri dari Jong.
Disekeliling Jong tembakan-tembakan musuh menghujani Jong tanpa henti . Jong yang terkepung itu bertahan selama 2 hari 2 malam lamanya sehinggalah Albuquerque bosan kerana kegagalan seluruh armadanya menumpaskan Jong yang hanya satu itu. Albuquerque kemudian mengarahkan tenteranya hanya membedil bahagian kemudi Jong itu sahaja. Usaha itu berhasil menyebabkan salah satu tiang Jong itu patah dan beberapa orang anak kapal Jong terbunuh. Maka anak kapal Jong itu pun menyerah diri dengan mengibarkan bendera putih.
Sebuah bot diturunkan dari kapal Jong itu dan menuju ke arah galleon Albuquerque. Apabila mereka sampai Albuquerque bertanya adakah kapten Jong juga ada bersama mereka . Anak-anak kapal Jong menjawab tidak kerana kapten masih berada di atas Jong. Kerana kapten mereka ialah seorang putera kepada Sultan Pedir dan mereka sebenarnya dalam perjalanan menuju ke Melaka.
Albuquerque bertambah benci setelah mengetahui Jong itu kepunyaan kerajaan Pedir. Dia berkata kepada mereka jika awal-awal lagi Jong itu menurunkan layar dan menyerah diri tidaklah Portugis bersusah payah membedil mereka selama dua hari berturut-turut. Dia mengarahkan Fernao Peres dan Francisco de Tavora pergi menangkap anak Raja Pedir itu dan bawa dia berjumpa dengannya.
Anak-anak kapal Jong kembali ke Jong mereka diikuti oleh dua orang kapten Portugis di belakang mereka. Apabila mereka naik didapati anak Raja itu ialah seorang budak yang berumur dalam lingkungan 12 atau 13 tahun sahaja. Pakaiannya lengkap laksana seorang Raja dan dikelilinggi oleh 4 orang pembesar. Anak Raja itu turun dari Jongnya dengan menggunakan tangga setinggi 20 kaki. Bagitulah tingginya Jong itu.
Apabila anak Raja itu bertemu dengan Albuquerque dia disambut dengan baik. Trompet dibunyikan dan dia diberikan penghormatan penuh. Kemudian dia duduk di atas kerusi bersebelahan dengan Albuquerque. Anak Raja itu lengkap berpakaian seperti seorang putera dan dihiasi dengan permata dan emas. Tidak ubah seperti seorang Sultan.
Albuquerque bertanya mengapa dia tidak menurunkan layarnya apabila tahu kapal Portugis datang kepadanya. Lagipun mereka bukan musuh dan ayahanda anak Raja itu sendiri adalah sahabat kepada Portugis. Putera itu menjawab sebagai anak Raja dia tidak boleh menurunkan layar apabila disuruh kerana ini ialah kapal diraja dan bukannya kapal dagang. Sebagai anak Raja dia perlu mempertahankan maruahnya dan dia gembira dan berasa bangga kerana berjaya melawan seluruh armada perang Portugis itu. Sekarang dia sudah menyerah dan terpulanglah kepada Albuquerque untuk menghukum mereka.
Albuquerque kagum apabila mendengar penjelasan anak Raja itu. Dia berkata bahawa apa yang anak Raja itu lakukan adalah merbahaya dan dia boleh terbunuh kerana dibedil meriam. Anak Raja itu menjawab jika ditakdirkan dia mati maka tiada sesiapa pun yang akan kata yang anak Raja Pedir mati sebagai pengecut.
Albuquerque berkata dia tidak patut mencari penghormatan sebegitu daripada orang Portugis kerana akibatnya amat buruk. Jika tidak kerana dia anak Raja Sultan Pedir pastilah Albuquerque sudah membunuhnya sekarang dengan memancung kepalanya dan Jong diraja itu pula akan dibakar hangus kerana enggan menyerah.
Albuquerque berkata lagi jika layar itu diturunkan dia akan dianggap sebagai kawan bukannya lawan . Dan sekiranya sampai sekarang dia tidak menyerah juga maka Portugis akan terus membedil Jong itu sehinggalah ia tenggelam. Selepas itu pasti Sultan Pedir akan memusuhinya kerana membunuh puteranya. Oleh itu Albuquerque mahu tindakan seperti ini jangan lagi diulangi. Albuquerque juga menyatakan rasa simpatinya di atas kehilangan orang-orang yang mati itu dan kerosakan yang dialami.
Anak Raja itu berkata dengan bangganya."Kedaulatan itu adalah maruah saya daripada kehilangan Jong itu, atas sebab ini awak maafkanlah saya".
Albuquerque menjemput putera itu tinggal di dalam kapal galleon Flor de la Mar ini dan pergi bersamanya ke Melaka. Sebuah bilik yang cantik dan lengkap disediakan bersebelahan dengan bilik Albuquerque. Pelawaan itu diterima oleh putera itu kerana ia adalah satu penghormatan untuk menemani Albuquerque, ketua bagi armada perang Portugis. Kemudian Albuquerque mengarahkan sebatang tiang layar dibawa ke Jong itu supaya ia boleh digunakan untuk mengganti tiang layar yang patah kerana dibedil meriam itu.
Albuquerque membawa putera itu sehinggalah sampai ke Melaka supaya dia dapat digunakan sebagai orang tengah untuk berunding dengan Sultan Mahmud. Akan tetapi apabila putera itu melihat kedatangan Portugis bukanlah berniat baik dan perang pun meletus dan ramai orang Melaka yang mati, maka putera itu lari bersama isteri-isterinya dan para pembantu diraja.
Albuquerque membiarkan putera itu pergi dengan Jongnya balik ke Pedir. Dia menulis sepucuk Surat kepada Sultan Pedir menceritakan apa yang telah dilakukan oleh puteranya dan memuji keberanian putera itu melawan seluruh armada perang Portugis dengan hanya sebuah Jong. Dia adalah seorang anak yang baik tetapi dia akhirnya bertindak lari kerana tidak percaya untuk terus bersahabat dengan Albuquerque setelah melihat sendiri peperangan yang dibawa.
BAGAIMANA ARMADA PERANG ALBUQUERQUE SAMPAI KE PERLABUHAN MELAKA, MAKLUM BALAS SULTAN MAHMUD KEPADA CADANGAN ALBUQUERQUE, HASIL RUNDINGAN TIDAK MENCAPAI KATA SEPAKAT DAN SERANGAN PORTUGIS KE ATAS MELAKA.
Armada perang Albuquerque sampai juga ke Melaka pada pertengahan bulan Julai setelah bersusah payah mengharunggi perubahan cuaca yang tidak menentu. Oleh kerana keadaan ribut dan laut bergelora maka armada perang Portugis itu berlabuh berdekatan dengan sebuah pulau di sebelah selatan Melaka yang terlindung dari ribut. Pulau ini mempunyai banyak bekalan air dan kayu api dan pokok bakau yang tumbuh disekitar pulau ini memberikan perlindungan daripada ribut yang membahayakan armadanya.
Turut berlabuh tidak jauh dari situ ialah kapal-kapal dagang dari India. Kebanyakannya dari wilayah Cambay yang membawa pelbagai muatan terutamanya kain. Armada perang Portugis berlabuh dalam keadaan formasi tersusun dengan bendera salib Portugis berkibar megah. Apabila mereka berlabuh, datanglah bot-bot kecil dari kapal pedagang India dengan membawa bahan makanan untuk dijual kepada orang Portugis. Orang Portugis yang sudah lama di laut gembira mendapat bekalan makanan yang segar dan jualan pedagang itu pula menjadi sangat laris.
Albuquerque menghantar Dinis Fernandes de Melo ke kapal dagang Cambay itu untuk menjemput ketuanya datang bertemu Albuquerque. Mereka kembali dengan membawa seorang kapten beragama Islam dan ketua bagi 3 buah kapal dagang. Kapten itu berbesar hati menerima pelawaan Albuquerque itu dan dia dilayan dengan baik. Kemudian Albuquerque memberikan surat kepada kapten Cambay itu supaya dapat diberikan kepada Sultan Mahmud yang menjelaskan kedatangan armada perang ini adalah kerana mahu membebaskan tahanan Portugis yang ditangkap oleh Sultan Melaka.
Dia mahu Sultan Mahmud segera membebaskan tahanan Portugis dengan segera. Selepas itu baharulah Albuquerque bersetuju untuk berunding akan perjanjian damai dan syarat-syarat yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Selepas Sultan Mahmud menerima surat Albuquerque itu baginda segera bermesyuarat dengan para pembesarnya yang terdiri dari orang tempatan dan asing. Dalam mesyuarat itu pembesar dari orang tempatan bersetuju untuk berdamai demi untuk mengelakkan perang tetapi wakil orang asing yang diketuai oleh Datuk Shahbandar tidak bersetuju. Dia berkeras menyatakan yang orang Portugis bukannya datang semata-mata untuk membebaskan tawanan kerana mereka membawa armada perang yang sangat besar. Dia yakin apabila tawanan sudah dibebaskan kelak Portugis akan melancarkan perang ke atas Melaka. Dia berkata jika betul Portugis hendak sangat membebaskan tawanan, mereka hanya perlu menghantar tidak lebih dari 3 buah kapal sahaja dan itu sudah memadai. Bukannya dengan membawa seluruh armada perang.
Bersambung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan