Sabtu, 13 Februari 2016

Penemuan Meriam Kesultanan Melayu Melaka Di Goa, India



Assalamualaikum.

Surat khabar Harian Metro semalam menceritakan penemuan beberapa meriam yang dipercayai berasal dari zaman kesultanan Melayu Melaka. Meriam-meriam yang mempunyai simbol padi dipercayai adalah simbol yang sama digunakan ketika zaman kerajaan Melayu Melaka. Meriam-meriam itu kini berada di sebuah runtuhan kota milik Portugis di Goa, India. Tersadai di situ bergelimpangan di atas tanah.

Okay ini satu penemuan yang menarik. Sekarang kita tahu beberapa artifak zaman Melaka boleh didapati di Goa, India. Semasa zaman Portugis berkuasa di Melaka kira-kira 500 tahun dahulu, Goa dikenali sebagai Cochin dan ia merupakan pengkalan Portugis paling penting di Asia. Dari Goa, Portugis menghantar expedisi pertama ke Melaka yang diketuai oleh Diogo de Sequiera. Kemudian diikuti pula ekpedisi kedua 4 tahun kemudian pada tahun 1511 yang diketuai Alfonso de Albuquerque. Ekpedisi Alfonso adalah ekpedisi yang berjaya menakluk empayar Kesultanan Melayu Melaka dan seterusnya Portugis bertapak kukuh di Melaka selama 130 Tahun sebelum mereka dikalahkan pula oleh Belanda dengan bantuan dari Sultan Johor.

Tempoh kekuasaan mereka yang selama 130 tahun itu adalah satu tempoh yang tersangat panjang maka tidak hairanlah Portugis galak membawa keluar khazanah dari bumi Melaka khususnya meriam-meriam Melayu ke Goa . Ini kerana pada masa itu kedudukan pengkalan di Goa adalah sangat penting dan sering pula menjadi sasaran dari persaing Portugis terutamanya dari Inggeris dan Belanda yang mahu memecahkan monopoli laluan perdagangan Portugis di Asia.

Meriam-meriam ini hanyalah sekelumit daripada peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Seandainya kapal Flor de la Mar tidak tenggelam pasti lebih banyak khazanah yang mungkin dapat kita tatapi oleh generasi hari ini. Kapal Flor de la Mar yang dinaiki oleh Alfonso itu telah sahih karam kerana berlangar dengan batu karang berhampiran perairan Aru, pulau Sumatera. Ketika itu armada Portugis yang bertolak dari Melaka ke Goa adalah berjumlah 4 buah kapal. Salah satu daripadanya adalah kapal jenis Jong. Setiap kapal membawa muatan harta tetapi  yang paling berharga adalah muatan yang dibawa oleh kapal Flor de la Mar.

Flor de La Mar terlanggar batu karang pada waktu malam dan mula tenggelam secara menegak.  Kemudian bebanan kargonya yang berat itu menyebabkannya terbelah dua. Serpihan badan kapal yang berterabur itulah yang dijadikan rakit untuk menyelamatkan diri oleh mangsa-mangsa yang terselamat. Dan ajaibnya salah seorang mangsa yang terselamat itu ialah Alfonse de Albuquerque sendiri.

Mengenai harta karun dari kapal Flor de la Mar pula kemungkinan sebahagian besar dari harta itu sudah pun dicuri beratus tahun dahulu oleh orang-orang sumatera yang mahir menyelam mencari mutiara. Melainkan harta-harta yang berat seperti dua buah patung singa pemberian Maharaja China kepada Sultan Melaka yang menjadi dambaan Alfonso sehingga ke akhir hayatnya.

Tengok entry blog ini yang bertajuk "Tenggelamnya Kapal Flor de la Mar".

 
Berikut adalah keratan akhbar Harian Metro yang melaporkan Dr Rohaidah Kamaruddin, meneliti meriam di kota tinggalan Portugis di Goa, India.

KUALA LUMPUR, 13 Feb — Meriam yang pernah digunakan Hang Tuah, mempunyai simbol padi, kini tersadai di pantai India selepas dirampas Portugis, kata seorang penyelidik.

 “Sekurang-kurangnya 10 meriam dipercayai milik kesultanan Melayu Melaka dan pernah digunakan oleh Laksamana Hang Tuah ditemui di Kota Cabo da Rama iaitu kira-kira sejam perjalanan dari Goa,” kata Dr Rohaidah Kamaruddin.

 “Meriam itu mempunyai simbol padi yang diperbuat daripada besi campuran digunakan untuk menangkis serangan musuh,” kata pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) itu seperti dilapor Harian Metro.

Sewaktu kawasan ini dikuasai penjajah Portugis, kota berkenaan dibina bagi memantau perairan Goa daripada ancaman musuh.

Alfonso de Albuquerque, seorang jeneral Portugis, menghadiahkan senjata itu kepada Vasco Da Gama, wakil penjajah di India, atas pertolongan menakluk Melaka. Da Gama terkenal sebagai tokoh peneroka laluan laut terulung yang berjaya menghubungkan Eropah dengan Asia.

Rohaidah, seorang pensyarah kanan di Jabatan Bahasa Melayu UPM, berkata sehingga kini tiada usaha membawa pulang meriam-meriam itu untuk disimpan sebagai artifak sejarah.

Beliau sebelum ini cuba membuktikan Hang Tuah seorang pahlawan yang nyata, bukan mitos. Tahun lalu, beliau mendakwa laksamana itu pernah bertemu Leonardo da Vinci, artis dan ahli sains terkenal Itali zaman itu.

Dr Rohaidah menjalankan kajiannya bersama Dr Hashim Musa, seorang profesor di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.

Dalam laporan hari ini, Dr Rohaidah berkata semua meriam itu tersadai di beberapa lokasi bersejarah Goa dan ramai menganggap ia buatan Portugis walau ia dicipta oleh orang Melayu.

Mengikut sejarah, tentera Portugis yang diketuai de Albuquerque membawa segala rampasan termasuk meriam, emas, perak dan manuskrip ke Goa sebelum menyerahkan kepada kerajaan mereka.

Dr Rohaidah, yang pernah berkunjung ke lokasi-lokasi bersejarah di Goa, berkata rangka besi dan tembikar yang mempunyai ukiran bunga teratai, sebagai simbol kesultanan Melaka, ditemui di gereja di situ.

Artifak itu dilaporkan digunakan untuk menyimpan harta milik Melaka sebelum dirampas Portugis pada 1511. “Jika kajian menyeluruh dilaksanakan, pasti [kita] menemui barangan kesultanan Melayu Melaka termasuk milik Hang Tuah,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan