Rabu, 10 Februari 2016

Tenggelamnya kapal Flor de la Mar .

Tenggelamnya kapal Flor de la Mar . 

Perlulah diketahui bahawa kehilangan setiap satu kapal galleon Portugis itu bermakna kehilangan banyak nyawa daripada peringkat orang bawahan sehinggalah ke pihak anak bangsawan. Lebih malang lagi orang Portugis yang tamak dan dahagakan darah itu meninggalkan negeri Melaka yang baru mereka jarah dengan menyumbat kesemua kapal galleon mereka dengan sepenuh-penuh harta . Tetapi akhirnya usaha mereka itu akan menjadi sia-sia kerana akhirnya mereka akan kehilangan segala yang dirampas itu tenggelam di dasar lautan . Di situlah kubur Portugis yang paling termahsyur dan definisi kerugian paling besar sejak mereka memulakan misi ketenteraan menakluk Melaka.

Afonso de Albuquerque meninggalkan Melaka dengan menaiki kapal galleon Flor de la Mar yang sarat dengan harta rampasan yang dicuri dari empayar Kesultanan Melayu Melaka. Dia belayar sehinggalah sampai ke negeri Aru iaitu di penghujung tempat yang diberi nama Timia Point di Sumatra. Di situlah pada waktu malam yang gelap galleon Albuquerque yang berat dan sarat muatan itu terlanggar batu karang lalu pecahlah ia kepada dua bahagian . Dikatakan kapal galleon Flor de la Mar itu sudah terlalu usang manakala laut pula sangat bergelora dan ini melengkapkan tragedi karamnya kapal berserta muatan khazanah Melaka yang tidak ternilai itu.

Ketika menyedari kapalnya pecah dan sudah tidak dapat diselamatkan lagi Albuquerque dan orang-orangnya semakin panik kerana tidak dapat meminta sebarang bantuan dari tiga lagi kapal Portugis yang berada di dalam armada yang sama . Ini kerana suasana malam di tengah laut yang sangat gelap menyukarkan mereka untuk berkomunikasi diantara kapal-kapal itu. Semua orang hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri sendiri dan akhirnya kapal galleon kebanggaan Albuquerque itu karamlah dengan pantas ke dasar lautan.

Ketika Flor de la Mar sudah karam sepenuhnya dan hilang dalam gelap malam, Dinis Fernandes de Melo mengarahkan beberapa orang yang terselamat menaiki sebuah rakit dari serpihan kapal dan duduklah mereka semua di dalam rakit itu sehingga ke pagi. Kapten Pero de Apoem , yang belayar di belakang kapal galleon Albuquerque dengan bersusah payah dan berisiko turun dengan bot kecil untuk membantu mangsa-mangsa yang terselamat. Ajaibnya salah seorang yang diselamatkan itu adalah kepala orang Portugis itu sendiri iaitu Albuquerque yang nyaris maut ditelan laut.

Ketika Flor de la Mar dalam keadaan kelam kabut, Albuquerque cuba untuk menyelamatkan seberapa banyak harta daripada karam ditelan laut. Tingkah lakunya tidak ubah seperti sejarah Caesar menyelamatkan hartanya ketika kapalnya karam. Ditakdirkan tiada apa yang sempat dicapai oleh Albuquerque melainkan seorang budak perempuan, anak kepada salah seorang hambanya . Budak perempuan itu menggapai tangannya kepada Albuquerque meminta diselamatkan daripada lemas. Akhirnya Albuquerque berjaya menjumpai serpihan dinding kapal yang dijadikannya rakit . Sepanjang masa dia berdiri di tengah-tengah rakit itu sambil memegang tangan budak perempuan yang diselamatkannya itu. Itulah satu-satunya benda yang dapat diselamatkannya. Semua harta rampasan dari Kesultanan Melayu Melaka tiada satupun yang selamat melainkan kesemuanya karam terkubur bersama Flor de la Mar. 

Albuquerque menyesali kerugian yang ditanggungnya kerana Flor de la Mar membawa harta yang jauh lebih tinggi nilainya berbanding harta yang dipunggah oleh kapal-kapal Galleon lain. Dia terkenangkan dua buah patung singa yang ditempa daripada besi berharga, yang mempunyai ketukangan halus dan sangat tinggi nilai seninya. Patung singa ini adalah pemberian Maharaja China kepada Sultan Melaka yang terdahulu dimana patung singa ini diletakkan di pintu masuk Istana Besar Melaka . Albuquerque awal-awal lagi sudah menyisihkan patung-patung ini sebagai miliknya semasa tentera Portugis sibuk menjarah kota Melaka.

Hebatnya patung-patung singa itu sehinggakan Albuquerque mengibaratkan dia sudah kehilangan seluruh maruahnya. Albuquerque tidak berhajat dengan harta benda yang lain dan tersangat menginginkan patung singa ini untuk dijadikan sebagai memorial kenangannya dan bukti bahawa dia telah berjaya menakluk Melaka.

Mungkin beginilah bentuk patung singa pemberian Maharaja China kepada Sultan Melaka yang didambakan Alfonso itu. 


Apabila Albuquerque selamat sampai ke Cochin, dia segera menulis sepucuk surat peribadi kepada Jorge Botelho, seorang kapten kepada armada yang akan bertolak dari Cochin ke Melaka . Albuquerque meminta agar kapten itu pergi ke tempat karamnya Flor de la Mar dan meminta dia mendapatkan bantuan penduduk tempatan yang mahir menyelam untuk mencari mutiara. Bantuan penyelam tempatan ini diperlukan untuk mencari dan membawa naik patung-patung Singa ini dan Albuquerque sanggup membayar berapa sahaja harganya. Dia sanggup kehilangan seluruh hartanya daripada kehilangan maruah kerana sebagai ketua, dia telah menawan sebuah empayar yang agung tetapi kesudahannya dia balik ke India dengan hanya sehelai sepinggang.

Setelah kehilangan kapal galleon Flor de la Mar, Albuquerque juga kehilangan sebuah lagi kapal iaitu Jong yang dinaiki oleh Jorge Nunes de Leao. Bersama kapal jong itu, turut hilang bersamanya ialah 13 orang Portugis dan 30 orang tentera Malabar dari Cochin. Juga terdapat pekerja berbangsa Jawa di dalam Jong itu. Kisahnya, apabila orang-orang Jawa ini melihat kapal galleon Flor de la Mar itu karam dan kapal-kapal Portugis yang lain pula berada dalam kesusahan maka mereka orang-orang Jawa ini telah berpakat untuk memberontak dan merampas Jong yang mereka naiki. Mereka berbuat begitu kerana hanyalah mahu membebaskan diri dari terus dijadikan hamba abdi. Mereka bertindak mengemudi Jong itu jauh tersasar dari arah yang sepatutnya . Apabila Jong itu memasuki perlabuhan Aru, ia dirompak pula oleh penduduk tempatan dan orang-orang Jawa. Beberapa orang Portugis yang berada di dalam Jong pula ditangkap manakala yang lain termasuklah sahabatnya Simao Martins mati dibunuh.

Di tengah laut itu pula, mangsa-mangsa yang terselamat termasuklah yang dari kapal Flor de la Mar berenang dengan menggunakan kayu papan kapal yang dijadikan rakit. Akhirnya mereka dihanyutkan dan terdampar di pantai negeri Pasai. Di sana, Raja Pasai yang baharu sahaja merampas kuasa cuba untuk menunjukkan kebaikannya dengan menghulurkan bantuan kepada orang-orang Portugis. Raja Pasai menyelamatkan mangsa-mangsa kapal karam yang terdampar di pantainya ini dan akhirnya menghantar mereka semua ke Coromandel dengan menaiki kapal.

Afonso de Albuquerque pula telah diselamatkan oleh sebuah galleon yang ada didalam armadanya yang dinamakan Trindade. Kapten galleon itu bernama Pero de Alpoem dan dengan kapal itulah mereka semua meneruskan perjalanan balik ke India. Semasa kapal mereka melintasi teluk Bengal di Ceylon mereka sempat menawan dua buah kapal besar milik pedagang Islam. Sebuah kapal itu datangnya dari Dabul dan sebuah lagi dari Chaul. Kedua-duanya sarat dengan muatan yang dikumpul dari Sumatra. Bagitulah celakanya orang-orang Portugis itu yang tidak pernah insaf walau pun baru sahaja terlepas dari maut. Mereka tersangat tamak malah sempat lagi membuat dajal.

Kapal dari Chaul yang baru dirampas itu membuatkan Albuquerque ragu-ragu kerana penduduk Chaul bersahabat baik dengan Portugis dan mereka ada membayar ufti kepada Portugis. Atas sebab ini Albuquerque tidak jadi merampas kargo kapal ini tetapi dia menangkap orang yang paling penting dalam kapal itu. Tawanan itu terus diserahkan kepada Simao D' Andrade dan dikawal oleh 15 orang Portugis yang ditugaskan menjaga kapal Chaul itu kalau-kalau ia cuba belayar lari pada waktu malam.

Walaupun sentiasa diawasi , anak kapal dagang itu berjaya berlayar pergi dengan bantuan angin yang membawa mereka semua ke sebuah pulau di Maldive yang dinamakan Candalus. Di sana semua anak kapal diberi perlindungan oleh penduduk tempatan yang beragama Islam . Orang Portugis yang ada bersama mereka juga tidak diapa-apakan kerana bimbang jika Albuquerque yang bangsat itu akan bertindak membunuh tawanan pedagang Islam yang ketika itu masih ada bersamanya.

Albuquerque mengabaikan kapal Chaul yang terlepas lari itu kerana kerana situasi semasa. Dia membawa armadanya meneruskan pelayaran sehinggalah akhirnya mereka tiba di Cochin di mana orang-orang Portugis itu disambut dengan meriah oleh penduduk di sana. Sebuah pesta diadakan bukan sahaja untuk meraikan kejayaan Albuquerque menakluk Melaka tetapi juga kerana gembira akan kepulangan mereka ke India. Ini kerana mereka telah mendapat khabar buruk tentang tragedi yang menimpa armada Albuquerque dan mereka menyangka tiada seorang pun yang terselamat.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan