Sabtu, 13 Februari 2016

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 4

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 4


Malam itu Albuquerque mengarahkan armadanya untuk belayar menuju ke ke arah perlabuhan Melaka. Apabila sampai di sana seluruh armada itu berlabuh betul-betul menghadap kota Melaka. Kemudian pada malam itu jugalah Portugis memulakan rancangan jahat mereka. Satu kumpulan orang-orang Portugis mara ke arah pantai dengan menaiki bot kemudian mereka membakar rumah-rumah kayu yang dibina di atas air berhampiran garisan pantai. Kapal-kapal Galleon mereka pula membedil ke arah kota Melaka terus menerus lalu mengakibatkan kemusnahan yang besar. Penduduk Melaka yang terkejut dengan serangan hendap itu bertempiaran lari menyelamatkan diri. 

Tujuan Portugis membakar rumah-rumah air itu agar kawasan pantai dapat dibersihkan dari sebarang halangan. Ramai penduduk yang terkorban akibat serangan ini dan setelah semuanya lari, kawasan penempatan di pantai itu terbiar kosong tanpa penghuni dengan api yang marak menjulang membakar setiap rumah yang masih berdiri. 

Sultan Mahmud segera menghantar utusan kepada Albuquerque meminta jangan lagi menyerang Melaka kerana baginda bersetuju untuk berdamai. Baginda memberikan alasan mengapa dia lambat memberikan jawapan sebelum ini kerana baginda hendak berbincang terlebih dahulu dengan para pembesar . Baginda tidak mahu tersilap membuat perkiraan seperti apa yang berlaku sebelum ini. 

Albuquerque gembira akhirnya mendapat maklum balas yang ditunggu-tunggunya daripada Sultan Mahmud itu. Kerana Albuquerque hanya mahu menguji Melaka dan membuat kerosakan yang seminima mungkin ke atas Kota itu. Kerana akhirnya nanti kota Melaka akan menjadi miliknya juga. Walau bagaimanapun dia membalas utusan Sultan itu dengan berkata jika Sultan Mahmud fikir dengan melenggah-lenggahkan masa akan membuatkan Albuquerque bosan menunggu dan akhirnya balik ke India maka baginda sudah tersilap besar. Albuquerque tidak akan pergi begitu sahaja tanpa menakluk Melaka terlebih dahulu dan meninggalkan kota itu punah ranah. Orang-orang Portugis sudah terlalu marah dan Albuquerque sendiri tidak mampu menghalang mereka daripada menuntut bela di atas perlakuan Sultan Mahmud. Oleh itu Albuquerque mahu Sultan Mahmud bersiap jujur dan berterus terang.

Sultan Mahmud membalas pesanan Albuquerque dengan menghantar seorang utusan dari kalangan pembesar Melayu. Tetapi apabila Albuquerque melihat kedatangan utusan itu dia berkata "Baliklah kepada Sultan kamu kerana saya tahu jawapannya tidak jujur dan hanya dipenuhi dengan helah seperti mana dia memperdayakan orang-orang Portugis yang ditawannya itu. Beritahu Sultan itu jangan lagi berutus surat melainkan kali ini dibebaskan sekali orang-orang tawanan Portugis itu. Jika kamu datang lagi tanpa ditemani oleh orang-orang tawanan itu maka saya akan mengarahkan Sultan itu digantung dengan kakinya ke atas sehingga akhirnya dia mati".

Utusan itu apabila mendengar jawapan Albuquerque terus berpatah balik dan tidak lagi kembali.

Albuquerque sudah muak kerana terlalu memberi muka kepada Sultan. Akhirnya dia dan para kaptennya membuat keputusan untuk bertindak kerana mereka telah sampai sehingga ke tahap ini dan bersedia melanggar Melaka pada bila-bila masa. Albuquerque mengarahkan tenteranya bersedia dan masuk ke dalam bot manakala kapal galleon dan kapal-kapal yang lebih kecil pula diarahkan supaya bergerak lebih rapat menuju pantai. 

Apabila Sultan melihat persiapan Portugis itu maka baginda menjadi takut. Lalu baginda melepaskan seorang pemuda Portugis yang bernama Bastiao yang dihantar ke arah armada Albuquerque. Apabila Bastiao sampai ke salah satu kapal yang sedang bergerak menuju ke Melaka dia memberitahu kapten kapal itu bahawa dia membawa pesanan untuk Albuquerque. Kapal itu berhenti lalu berpusing menuju ke kapal Albuquerque.

Apabila berjumpa dengan Albuquerque maka anak muda bernama Bastiao itu berkata " Tuan, apabila Sultan Melaka nampak armada Portugis bersiap-siap untuk menyerang Melaka, baginda mengarahkan semua tawanan supaya digari dan dikawal oleh beberapa orang pengawal. Kemudian baginda berkata supaya kami memberitahu Albuquerque dan meminta agar jangan menyerang Melaka. Kerana semua tawanan akan dibebaskan. Baginda juga mahu tahu apa lagi yang Tuan Albuquerque mahukan".

Albuquerque memberitahu pemuda itu agar kembali kepada Sultan dan memberitahunya bahawa dia akan memberitahu apa yang dia mahukan tetapi hanyalah selepas Sultan Mahmud melihat sendiri yang kedatangan armada perang Portugis yang besar itu bukanlah datang ke Melaka hanya untuk balik dengan tangan kosong tanpa mencapai terlebih dahulu objektif mereka. 

Albuquerque memberitahu pemuda itu agar menyampaikan pesanan kepada tawanan yang lain yang dia akan datang membebaskan mereka semua. Pemuda itu pun pergi dan melaksanakan apa yang diarahkan . Sementara itu Albuquerque mengarahkan para kaptennya untuk terus menghampiri pantai. Apabila armada itu semakin dekat mereka mula membakar dan kemusnahan kapal-kapal yang berlabuh di sana dan terus membedil kota Melaka dengan meriam. Penduduk yang terdesak merayu kepada Sultan agar membuat sesuatu segera. Sultan dengan serta merta mengarahkan para tawanan dibebaskan dan berpesan kepada salah seorang pegawai Portugis dalam tahanan itu bahawa baginda bersedia menurut apa sahaja kemahuan Albuquerque.

Apabila para tawanan itu sampai kepada armada yang sedang bertempur itu mereka berteriak "Keamanan!, Keamanan!". Orang Portugis yang mendengar seruan ini segera berhenti , diam berdiri dan berpelukkan sesama mereka dengan rasa gembira dan menghantar isyarat kepada kapal-kapal lain agar menghentikan serangan.

Sultan yang memerhatikan perkembangan ini menghantar seorang bangsawan untuk pergi bersama-sama para tawanan itu berjumpa dengan Albuquerque dan menyampaikan hasrat baginda untuk berdamai. Akan tetapi Rui de Araujo yang baru dibebaskan itu tidak bersetuju. Dia menyuruh bangsawan itu supaya balik kerana dia sendiri akan berjumpa dengan Albuquerque dan menyampaikan pesanan Sultan itu.

Para tawanan berjumpa dengan Albuquerque dan mereka semua berpelukkan dan menangis kegembiraan. Para tawanan menceritakan betapa mereka telah disiksa kerana enggan menjadi seorang Muslim . Orang-orang Muslim dari luar Melakalah yang sebenarnya telah menghasut orang-orang Melaka agar menangkap orang Portugis kerana mereka munuduh orang Portugis membuat banyak kejahatan ketika menjajah India. 

Apabila mendengar kata-kata Rui de Araujo itu, Albuquerque bersumpah sambil mengengam janggutnya yang putih dan panjang itu bahawa dia akan menuntut bela. Rui de Araujo terus menerus memberikan maklumat tentang kekuatan kota Melaka, siapakah orang-orang yang tinggal di dalamnya dan apakah urusan mereka. Albuquerque memanggil satu lagi mesyuarat untuk membincangkan sama ada mahu terus berperang atau berdamai. Dalam mesyuarat itu mereka berbeza pendapat. Bukan semua kapten Portugis bersetuju untuk berperang. Ada yang yakin kedamaian yang dicapai melalui peperangan tidak akan berkekalan. Ketika mereka semua bertelagah untuk mencapai kata putus, maka bangunlah Rui de Araujo lalu berkata kepada Albuquerque:

"Tuan, saya tidak nampak perdamaian melalui perjanjian damai akan menguntungkan Tuan. Kerana orang-orang ini sangat bangga mengkhianati berbanding dengan semua penduduk beradap yang ada di dunia. Jika Tuan mahu mengambil untung dari Melaka maka eloklah Tuan menakluknya dengan perang. Jika Tuan berjaya menakluknya maka segala kemewahan di dunia ini akan menjadi milik Tuan".

Selepas mendengar pendapat Rui de Araujo ini maka mereka semua bersetuju sebulat suara untuk berperang. Dan mereka juga bersetuju bahawa tiada seorang pun orang Muslim yang menjadi penyebab kepada peperangan ini patut dibiarkan hidup. Mereka mesti menyerang kota Melaka sekarang juga, kerana orang-orang Melaka pasti sedang leka kerana menyangka perang sudah tamat selepas tahanan dibebaskan . Pasti mereka sedang menunggu perbincangan damai oleh Portugis sementara mereka menunggu kedatangan bantuan ketenteraan kepada Melaka.

Albuquerque mengarahkan orang-orangnya supaya bersedia. Semua kapal akan begerak menuju ke pantai dan semua bot mesti disediakan. Para bekas tahanan memberi amaran bahawa terdapat banyak jerangkap samar dan periuk api di pantai dan mereka juga mesti berhati-hati terhadap pemanah.

Peninjau askar Melaka yang memerhatikan armada portugis dari jauh segera melapurkan bahawa orang-orang Portugis sedang bersiap sedia untuk menyerang.

Apabila subuh menjelma armada Portugis bersedia dalam posisi menyerang mereka dan meriam dari kapal-kapal Galleon mula menembak ke arah Melaka. Peluru meriam berdesing menghentam kota Melaka dan berlakulah huru hara yang amat dahsyat pada pagi itu.


Bersambung



Tiada ulasan:

Catat Ulasan