Ahad, 7 Februari 2016

Melaka ketika dan selepas Portugis . Bahagian 5

Hari semakin panas menyebabkan askar Portugis yang berkubu di atas jambatan semakin tertekan. Tambahan pula mereka terus menerus menjadi sasaran pemanah dan sumpit beracun yang dilancarkan oleh askar Melaka. Askar Melaka masih ada lagi yang menjadikan teres-teres rumah dan bangunan berdekatan dengan jambatan itu untuk melancarkan serangan ke arah kedudukan Portugis.

Kerana tidak bertahan panasnya cuaca hari itu, Albuquerque mengarahkan supaya kain layar daripada kapal Galleon Portugis digunakan untuk memayungkan mereka semua yang berkubu di atas jambatan. Usaha ini melegakan askar Portugis yang kepanasan itu. Kain layar ini cukup tebal untuk melindunggi mereka dari panas terik dan juga dapat menghalang anak-anak panah dan sumpit beracun yang dilepaskan oleh tentera Melaka. Angin yang bertiup dari arah sungai menyebabkan kain layar yang membumbungi mereka itu berkibar-kibar. Ini menyebabkan sasaran anak panah yang dituju kepada mereka dapat dipesongkan. Mereka gembira kerana tiada satu pun anak panah askar Melaka yang berjaya mengenai askar Portugis.

Di penghujung hari itu, Portugis dianggap pemenang kerana kajayaan besar menawan lokasi strategik Melaka. Ketumbukan Portugis hanyalah seramai 800 orang askar dan dibantu 200 orang puak Malabarese. Askar-askar mereka hanya bersenjatakan pedang dan perisai. Apabila serangan dihentikan Afonso de Albuquerque tidak melakukan apa-apa lagi untuk hari itu dan hanya memperteguhkan kedudukan tentera Portugis di atas jambatan. Dari arah dua buah rumah yang hampir dengan jambatan askar Melaka masih melancarkan serangan sepanjang malam menggunakan pelbagai jenis senjata yang merosakkan tempat bertahan Portugis.

Apabila masuk hari kedua, Albuquerque mengarahkan satu kumpulan yang diketuai oleh kapten Jorge Botelho, Afonso Pessoa dan Simao Martins untuk menyerang tentera Melaka yang berada di rumah-rumah itu dan untuk menghentikan serangan balas askar Melaka. Askar Portugis meletakkan unit arteleri meriam ringan di beberapa teres yang ada di sekitar jambatan. Usaha mereka berjaya menghalau askar Melaka lebih jauh dan semakin sukarlah askar Melaka untuk melancarkan serangan ke kawasan jambatan. Albuquerque pula membahagikan kawasan tertentu kepada kapten-kaptennya untuk dijaga. Kesemua kawasan yang dibahagikan itu akan bersambungan dengan posisi kedudukan kapten-kaptennya.

Askar Portugis melakukan tugas dengan jayanya menghalau saki baki askar Melaka dengan menggunakan tombak mereka. Selama 9 hari berikutnya Portugis masih lagi berkuasa di atas jambatan itu. Askar Melaka pula lebih banyak menyerang kedudukan Portugis di jambatan itu pada waktu malam berbanding hari siang. Sehinggalah masuk hari ke sembilan apabila askar Melaka yang semakin lemah dan tertewas berundur ke kawasan dusun dan kawasan hutan. Separuh daripada kota Melaka menjadi kosong.

Sesiapa yang memilih untuk kekal tinggal sepanjang tempoh itu pula masih bersembunyi di rumah masing-masing. Akhirnya mereka ini juga terpaksa keluar dari persembunyian kerana kehabisan bekalan makanan dan terdesak kerana penghuni rumah ada yang sudah kebuluran. Ada yang berani membuka pintu rumah lalu keluar sembunyi-sembunyi untuk mencari makanan dan beras. Perbuatan mereka ini mengundang bahaya kerana askar Portugis yang zalim itu masih bermaharajalela.

Selepas beberapa lama, saudagar asing yang masih berlabuh di laut juga terkesan kerana kekurangan bekalan makanan akibat perang ini. Mereka mula mengusulkan kepada Albuquerque supaya diizinkan untuk kembali ke kota Melaka dan tinggal di sana sehinggalah angin monsun berubah dan mereka boleh kembali ke negara masing-masing. Permintaan mereka ini diperhalusi Albuquerque kerana sebelum ini ada antara saudagar ini yang turut mengangkat senjata menentang Portugis. 

Saudagar-saudagar asing itu kemudiannya merayu bahawa mereka terpaksa berbuat demikian kerana takut tindak balas dari Sultan Melaka jika tidak menyebelahi baginda. Mereka bukanlah berniat untuk mempertahankan kota Melaka dari jatuh ke tangan Portugis. Lagipun mereka semua sudah sedia maklum yang Portugis hanya mahu berperang dengan orang-orang Melaka sahaja, bukannya dengan saudagar asing.

Kumpulan pertama saudagar asing yang datang berjumpa dengan Albuquerque ialah saudagar dari Peguan. Albuquerque membenarkan permohonan mereka kembali ke kota Melaka. Albuquerque juga berpesan kepada orang-orang Peguan itu supaya memberitahu penduduk di sekitar tempat tinggal orang-orang Peguan itu bahawa mereka juga boleh meminta perlindungan daripada Portugis. Hal ini tidaklah hanya untuk saudagar asing tetapi juga kepada orang-orang Melayu yang menjadi saudagar dan yang bersetuju menyerah diri kepada ketuanan Portugis. Dia mengumumkan bahawa kedaulatan kota Melaka yang sudah ditawan sepenuhnya oleh kapten dan orang-orang Portugis itu kini berada di bawah kekuasaan dan kedaulatan Raja Portugal. 

Orang-orang Melayu yang berpaling tadah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan menjalankan urusan perniagaan mereka dengan aman di bawah naungan kedaulatan Raja Portugal dan kekuasaan Albuquerque. Yang lain pula mereka diberikan masa dua minggu untuk memohon perlindungan daripada orang Portugis. Dan sesudah tempoh ini tamat dan mereka masih terus berdegil maka saudagar-saudagar ini akan dianggap sebagai musuh.

Orang Peguan dan saudagar asing yang mendapat keizinan mula berpusu-pusu pulang ke rumah mereka yang sudah lama ditinggalkan kerana perang. Kemudian datanglah orang-orang Portugis memasuki kawasan penempatan mereka lalu membunyikan trompet dan membacakan pengistiharaan tentang tempoh perlindungan itu dalam bahasa Melayu supaya semua orang memahaminya. Disebabkan oleh pengistiharaan itu maka tiadalah lagi saudagar asing yang bersembunyi di hutan-hutan kerana masing-masing bersegera pulang ke kota Melaka. Juga yang turut keluar dari persembunyian ialah orang-orang Melayu yang lari dan jumlah mereka pula sangat ramai.

Turut kembali ke kota Melaka ialah Utimutiraja yang dahulunya orang besar di bahagian kawasan luar bandar Upeh tetapi sekarang sudah tidak mempunyai apa-apa. Utimutiraja pernah membuat perjanjian sulit dengan Albuquerque sebelum Portugis masuk menyerang Melaka. Walaupun. Albuquerque tidak berpuas hati dengan Utimutiraja kerana dianggap talam dua muka tetapi Albuquerque membenarkan juga dia kembali ke kota Melaka. Albuquerque berpura-pura tidak sedar tentang muslihat Utimutiraja sebelum ini yang cuba memperdayakannya.

Walau bagaimanapun, sebelum semua orang Melaka ini boleh pulang ke kota Melaka Albuquerque telah lebih dahulu mengarahkan askar-askar Portugis agar menjarah kota Melaka sepuas-puasnya selama tiga hari berturut-turut. Mereka mula merampas barangan berharga dan senjata milik orang-orang Melaka yang telah lari. Rui de Araujo pula ditugaskan untuk menjaga rumah pembelot bernama Nina Chatu agar tidak diapa-apakan oleh askar Portugis yang ligat menjarah. Nina Chatu bukan sahaja pernah membantu Portugis malah turut berjasa membantu orang-orang Portugis yang pernah ditawan oleh Sultan semasa ekpedisi Portugis yang pertama dahulu.

Walaupun orang-orang Melaka yang lari itu telah membawa bersama mereka kebanyakan barangan berharga sebelum kemenangan Portugis tetapi kota Melaka masih lagi sarat dengan kekayaan yang tidak sempat dibawa lari. Setelah melihat keseluruhan kekayaan yang berjaya dirampas oleh Portugis itu mereka menganggarkan nilainya adalah lebih daripada 50,000 Crusados. Unit meriam yang dirampas pula berjumlah 3000 buah . Berbeza dengan laporan Rui de Araujo ( kepada Albuquerque selepas dia dibebaskan dan sebelum Portugis menyerang Melaka) yang menyebut Melaka mempunyai sebanyak 8000 buah meriam. Sesetengah meriam itu tersangat berat dan ada sebiji diantaranya yang sangat cantik buatannya hadiah daripada Raja Calicut.

Selepas selesai merampas barangan berharga dan senjata-senjata dikumpulkan baharulah orang-orang Melaka dibenarkan masuk ke kota Melaka. Untuk mentadbir kota Melaka itu Albuquerque melantik dua orang ketua tertinggi yang akan bertanggungjawab terhadap hal-hal berkaitan keadilan dan pentadbiran mengikut adat tempatan. Mereka ialah pembelot Utimutiraja yang diberikan jawatan sebagai ketua kepada orang-orang Melaka manakala pembelot Nina Chatu pula sebagai ketua kepada bangsa asing. Ini merancakkan lagi orang Melaka untuk kembali ke kota itu setelah penat bersembunyi di hutan dan hanya mengalas perut dengan memakan buah-buahan dan ulaman.

Daripada maklumat yang diberikan oleh orang-orang yang kembali itu, Albuquerque mendapat tahu bahawa walaupun askar Melaka masih menentang mereka tetapi Sultan Mahmud rupanya telah pun berundur ke Bertam dimana ada terdapat sebuah dusun milik baginda di situ. Dari situ baginda dilaporkan telah melarikan diri lebih jauh dan meninggalkan puteranya Alauddin, untuk berperang dengan Portugis di Bertam. Putera Alauddin membina kubu di Bertam dan menggunakan kayu yang banyak untuk pembinaan pagarnya. Unit meriam juga ditempatkan di situ dan di sepanjang sungai di Bertam. Sungai ini mengalir sehingga ke Melaka.

Mendengar maklumat itu Albuquerque mengarahkan agar disediakan bot dengan kekuatan seramai 400 orang yang diketuai oleh Kapten Fernao Peres de Andrade, Simao de Andrade, Jorge Nunes de Leao, Gaspar de Paiva, Aires Pereira, Francisco Serrao dan juga Rui de Araujo. Mereka semua diarahkan untuk menyerang dan memusnahkan kubu Melayu itu dan menghalau putera Alauddin dari situ. Turut membantu Portugis ialah 700 orang-orang suruhan Utimutiraja dan 300 saudagar Peguan.

Apabila askar Portugis sampai di Bertam didapati kubu itu telah kosong kerana putera Alauddin telah berundur untuk bergabung dengan Sultan Mahmud. Tiada apa yang dapat dilakukan oleh askar Portugis melainkan membakar hangus kubu itu. Turut dijumpai ialah 7 ekor gajah kepunyaan Putera Alauddin yang digunakan untuk membawa para isteri dan keluarga diraja ketika mengembara. Gajah-gajah ini mungkin ditinggalkan kerana tidak dapat dibawa bersama oleh orang-orang Melaka itu.

Gajah-gajah diraja itu dipakaikan dengan pelana besi disaluti emas dan berwarna-warni. Kubu Bertam itu sendiri kelihatan lebih kepada penempatan tempat istirehat keluarganya diraja berbanding sebuah kubu perang. Setelah dibakar hangus askar Portugis kembali ke Melaka dengan membawa 7 ekor gajah diraja yang dijumpai itu.


BERSAMBUNG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan