Orang ramai mula menggunakan duit syiling Portugis. Oleh kerana nilainya yang tinggi berbanding duit ketika zaman Sultan Melaka, maka nilai syiling itu diperbetulkan secara berperingkat. Albuquerque juga membayar gaji pekerjanya menggunakan duit syiling ini. Saudagar-saudagar Peguan juga nampaknya suka bekerja sebagai buruh dan membuat kerja membina kota Portugis itu kerana mahu mendapatkan gaji. Salah seorang daripadanya ialah anak kepada seorang kapten sebuah Jong yang mempunyai 100 orang anak kapal. Lelaki muda ini bertindak meninggalkan Jong ayahnya itu yang berlayar pulang ke tempat asal dan mahu terus tinggal di Melaka dan bekerja makan gaji di tempat pembinaan. Lelaki muda ini sentiasa berkomunikasi dengan orang Portugis, dan akhirnya tahu tentang bahasa Portugis dan mahir pula bertutur dengan orang Portugis.
Para saudagar pula mula mengaut untung dengan sistem perdagangan berasaskan duit syiling baru itu. Tambahan pula mereka dilayan secara adil dan agak berbeza ketika zaman Sultan Melaka yang kejam. Orang-orang dan saudagar yang menyebelahi Portugis mula menyebarkan cerita kebaikan Portugis berbanding Sultan Melaka. Hasilnya ketika masanya sudah tiba untuk Albuquerque meninggalkan Melaka, 40 buah Jong direkodkan pernah berlabuh di Melaka dengan membawa barangan keperluan dan barangan dagangan. Saudagar tempatan juga mula menggunakan perlabuhan Melaka yang sama ketika zaman Sultan dan kota Melaka kembali hidup selepas bangun dari kesan perang.
Utimutiraja dan anaknya dibicarakan di mahkamah atas tuduhan membelot.
Berita tentang pertelingkahan antara Sultan Mahmud dengan putera Alauddin sampai ke pengetahuan Portugis. Dua beranak itu kini membawa haluan masing-masing dan membuat usaha sendiri untuk menawan semula Melaka. Perpecahan ini sangat merugikan orang Melayu dan usaha kecil mereka tidak mampu mengusir Portugis dari bumi Melaka.
Dalam diam-diam putera Alauddin telah berkonspirasi dengan Utimutiraja yang ketika ini menjadi Gabenor di kawasan luar bandar, Upeh. Utimutiraja sememangnya memusuhi dan membenci Sultan Mahmud oleh itu dia tidak kisah jika bersekutu dengan putera Alauddin yang juga tidak sebulu dengan Sultan itu. Utimutiraja kini mempunyai kekuasan penuh di bahagian Upeh dan merancang untuk memberontak menentang Portugis. Dia mahu tidak hanya menjadi Gabenor Upeh tetapi mahu menjadi sebagai ketua untuk seluruh Melaka. Dia berpendapat begitu kerana kekayaan besar yang dimilikinya melebihi semua orang.
Sepucuk surat berkenaan konspirasi Utimutiraja itu akhirnya jatuh ke tangan Afonso de Albuquerque melalui musuh Utimutiraja sendiri. Ini kerana Utimutiraja juga sangat dibenci oleh orang ramai kerana pengkhinatannya kepada Sultan dan penyebab orang Melayu kehilangan Melaka. Utimutiraja juga sangat tamak dan bertindak menindas orang Islam dan saudagar-saudagar yang berada di bawah kekuasaannya. Dia mengambil barangan yang dibeli dari saudagar dan membayarnya dengan harga mengikut sesuka hatinya sahaja. Dia juga merampas dusun-dusun dan harta benda milik orang Melayu.
Selain itu dia juga menyimpan seberapa ramai Hamba Raja yang termampu diperolehinya. Malah, mana-mana Hamba yang masuk ke tempatnya pasti tidak akan kembali lagi. Hamba-hamba ini akan dipaksa bekerja hanya untuk Utimutiraja.
Satu lagi bukti busuk hati Utimutiraja ialah dia menahan semua simpanan ais di dalam kawasan kekuasaannya, supaya bekalan ais menjadi terhad dan orang ramai akan membeli daripadanya dengan harga berlipat kali ganda. Utimutiraja juga mengarahkan supaya syiling baru Portugis itu tidak diedarkan di kawasan kekuasaannya kerana mahu mengekalkan duit yang sama seperti zaman Sultan Mahmud walaupun Utimutiraja sendiri membenci Sultan itu. Tujuannya supaya nilai matawang lama itu akan naik kerana bekalannya yang terhad. Dengan itu dapatlah dia menjual beras dengan harga yang tinggi. Ketika Albuquerque membuat pengumuman tentang duit syiling baru Portugis, tiada seorang pun wakil daripada Utimutiraja yang hadir.
Tingkah laku Utimutiraja yang berbangsa Jawa ini sangat melampau. Satu ketika ada seorang "Nair" yang datang dari Malabar setelah memeluk agama Kristian masuk ke kawasan Upeh. Utimutiraja lantas mengarahkan Nair ini ditangkap. Kemudian seorang Portugis iaitu bailiff yang daripada mahkamah bernama Francisco de Figueiredo dihantar ke Upeh untuk menuntut pembebasan Nair itu dari tahanan Utimutiraja. Tetapi Utimutiraja enggan dan menghamburkan bahasa-bahasa kesat kepada bailiff Portugis itu.
Benda yang sama juga dilakukannya kepada saudagar asing di mana dia menghina saudagar asing yang paling dihormati dari kaum Kling bernama Middle Al-Raja . Saudagar ini hampir-hampir sahaja dibunuh oleh Hamba Utimutiraja. Hamba itu membalingnya dengan ketulan timah yang berada di atas tanah rumah Hamba itu. Memandangkan kawasan itu tiada batu jadi Hamba itu menggunakan ketulan timah yang dijumpainya. Saudagar yang terselamat itu segera mengadu kepada Afonso de Albuquerque.
Albuquerque berbincang hal ini dengan Rui de Araujo dan beberapa pegawai lain yang akan ditugaskan tinggal di kota Melaka selepas kubu Portugis disiapkan. Menurutnya orang Jawa setiap hari di depan mata mereka sendiri sentiasa membuat keganasan dan ada tanda-tanda kaum ini boleh mencetuskan pemberontakan. Cadangan pegawai yang bermesyuarat itu ialah sebelum Utimutiraja bertindak dengan lebih jauh lagi, dia perlulah dihapuskan dengan cara yang sah supaya tidak dilihat seperti skandal.
Albuquerque mendapat tahu juga bahawa orang Jawa itu ( Utimutiraja ) telah beberapa kali mengarahkan orang-orangnya mengira berapa banyak bilangan kubur orang-orang Portugis yang telah mati ketika perang dan yang mati selepas itu atau yang mati kerana sakit. Ini supaya dia tahu berapa kekuatan Portugis yang masih tinggal di Melaka. Utimutiraja juga menunjukkan sikap bongkak dengan enggan datang atau menghantar anak lelakinya datang apabila dipanggil oleh Albuquerque. Dia memberikan alasan seperti sakit atau alasan ada hal mustahak yang lain.
Albuquerque semakin bosan dengan perangai Utimutiraja. Satu hari datanglah kepadanya seorang Muslim dari Parsi iaitu orang yang sangat rapat dengan Utimutiraja. Namanya Khoja Ibrahim datang untuk membincangkan hal perlantikan ketua untuk bandar itu. Albuquerque menyatakan dia tidak boleh melantik ketua tanpa berbincang dengan Utimutiraja terlebih dahulu. Tetapi dia berjanji satu hari nanti akan mengumpulkan semua ketua yang ada dan melantik Khoja Ibrahim juga sebagai salah seorang ketua.
Tatkala mendengar berita bahawa Khoja Ibrahim mahu mengambil jawatan yang sepatutnya miliknya, Utimutiraja menjadi kelam kabut lalu mengumpulkan semua ketua dari kalangan orang Muslim, anak-anak lelaki dari ketua orang Jawa, anak menantunya, ketua orang Jawa dari bahagian Hilir bernama Tuan Colascar, ketua bagi saudagar asing Nina Chatu, ketua-ketua lain dimana salah seorangnya bernama Pateh Kadir dan juga termasuk seorang Portugis bernama Patiaco yang bersahabat karib dengannya. Mereka semua datang bertemu dengan Albuquerque.
BERSAMBUNG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan