Ahad, 7 Februari 2016

Melaka ketika dan selepas Portugis . Bahagian 2

Melihatkan dua ekor gajah pengiring itu yang sudah lesap menyebabkan Sultan Mahmud mengarahkan gajah yang ditungganginya itu berpusing untuk berundur. Gajah baginda diarahkan bergerak pergi dari situ untuk masuk ke salah satu jalan yang lain. Baginda dilihat cuba untuk keluar dari situasi yang semakin huru hara akibat kehilangan gajah-gajah pengiring itu dan berkemungkinan juga baginda mahu menyerang Portugis dari arah belakang. Sebaliknya belum pun sempat Sultan Mahmud berundur baginda Sultan Melaka telah bersemuka pula dengan Fernao Gomes de Lemos, Vasco Fernande's Coutinho, Martim Guedes dan juga orang-orangnya.

Gajah baginda yang kelihatan marah dan berang menyebabkan orang-orang Portugis bergerak ke tepi untuk memberi laluan. Akan tetapi apabila gajah baginda melalui depan mereka orang-orang Portugis bertindak menikamnya beramai-ramai dengan lembing masing-masing. Untuk mengelak daripada terkena tujahan lembing-lembing itu, tentera yang berada di dalam binaan kota di atas gajah itu bergerak terhimpit ke belakang lalu menyebabkan binaan kota kayu itu jatuh dengan sendiri kerana berat yang tidak seimbang. Lalu jatuhlah semuanya termasuk Sultan Melaka sendiri. Manakala gajah Sultan Melaka itu pula berjaya lari meredah lautan orang ramai tanpa mencederakan sesiapa pun. Seperti dua ekor gajah pengiring yang lari tadi, gajah baginda Sultan Melaka ini juga berpusing ke belakang lalu berlari di sepanjang jalan lalu lesap.

Askar Portugis tidak mengendahkan gajah Sultan Melaka yang lari atau askar-askar Sultan Mahmud yang tertinggal kerana mereka lebih fokus kepada misi untuk menawan jambatan. Disebabkan tentera bergajah Sultan Mahmud telah tertewas maka tentera Portugis dengan mudah dapat bergabung dengan skuadron pertama pimpinan Afonso de Albuquerque yang bertahan di jambatan. Dengan bantuan dari skuadron kedua ini maka tentera Portugis mula menyekat kedua-dua laluan masuk ke jambatan dengan menggunakan papan kayu yang ditinggalkan oleh tentera Melaka. Mereka juga mula mengali parit di kedua-dua jalan masuk ke jambatan.

Kini jambatan sudah dikuasai sepenuhnya oleh Portugis. Apabila angin bayu dari laut mula bertiup Albuquerque menghantar Gaspar de Paiva dan seratus orang ke seberang kiri sungai manakala Simao Martins dengan seratus orang yang lain ke sebelah kanan sungai. Mereka mula membakar bangunan dan rumah-rumah yang dekat dengan jambatan. Akan tetapi dua kumpulan ini menerima tentangan yang hebat kerana ada tentera Melaka yang telah berkubu di dalam rumah-rumah dan bangunan yang dekat dengan jambatan ini. Tentera Melaka memanah mereka dengan panah beracun dan ramailah tentera Portugis yang mati dipanah.

Tentera Portugis terus berusaha membakar bangunan yang ada supaya dapat mewujudkan ruang kosong menuju ke jambatan. Akhirnya tentera Melaka yang berkubu di dalam bangunan dan rumah-rumah itu mula berundur apabila api semakin marak. Bangunan-bangunan ini senang terbakar kerana diperbuat daripada kayu dan beratapkan daun rumbia kering . Tambahan pula angin bayu laut yang semakin kuat memarakkan lagi api lalu hangus terbakarlah semuanya dalam masa yang singkat. Turut terbakar ialah sebuah gudang yang menyimpan barangan dagangan dan sebahagian daripada masjid Agung Melaka turut terbakar.

Semasa Portugis menyerang kebetulan pada hari yang sama ini juga akan dilangsungkan perkahwinan diraja antara puteri Sultan Melaka dan Putera Sultan Pahang. Melaka sedang bersiap untuk majlis itu apabila semuanya tergendala gara-gara serangan Portugis. Turut sama terbakar hangus ialah persiapan perkahwinan diraja ini termasuklah sebuah rumah kecil beroda yang dibina untuk perarakkan puteri Sultan Melaka yang baru dinikahkan dengan putera Sultan Pahang pada hari itu. 

Menjelang petang iaitu kira-kira dua jam selepas tengah hari keadaan hiruk pikuk perang mulai reda. Portugis masih lagi terus berlawan dengan tentera Melaka yang menyerbu dari kedua-dua arah jambatan. Hari yang semakin panas dan ditambah pula kepenatan berperang menyebabkan Portugis hanya banyak bertahan di satu tempat sahaja. Tentera Melaka juga tetap memastikan askar-askar Portugis itu tidak dapat berehat.

Ketika inilah Albuquerque bangun berdiri di hadapan para kaptennya untuk berucap . Dia berterima kasih atas pertolongan mereka menawan jambatan ini. Tetapi ada beberapa faktor yang dilihatnya tidak kondusif bagi Portugis untuk terus bertahan di jambatan itu. Dia mendapati selepas kepenatan berperang ramai askar Portugis sudah tidak bersungguh-sungguh mengali parit pertahanan di hujung jambatan yang asalnya ditugaskan kepada mereka. Ini kerana hari yang semakin panas terik membuatkan askar-askar itu bertambah keletihan untuk mengali tanah. Lebih buruk lagi askar Portugis sudah kelaparan kerana tidak dapat menjamah apa-apa makanan sejak turun dari kapal.

Askar Portugis juga berasa takut. Kerana bimbang jika askar Melaka mungkin datang secara mengejut dari hilir sungai ketika air pasang di sebelah malam. Mereka mungkin akan membawa rakit-rakit yang terbakar datang merempuh jambatan ini lalu membakar semua askar Portugis. Tambahan pula menurut laporan risikan yang pernah dikirim oleh Rui de Araujo iaitu salah seorang Portugis yang pernah ditawan Sultan Melaka ketika ekpedisi pertama dahulu, Sultan Melaka mempunyai armada laut yang besar diketuai oleh seorang laksamana. Armada laut ini cukup untuk membakar semua kapal-kapal Portugis yang ketika ini terdedah di tengah laut. Setelah puas berbincang akhirnya kata putus dicapai iaitu adalah lebih selamat bagi orang Portugis yang sudah keletihan dan cedera itu untuk balik ke kapal dan bermalam di sana.

Ramai kalangan askar Portugis tidak bersetuju dengan cadangan ini memandangkan mereka telah bersusah payah menawan jambatan ini. Untuk menenangkan hati masing-masing Albuquerque mengizinkan mereka untuk menjarah salah satu gudang kepunyaan Sultan Melaka dan mencuri semua barangannya. Ini supaya askar-askar Portugis itu tidak balik dengan tangan kosong. Gudang yang dimaksudkan ialah gudang yang rosak teruk kerana kebakaran yang dicetuskan oleh Portugis tadi .

Askar Portugis bersorak gembira mendengar pengumuman Albuquerque itu. Dia sendiri tidak dapat menghalang kegairahan askar Portugis menjarah gudang itu sepuas-puasnya. Banyak barangan itu sebenarnya terlalu berat dan mengambil masa untuk dipunggah ke dalam bot mereka. Akhirnya hari pun memasuki senja dan kerja-kerja menjarah terpaksa dihentikan. Mereka mula berlayar balik ke kapal galleon mereka di tengah laut.

Setelah semua tentera Portugis selesai berundur ke kapal dan meninggalkan jambatan yang mereka tawan tadi barulah jumlah tentera Portugis yang tinggal dikira. Didapati jumlah askar Portugis yang cedera ialah 70 orang. Kebanyakannya kerana terkena panah beracun. 12 orang yang cedera itu akhirnya mati di atas kapal kerana bisa racun itu. Yang lain pula walaupun terselamat dari maut tetapi masih tetap menderita kerana luka mereka yang semakin membekak itu sudah mula kelihatan seperti tumor.

Racun itu juga membuatkan askar Portugis menjadi gila sehingga ada yang menggigit tubuh badan sendiri. Salah seorang yang menjadi gila seperti itu ialah Lopo Vilalobos iaitu seorang kesatria dari dari kampung Extremos. Orang Portugis cuba merawat lukanya dengan menggunakan theriac iaitu sejenis antidot buatan Portugis yang diadun dari pelbagai jenis dadah. Tetapi hasilnya tidak efektif.

Terdapat juga cubaan merawat luka-luka itu dengan minyak zaitun, tetapi bekalan minyak zaitun mereka pula tidaklah banyak. Salah satu usaha mereka yang lain pula ialah dengan melecurkan luka mereka dengan obor. Cara ini dilihat paling berkesan merawat luka-luka itu.

Akhirnya nanti orang Melayu akan menunjukkan rahsia kepada Portugis bahawa ada satu herba tempatan yang boleh merawat luka racun seperti itu. Dengan herba itu mereka yang terkena racun tidak akan mati sekiranya dia sempat mengunyah dan makan daun herba tersebut. Bagitulah setiap penyakit ada ubatnya. Menurut kata orang Melayu itu bahawa racun seperti itu berasal dari sebuah kampung bernama Bagre di Sumatra. Racun itu dicipta oleh penduduk nelayan di situ yang dikenali sebagai orang Selat atau orang laut. Antara ramuan racun itu ialah tulang dari ikan berbisa.

Jumlah mereka yang cedera atau mati dari kalangan orang Melaka pula tidaklah diketahui. Tetapi melihatkan kepada situasi pada hari ini mereka percaya jumlahnya sangat besar. Boleh dikatakan tiada satu rumah pun di Melaka yang tidak kedengaran tangisan kerana kematian seorang ayah, anak lelaki, abang atau adik beradik.

Di Melaka, Sultan Pahang yang datang kerana perkahwinan puteranya dengan puteri Sultan Melaka terkejut kerana majlis hari itu dicemari dengan pertumpahan darah . Ramai pula yang mati dan cedera manakala rumah beroda yang akan digunakan untuk perarakkan perkahwinan diraja itu pula sudah hangus terbakar. Sultan Pahang melihatkan ini adalah suatu alamat tidak baik dan percaya malapetaka lebih besar akan datang menimpa negeri ini. Sultan Pahang dengan menaiki gajahnya mula berundur untuk balik ke Pahang. Baginda berjanji akan datang semula ke Melaka dengan membawa bala tentera yang besar untuk membantu Sultan Melaka. Akan tetapi Sultan Pahang itu tidak pernah kembali ke Melaka selepas hari itu.

Melihatkan Afonso de Albuquerque telah kembali ke kapal galleon Portugis itu, Sultan Mahmud menitahkan agar pertahanan Melaka diperkuat dan jumlah meriam digandakan. Baginda mendapati ketika Portugis mendarat mereka dengan senang dapat masuk ke dalam bandar sehingga ke tengah jalan-jalannya. Oleh itu baginda menitahkan agar dibina sebuah parit di setiap jalan masuk ke bandar. Semua jalan yang ada pula dipasang dengan periuk api buatan Melaka iaitu sejenis buluh tebal yang diisi dengan serbuk belerang. Dan dari arah yang dipercayai Portugis akan masuk ke bandar itu pula ditabur dengan ranjau daripada besi yang siap disapu dengan racun. Semua ini adalah usaha pihak Melaka untuk menghalang kemasukkan Portugis dan untuk mencederakan mereka.

Baginda Sultan Melaka juga membuat sesuatu yang tidak pernah dibuatnya sepanjang hidupnya dan juga mana-mana perang sebelum ini. Baginda membayar gaji kepada askar upahan orang-orang Jawa. Baginda berbuat demikian kerana mendapati ketika Portugis datang menyerang, mereka orang-orang Jawa hanya berdiam dan tak mahu berperang seperti yang mereka lakukan sebelum ini dan ini adalah sungguh tidak disangka.

Rupa-rupanya punca askar upahan Jawa ini tidak mahu berperang bukanlah kerana tidak pernah dibayar gaji akan tetapi kerana Utimutiraja telah membelot dan menghasut orang-orang Jawa ini agar tidak payah bersusah payah membahayakan nyawa sendiri demi mempertahankan harta benda orang lain ( Melaka ). Utimutiraja dengan sembunyi-sembunyi pernah datang bertemu dengan Albuquerque untuk berbincang secara sulit. Mengikut persetujuan kedua pihak Utimutiraja mesti memastikan orang-orangnya tidak terlibat semasa Portugis menyerang Melaka .

Akan tetapi akhirnya Albuquerque mendapat tahu ada orang-orang Utimutiraja yang terlibat dalam perang itu . Albuquerque lantas menghantar pesanan kepada Utimutiraja dan menyatakan bantahannya dan mengingatkan Utimutiraja akan janjinya.


BERSAMBUNG.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan