Albuquerque segera menyuruh Dinis Fernandes de Melo iaitu seorang kesatria terbilang yang telah banyak pengalaman berperang untuk membantu Antonio de Abreu yang cedera itu. Tetapi Antonio tidak mahu dibawa pergi ke galleon Portugis untuk merawat kecederaannya. Biarpun dia sudah tiada tenaga dan lidahnya sudah tidak boleh mengeluarkan apa-apa arahan namun selagi dia masih bernyawa dia akan tetap berada di atas Jong ini untuk membunuh orang-orang Islam itu.
Melihat ketegasan Antonio itu maka Dinis de Melo tidak jadi membawanya pergi ke galleon Portugis . Sebaliknya Antonio disuruh berehat dan cuba berlindung sementara Dinis Fernandes mengambil alih tugasnya.
Kemudian datanglah dari arah depan mereka bot-bot yang terbakar yang dilepaskan oleh orang Melaka ke arah mereka. Ini cubaan pihak Melaka untuk membakar Jong besar itu memandangkan Jong berkenaan masih gagal ditengelamkan walaupun dibedil hebat dengan meriam. Tambahan pula jarak Jong yang agak jauh ke tengah sungai dan sisinya yang sangat tinggi menyebabkan meriam orang-orang Melaka hanya mampu merosakkan sebahagian sahaja dari bahagian-bahagian penting Jong itu.
Portugis nampak tiga buah bot panjang dipenuhi dengan kayu yang disimbah minyak melalui bawah jambatan. Kemudian apabila bot panjang itu sudah melepasi jambatan barulah api dinyalakan dan bot yang terbakar itu pun hanyut menuju ke Jong Portugis. Api dari bot yang marak menyala itu meneranggi sepanjang sungai dan tebing-tebingnya.
Askar Portugis yang mengiringgi Jong besar menaiki bot-bot yang lebih kecil cuba menghalang bot yang membawa api tu dari melanggar Jong besar Portugis. Mereka cuba memadamkan api namun apabila mereka semakin hampir dengan bot berapi itu maka askar Melaka dengan mudah dapat melihat mereka dalam kegelapan malam itu. Akhirnya mereka menjadi sasaran tembakan meriam-meriam Melaka.
Albuquerque menyedari kehilangan nyawa yang dihadapi oleh pihak Portugis dan betapa terdedahnya mereka kepada tembakan meriam-meriam Melaka itu. Kebanyakan askar Portugis yang berada dalam bot-bot itu ialah askar yang masih cedera sejak dari serangan Portugis yang pertama beberapa hari yang lalu. Mereka masih belum pulih sepenuhnya dan masih kepenatan dan kini dihujani pula dengan peluru meriam. Albuquerque khuatir jika Jong itu juga akan turut binasa jika dilanggar oleh bot api yang dihanyutkan oleh orang-orang Melaka itu.
Akan tetapi Jong Portugis sudah begitu dekat dengan jambatan dan meluncur dengan laju tanpa sempat ia dijahanamkan sepenuhnya oleh orang Melaka . Akhirnya Jong besar itu berlanggarlah dengan jambatan dan bunyi perlangaran kayu dengan kayu itu menggegarkan suasana.
Albuquerque dan orang-orang yang bersamanya turun dari Jong yang mereka naiki itu dan berjaya menawan jambatan. Pada hari Jumaat, 3 Ogos enam belas hari selepas serangan Portugis yang pertama ke atas Melaka. Jong Cina itu rosak teruk di bahagian hadapannya kerana perlangaran dan bahagian tenggahnya juga rosak kerana dibedil dengan meriam. Kekukuhan Jong itu menguntungkan pihak Portugis dan berbaloilah Albuquerque menunggu sehingga 16 hari sehingga air pasang besar supaya Jong Cina itu dapat masuk ke Sungai Melaka.
Portugis berjaya menghalau askar-askar Melaka yang berkubu di atas jambatan iaitu bahagian yang paling hampir dengan Masjid Agung Melaka. Memandangkan Jong Cina itu lebih tinggi daripada aras jambatan maka askar Portugis dengan mudah dapat membaling batu-batu besar ke arah askar Melaka. Berbanding ketika serangan Portugis yang pertama, Albuquerque mahu tenteranya mendarat di bahagian jambatan yang dekat dengan Masjid dahulu kerana kelebihan strategik.
Sungguhpun jambatan itu telah diperkuatkan oleh pihak Melaka dengan pertahanan tambahan namun akhirnya ia jatuh juga ke tangan Portugis. Maka hubungan antara dua bahagian kota Melaka pun terpisahlah dengan tertawannya jambatan ini. Penduduk Melaka dari bahagian luar bandar Upeh tidak dapat memberikan pertolongan kepada Sultan Melaka yang berada di seberang lain sungai iaitu kawasan di mana terdirinya pusat pentadbiran, Masjid dan Istana Sultan Melaka.
Semakin ramai askar Portugis yang naik berkumpul di atas jambatan . Dari sini Albuquerque mendapati sebuah jalan besar tempat askar Portugis menyerang ketika serangan yang pertama dahulu sudah dikepung dengan benteng pertahanan yang baru dibina oleh askar Melaka. Di situ ada ramai askar Melaka yang bersenjatakan meriam, senapang Musket , alat pemanah, sumpit dan tarbil sudah siap sedia mempertahankan jalan besar ini.
Dari jambatan, askar Portugis terus menyerbu kedudukan askar Melaka itu dan berlakulah pertembungan yang sengit antara pihak penceroboh dengan orang-orang Melaka. Serangan Portugis ke atas pertahanan di jalan besar itu menyebabkan 80 askar Portugis terbunuh. Keperwiraan askar Melaka yang berjuang bermati-matian demi agama, tanah air, anak, isteri dan harta benda menyebabkan askar Portugis terpaksa berusaha keras dan hampir-hampir kecundang. Di sinilah Portugis mula mengakui kehandalan pahlawan Melayu yang dikenali sebagai mereka yang sangat ganas, berani dan tidak mudah mengaku kalah.
Tetapi askar Portugis yang sudah biasa dengan peperangan sengit begini mempertaruhkan nyawa sendiri lalu menyerbu kedudukkan tentera Melaka yang mempertahan jalan besar itu. Serangan-serangan Portugis yang berterusan dan lebih membinasakan itu akhirnya membuatkan askar Melaka semakin lemah, lalu menyebabkan mereka terpaksa lari meninggalkan kedudukan mereka.
Portugis berjaya lagi mengalahkan askar Melaka dan segera menduduki pertahanan Melaka yang baru ditinggalkan itu. Kemudian Albuquerque membahagikan askarnya kepada dua kumpulan. Satu kumpulan akan mengikutinya kembali ke jambatan dan mempertahankannya dari serangan yang datang dari arah Upeh. Manakala satu kumpulan lagi akan menduduki pertahanan Melaka yang ditinggalkan berdekatan dengan jalan besar menuju ke Istana Sultan Melaka. Kumpulan kedua ini diketuai oleh empat orang kapten iaitu Jorge Nunes Leao, Dinis Fernandes, Jaime Teixeira dan Nuno Vaz de Castelo Branco. Albuquerque mengarahkan mereka bertahan di situ dan jangan mara ke arah masjid sehinggalah Albuquerque sendiri datang kepada mereka. Apabila Albuquerque beredar kumpulan kedua yang ditinggalkan sendirian itu kini terdedah kepada bahaya jika diserang.
Kemudian askar-askar Portugis kumpulan kedua yang kebanyakannya cedera itu membuat formasi dan mula bergerak masuk ke jalan besar menuju Istana. Dinis Fernandes yang mengetuai kumpulan kedua ini membawa mereka bergerak ke jalan yang lebih besar berbanding jalan-jalan lain. Kemudian pergerakkan kumpulan ini terhenti apabila bertemu dengan Sultan Melaka dan bala tenteranya yang seramai 1500 orang.
Orang Portugis mula curiga apabila Sultan Melaka dengan bala tentera yang lebih besar itu tidak berganjak seperti menunggu askar Portugis agar terus mara. Kemudian baharulah Fernandes mendapati tahu yang jalan itu telah dipenuhi dengan jerangkap samar dan diisi dengan pancang beracun. Tetapi Fernandes tidak mengetahui bahawa terdapat juga periuk api buatan Melaka yang ditanam di situ. Jika Fernandes membawa kumpulan kedua ini bertemu dengan Sultan Melaka pastilah mereka semua akan terbunuh.
Afonso de Albuquerque yang melihat kumpulan kedua berjalan masuk ke jalan besar telah bertindak membawa kumpulan pertama untuk berpatah balik dan bertemu dengan Fernando. Semasa mereka sedang bersiap hendak mara itulah tiba-tiba seorang askar Portugis berlari di depan Albuquerque dan menjerit, "Tuan, nanti dulu! . Jangan datang dekat. Mesti ada sesuatu benda yang merbahaya di jalan ini . Walaupun ia jalan besar tetapi tiada sesiapa pun di sini".
Albuquerque memberi amaran kepada tenteranya supaya berhenti dan jangan mara. Lalu dia bertemu dengan empat kaptennya dari kumpulan kedua. Mereka tidak jadi bertembung dengan Sultan Mahmud tetapi beralih dan menyerang pula masjid Agung Melaka.
Kemudian setelah berjaya menawan masjid, Albuquerque kembali ke jambatan dan mendapati orang-orangnya sudah selesai memunggah keluar bekalan senjata daripada Jong besar naik ke daratan. Di situ juga terdapat kain penutup, kapak, kayu dan bakul-bakul berisi tanah yang digunakan oleh orang-orang Melaka untuk membina kubu yang bersambungan dengan masjid. Dengan menggunakan bahan-bahan ini Albuquerque mengarahkan sebuah dinding dibina untuk menutup semua laluan yang menghalang ke jambatan kecuali satu bukaan yang menghadap laut. Ia akan digunakan untuk laluan pergi atau naik dari laut.
Disebelah dalam dinding kayu ini terdapat satu tembok daripada batu bata kira-kira setinggi orang dewasa dibina atas arahan Albuquerque. Batu bata yang digunakan untuk membina dinding itu telah sedia ada disitu milik orang-orang Melaka. Pembinaan tembok ini diamanahkan kepada Jorge Nunes de Leao, Aires Pereira, Bastiao de Miranda, Nuno Vaz de Castelo Branco dan Jaime Teixeira berserta orang-orangnya.
Begitu juga diseberang sungai yang menghadap Upeh juga dibina tembok tetapi bukan daripada batu bata. Pembinaannya diamanahkan kepada D.Joao de Lima , Duarte da Silva, Fernao Peres de Andrade dan abangnya Simao de Andrade.
Albuquerque mengarahkan dua buah bot kapal untuk berlabuh di bahagian hadapan tembok dengan meriamnya dihalakan ke arah luar daripada kubu. Ini untuk menghalang jika ada askar Melaka menyerang jambatan ini dari arah hutan pada waktu malam. Bagitulah kerja-kerja yang dilakukan Portugis dalam usaha mereka mempertahankan jambatan Melaka yang penting ini.
BERSAMBUNG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan