Ahad, 7 Februari 2016

Melaka ketika dan selepas Portugis . Bahagian 6

Tatkala baginda mendapat berita akan kedatangan Portugis, Sultan Mahmud telah bertindak berundur dari Bertam ke tempat yang lebih jauh. Baginda berasa sudah tidak selamat lagi jika berada begitu hampir dengan Melaka. Kebanyakan pengikut Sultan Mahmud juga ada yang percaya bahawa Afonso de Albuquerque tidak akan berpuas hati selagi tidak dapat menangkap Sultan Mahmud. Apabila Sultan Mahmud berundur lebih jauh meninggalkan Bertam maka kebanyakan pengikut-pengikutnya menggunakan peluang ini untuk meninggalkan Sultan Mahmud.

Tambahan pula, telah berlaku salah faham antara puteranya dan Sultan Mahmud di mana Sultan Mahmud telah menuduh puteranya, abang ipar putera itu dan beberapa orang yang lain sebagai punca kepada kecelakaan ini. Mereka dituduh menyebabkan Melaka kalah kepada Portugis dan pencetus kepada permusuhan dalaman. Disebabkan pertelingkahan ini maka Sultan Mahmud dan puteranya telah membuat haluan masing-masing. Mereka mencari tempat baru di mana makanan boleh diperolehi memandangkan mereka kini di ambang kebuluran. 

Ada empat atau lima pedagang kaya yang selama ini mengampu dan menyara Sultan dengan kekayaan mereka kerana menyangka Sultan akan dapat mengembalikan semula Melaka. Apabila perkara ini tidak berlaku maka pedagang-pedagang kaya berkenaan telah bertindak meninggalkan Sultan Mahmud dan membuat keputusan untuk balik ke Melaka.

Albuquerque ketika menerima kedatangan pulang pedagang-pedagang kaya ini menyambutnya dengan baik. Dari merekalah Albuquerque mendapat tahu keadaan Sultan Melaka ketika itu. Albuquerque juga mendapat tahu yang pengikut Sultan Melaka ketika itu tidak sampai 50 orang lelaki dan 100 orang wanita. Baginda cuba berundur dengan menaiki gajah ke Johor . Keputusan berundur ini diambil Sultan Mahmud setelah mendapat tahu yang Portugis sudah mula membina kubu mereka sendiri di kota Melaka. Pada mulanya baginda menyangka yang Albuquerque akan pergi selepas menawan harta benda Melaka dan membakar kota itu. Tetapi rupanya Albuquerque mahu Portugis terus kekal di situ dan pembinaan kubu itu adalah buktinya. Ini menyebabkan Sultan terpaksa tinggal lebih lama di dalam hutan dan dalam keadaan serba kepayahan.

Apabila berita pengunduran Sultan Mahmud dan pertelingkahan antaranya dengan puteranya sampai ke kota Melaka, dikatakan semua orang di kota Melaka mula berasa tenang dan tidak takut lagi sekiranya Sultan Mahmud datang membalas dendam dan perang semakin berpanjangan. Masa tenang inilah digunakan Albuquerque untuk mula membina kubunya. Pun begitu berlaku juga serangan-serangan kecil secara gerila dari askar Melaka yang mahu mensabotaj usaha pembinaan kota Portugis itu.

Sebelum ini Rui de Araujo pernah memberitahu Albuquerque bahawa sukar untuk mendapatkan batu bagi membina kubu. Tetapi maklumat Araujo itu tidak tepat kerana ketika itu dia sedang dipenjarakan dan dalam keadaan serba kepayahan. Albuquerque mendapati di Melaka ada terdapat batu kapur yang boleh dijadikan mortar. Juga terdapat batu-batu nesan berselerak di atas bukit dari kubur-kubur lama. Ini ialah tempat di mana orang-orang Selat iaitu orang pertama yang menghuni Melaka pernah tinggal.

Di kaki bukit itu dan dalam masa yang suntuk Albuquerque berjaya membuat sebuah kubu kayu. Kemudian kubu itu diperbesarkan lagi dengan binaan batu. Kumudiannya nanti ada sebuah menara setinggi 5 tingkat akan dibina di situ dengan puncak bumbungnya disaluti besi timah. Dilengkapi dengan tempat tinggal askar Portugis yang selesa. Kerana kota ini letaknya terlalu jauh dari Negara Portugal maka ia dinamakan "A Famosa" iaitu yang terkenal.

Albuquerque juga membina sebuah gereja dinamakan "Annunciation of Our Lady". Dia mengarahkan bumbungnya dibina daripada kayu yang diambil dari makam diraja Melaka. Kayu-kayu ini sangat besar dan dibawa menggunakan gajah.

Albuquerque juga menggunakan tenaga kerja daripada orang tempatan yang digelar Hamba Raja, iaitu mereka yang sebelum ini berkhidmat untuk Sultan Melaka. Sultan Melaka sentiasa menjaga mereka dan keluarga mereka walaupun ketika itu Sultan tiada berhajat kepada sebarang kerja pembinaan. Jumlah Hamba Raja yang dikumpulkan ini lebih dari 3000 orang.

Ketika permulaan pembinaan kota dijalankan, Albuquerque mendapat tahu bahawa masih ada lagi Hamba Raja yang bersembunyi di dalam hutan. Ada yang bersembunyi di dusun dan sukar untuk orang Portugis mengenali mereka. Oleh itu Albuquerque membuat pengumuman bahawa semua Hamba Raja kepada Sultan Mahmud dikehendaki datang menyerah diri kepadanya. Mereka akan dibebaskan dari perhambaan dan diberi makanan. Sesiapa yang membawa kepadanya seorang Hamba atau mana-mana Hamba yang sukarela datang kepadanya juga akan turut diberikan ganjaran berupa wang. 

Hasil daripada pengumuman ini maka ramailah orang yang bukan dari kalangan Hamba juga datang kepada orang Portugis itu. Mereka sangup menyamar sebagai Hamba, semata-mata mahukan wang ganjaran. Turut dibawa menyerah ialah anak dan isteri masing-masing. Ada juga dikalangan mereka yang masih merdeheka itu sengaja berniat jahat menuduh sesetengah yang lainnya sebagai Hamba sebenar. Bagi orang Portugis mereka hanya perlukan dua orang saksi untuk tujuan mendaftarkan seseorang itu sebagai Hamba. Maka banyaklah dilihat berlakunya perbuatan khianat sesama sendiri dalam hal mendaftar hamba ini.

Selain kerja-kerja pembinaan kubu yang dijalankan untuk melindunggi keselamatan kota Melaka, Albuquerque juga merancakkan kembali urusan perdagangan kota Melaka sepertimana yang dikehendaki oleh penduduknya. Salah satu usahanya ialah mula menempa duit syiling. Ketika zaman Sultan Melaka dahulu, emas dan Perak digunakan sebagai matawang disamping duit timah jika transaksi itu bernilai lebih kecil. Jika jumlah transaksinya bernilai besar maka sistem barter digunakan.

 Emas dan Perak digunakan sebagai matawang di rantau ini tetapi tiada sistem duit syiling emas dan duit syiling perak. Hanya timah yang berkualiti tinggi digunakan sebagai duit syiling. Oleh itu, untuk kegunaan pembayaran gaji dan urusan jual beli di pasar Albuquerque menempa dua jenis duit syiling. Satu dipanggil dinheiro dan satu lagi yang bernilai 10 kali ganda dinheiro dinamakan soldo. Sejenis duit syiling yang bernilai lebih tinggi iaitu sepuluh kali ganda soldo dinamakan bastardo.

Hanya satu jenis duit ditempa daripada Perak berkualiti tinggi diimport terus daripada Pegu dan Siam. Nilainya 10 kali ganda dinheiro dan dinamakan malaquesa. Sumber perak ini daripada sebuah negara di utara Pegu dan Siam yang dinamakan Laos. Daripada jenis emas pula Albuquerque menempa sejenis syiling dinamakan Catolico. Nilainya ialah 1000 reais. Bentuk syiling itu sangat cantik mengandunggi emas 20 karat. Bekalan emas ini datangnya dari Sumatra dan dari sebuah pulau yang letaknya di luar pantai China dinamakan Liu-Kiu (Taiwan).

Apabila kerja-kerja menempa syiling ini selesai, satu perarakan diadakan sebelum ia mula diedarkan. Di dalam perarakan itu seekor gajah yang dihias dengan dua helai kain emas dan Perak, membawa panji-panji Raja Portugal yang berkibar megah dari atas binaan kota yang dipikul gajah itu. Di dalam binaan kota gajah itu duduklah di situ Antonio de Sousa, anak kepada Joao de Sousa dari Santarem. Di hadapannya dalam kota gajah yang sama itu duduklah anak lelaki kepada Nina Chatu iaitu Gabenor kepada orang asing di Melaka. Bersama mereka berdua inilah duit-duit syiling baru ini berada. 

Mendahului gajah mereka ialah dua ekor gajah yang lain tetapi tidak dihias. Ia membawa peniup trompet dari Portugal. Mereka yang berjalan pula ialah ahli muzik tempatan, wanita penyayi, dan juga askar Portugis yang berkawal di tempat awam semasa perarakan dijalankan.

Sekejap-sekejap perarakan dihentikan dan ketua orang Melayu memberikan pengumuman tentang duit baru itu dalam bahasa Melayu. Selepas itu orang Portugis pula membaca pengumuman yang sama dalam bahasa Portugis. Anak Nina Chatu pula sibuk melontar duit-duit syiling kepada orang ramai dan masing-masing berebutkan duit yang dicampak ke tanah itu.



BERSAMBUNG.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan