Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 3
Kata-kata Datuk Shahbandar itu sangat menyakinkan sehingga Sultan Mahmud pun percaya. Tambahan pula Datuk Shahbandar juga menawarkan bantuan kepada Melaka untuk melawan orang-orang Portugis itu. Seramai 1000 orang pelaut dari kapal-kapal dagang dan 800 orang askar dan kapal perang bersedia untur dikerah membantu Melaka. Datuk Shahbandar juga menasihati Sultan agar melewat-lewatkan urusan dengan Albuquerque dengan menghantar utusan dan berita-berita baik sekurang-kurangnya sehinggalah tibanya musim monsun yang berikutnya. Di kala itu pastilah Albuquerque akan terpaksa pulang semula ke India dan jika dia tidak berbuat demikian maka armada akan terkandas berbulan-bulan di tengah laut.
Sultan menerima nasihat Datuk Shahbandar itu dan mula menghantar utusan untuk berbincang denagn Albuquerque bagi melengah-lengahkan masa.
Melalui utusan diraja itu, Sultan menyatakan baginda berbesar hati kerana Albuquerque sudi untuk menandatangani perjanjian damai dan persahabatan dengan Melaka. Baginda akan terus menahan para tawanan Portugis sehinggalah perjanjian itu ditandatangani. Baginda juga menjelaskan bahawa Datuk Bendahara telah dihukum bunuh seisi keluarganya kerana beliau telah memberikan nasihat yang salah agar mengambil pendekatan kasar terhadap orang Portugis ketika ekpedisi pertama dahulu iaitu ketika kedatangan kapten Diogo Lopes de Sequeira.
Sebelum kedatangan Albuquerque ke Melaka, Raja Melagia terlebih dahulu telah sampai dari Pasai dan diterima dengan baik oleh Sultan. Ini kerana Raja Melagia datang dengan membawa berita penting tentang kedatangan Albuquerque. Sebagai balasan, Sultan Mahmud memberikan kuasa penuh kepada Raja Melagia untuk menguruskan hal pertahanan di Kota Melaka dan armada laut Melaka yang lengkap dengan meriam. Sementara Albuquerque terus menunggu di tengah laut itu, Raja Melagia pula sibuk membina pertahanan di tempat-tempat penting di seluruh Kota Melaka.
Rui de Araujo iaitu salah seorang tawanan yang masih ditahan di Melaka memasang telinga dan ada cara tersendiri untuk mengetahui apa yang sedang dibuat oleh pihak berkuasa di Melaka. Dia berkenalan dengan seorang perempuan yang sentiasa rapat dengan para tawanan Portugis dan dari perempuan inilah banyak maklumat rahsia sentiasa disalurkan kepadanya. Perempuan Melaka ini sanggup mengadaikan nyawanya kerana dia telah jatuh cinta dengan salah seorang tahanan Portugis.
Dari maklumat Rui de Araujo dan dari pemerhatian ke atas perkembangan di Kota Melaka, Albuquerque yakin bahawa Sultan Mahmud telah memperdayakannya. Atas sebab ini Albuquerque memanggil mesyuarat dengan para kaptennya berkenaan tipu muslihat yang dilakukan oleh Sultan Mahmud. Dia berkata adalah lebih baik mereka bertindak sekarang untuk menyelamatkan para tawanan sebelum mereka dapat memulakan serangan ke atas Kota Melaka. Dia akan mendesak Sultan Mahmud segera membebaskan tawanan walau dengan apa cara sekalipun.
Albuquerque mengutus surat kepada Sultan menyatakan syarat perdamaian ialah Sultan Mahmud perlu membebaskan para tawanan . Mereka semua itu sebenarnyan telah dikhianati. Asalnya mereka datang ke Melaka hanyalah untuk berdagang dengan aman . Tetapi Sultan telah merampas semua barangan yang disimpan di dalam kilang milik Portugis dan membunuh beberapa orang Portugis dan menahan yang lainnya.
Albuquerque menyatakan dia tidak mahu barangan yang telah diambil Sultan itu tetapi hanya mahu semua tawanan dibebaskan segera. Dia tidak akan beralah selagi tawanan tidak dibebaskan walaupun akhirnya seluruh kota Melaka menyerah kepadanya nanti. Jika Sultan menangkap mereka kerana peperangan pastilah Albuquerque akan menjamin mereka dengan pertukaran emas tetapi memandangkan Sultan menangkap mereka dengan cara khianat maka baginda perlulah melepaskan mereka dengan aman dan rela hati. Selepas semua ini selesai barulah mereka boleh duduk berbincang tentang perjanjian damai . Jika Sultan gagal menuruti syarat ini maka Albuquerque akan membebaskan mereka semua dengan pertumpahan darah sehinggalah ke Istana Sultan itu sendiri.
Albuquerque juga menambah, dia tahu bahawa Datuk Bendahara dihukum bunuh bukanlah kerana nasihat jahat Datuk Bendahara itu kepada Sultan . Tetapi dia tahu Datuk Bendahara dihukum bunuh kerana cuba membunuh Sultan Mahmud. Dia tahu mengenai ini ketika tiba di Pasai sebelum ini . Dia juga tahu bahawa Raja Melagia turut terlibat dalam konspirasi ini bersama dengan Datuk Bendahara .
Oleh itu Sultan Mahmud patut berfikir dahulu sebelum cuba menipu Albuquerque. Turut ada bersamanya kini ialah seorang nujum yang diberikan oleh Raja Cochin yang boleh menjelaskan apa jua pengkhianatan yang telah dilakukan oleh Sultan dan tahu apa jenis penderaan yang dikenakan kepada tahanan orang Portugis. Katanya, mereka para tahanan itu telah dipaksa untuk masuk Islam. Albuquerque menambah lagi turut berada di dalam armadanya kini ialah saudara mara tahanan yang setia menunggu kepulangan mereka dan akan menuntut bela di atas apa yang telah dilakukan oleh Sultan Mahmud.
Tindakan betul yang patut diambil oleh Sultan ialah membebaskan tahanan tanpa berlengah lagi . Jika tidak pertahanan yang dibina oleh Raja Melagia akn menjadi kerja sia-sia dan tidak akan dapat menyelamatkannya. Malah jumlah askar yang ramai yang ditawarkan kepada Melaka juga tidak boleh berbuat apa-apa. Jika Sultan Mahmud masih percaya dia boleh selamat dari orang Portugis maka Sultan telah tersilap besar. Tunggulah akibatnya nanti dan Sultan Mahmud akan melihat sendiri apakah yang akan dilakukan oleh orang Portugis ke atas kerajaannya. Bagitulah apa yang ditulis oleh Albuquerque kepada Sultan Mahmud.
Sementara itu, satu mesaj bertulis sampai kepada Albuquerque yang datangnya dari Rui de Araujo. Ia menyatakan pendapat peribadi Rui bahawa Sultan tidak akan menyerahkan semua tawanan atau bersetuju dengan apa jua cadang Albuquerque. Dia mengesa Albuquerque segera bertindak sebelum Melaka cukup bersedia untuk menerima serangan Portugis. Albuquerque boleh memulakan dengan menyerang kapal dagang milik orang Islam. Malah Rui de Araujo juga merayu jangan berlengah lagi demi keselamatan nyawa para tawanan.
Setelah membaca Surat Rui de Araujo itu Albuquerque memanggil sekali lagi mesyuarat dengan para kaptennya. Mereka mula mengundi jika serangan perlu dilakukan sekarang atau tidak . Hasil undian mereka sebulat suara mahu memulakan serangan sekarang sementara pertahanan di Kota Melaka masih belum kukuh. Tahanan, yang masih berada di tangan musuh, mereka semua tidak takut mati kerana tahu apa akibatnya jika serangan dilakukan.
Albuquerque gembira dengan keputusan para kaptennya itu , namun dia masih berasa patut menunggu sedikit masa lagi bagi mengetahui apakah jawapan Sultan Mahmud. Dia mahu semua Raja dan orang dari negara lain tahu apakah langkah-langkah yang telah diambil sebelum peperangan dimulakan . Mereka semua bersetuju dengan cadangan Albuquerque untuk memberikan Sultan Mahmud sedikit masa lagi.
Keesokkan harinya, enam orang kapten Cina datang bertemu dengan Albuquerque di kapal galleon Flor de la Mar dan memberitahunya bahawa sudah beberapa hari Sultan Mahmud menahan orang-orangnya. Kerana baginda mahu menggunakan senjata yang mereka bawa untuk menyerang Raja negeri Aru. Tetapi oleh kerana Sultan Mahmud sedang terlalu sibuk memperkukuhkan pertahanan kota Melaka maka orang-orang Cina ini berpeluang untuk melepaskan diri dengan kapal Jong mereka. Mereka meminta kebenaran Albuquerque supaya dapat pulang ke negara mereka dan berjanji jika Albuquerque dapat menawan Melaka mereka akan kembali dengan membawa muatan barangan dagangan yang banyak. Sebagai sahabat, mereka meminta Albuquerque mempertimbangkan sepenuhnya keputusan untuk menyerang Melaka kerana kota itu mempunyai tembok pertahanan yang kukuh.
Sultan sendiri mempunyai seramai 20000 orang, mempunyai bekalan makanan , senjata, jumlah meriam yang banyak, dan juga damak beracun yang boleh dilepaskan dengan sumpit. Di luar tembok pertahanan yang menghadap pantai pula telah digali lubang yang diisi dengan serbuk belerang periuk api dan jerangkap samar yang disembunyikan dengan jerami. Sultan mempunyai 20 ekor gajah yang lengkap dengan binaan seperti kota di atasnya dan gajah-gajah ini sangat terlatih untuk berperang.
Albuquerque gembira dengan sikap orang-orang Cina ini dan memberitahu mereka bahawa mereka boleh pergi dan mengingatkan mereka akan janji mereka untuk kembali ke Melaka dengan barangan dagangan selepas kota Melaka berjaya ditakluk. Dia berkata jika mereka mahu menunggu sehingga esok mereka boleh melihat sendiri dengan mata kepala mereka bagaimana Melaka dihancurkan. Orang-orang Portugis tidak takut dengan musuh sebegitu kerana sudah biasa berperang menentang tentera bergajah. Orang-orang Cina itu bersetuju untuk menunggu dan mahu melihat tentera Portugis beraksi. Albuquerque juga meminta daripada orang-orang Cina itu agar meminjamkan bot mereka untuk tujuan pendaratan kerana Albuquerque kekurangan bot. Orang-orang Cina dengan senang hati bersetuju dengan permintaan Albuquerque itu.
Bersambung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan