Ahad, 14 Februari 2016

Rahsia Bagaimana Portugis bertahan selama 130 tahun di Melaka.


Rahsia Bagaimana Portugis bertahan selama 130 tahun di Melaka


Kedudukan Melaka Yang Stategik

  • Kedudukan pelabuhan melaka yang stategik . Dapat menghubungkan laluan perdagangan terpenting antara Lautan Hindi dan Laut china selatan.
  • Boleh dikunjunggi saudagar dari serata dunia sepanjang tahun melalui pertukaran angin monsun.

Selepas ketibaan Portugis di India dan kejayaan mereka menawan kawasan strategik di benua itu, mereka mula mencari peluang bagi menakluki  pelabuhan Melaka yang cukup terkenal ketika itu.


Penguasaan Portugis

  • Portugis menjajah dan menakluk kota pelabuhan melaka selama 130 tahun . Bermula dari penaklukan oleh Afonso de Albuquerque  pada tahun 1511 sehinggalah kepada kejatuhan penguasaan Portugis ke tangan Belanda pada 1641.
  • Portugis mampu bertahan di Melaka kerana keampuhan kota yang mereka bina yang dikenali sebagai A Famosa. Kota ini diceritakan adalah yang paling kukuh pernah dibina dalam sejarah Maritim di Asia Tenggara.

Pada tahun 1506 , Raja Portugis yang bernama Raja Manuel I mengutus sepucuk surat kepada pemerintah tanah jajahannya di India . Antara kandungan surat itu ialah arahan Raja Manuel I supaya wakil Portugis di India segera memulakan persediaan bagi menakluk bandar pelabuhan Melaka.


Di dalam surat berkenaan, Raja Manuel menyatakan bahawa dia telah menghantar dari Lisbon ke India separuh bekalan kayu [Half of wooden fort] bagi kerja-kerja membina kubu. Bekalan kayu ini akan digunakan untuk membina kubu pertahanan pasang siap di Melaka yang kelak akan dilengkapi dengan unit alteleri dan dikelilingi pula oleh parit dan benteng yang kukuh.


Berkenaan dengan lokasi terbinanya kubu itu kelak , Raja Manuel I mengarahkan bahawa Kapten yang bertanggungjawab ke atas serangan di Melaka perlu menentukan sendiri lokasi yang sesuai, struktur tanahnya perlulah kuat , mudah dipertahankan , mempunyai pelabuhan yang bagus dan mestilah berhampiran laut. Raja itu mahu dengan terbinanya kubu Portugis itu kelak di Melaka akan membolehkan aktiviti perdagangan barangan dapat dijalankan dengan selamat.


Walau bagaimanapun operasi penaklukan Portugis yang pertama di Melaka hanya bermula 3 tahun selepas surat itu ditulis akan tetapi Raja Manuel I telah pun merancang dengan teliti sejak dari awal-awal lagi . Raja itu mahu mencapai matlamat projeknya yang dikenali sebagai “Oriental Project” iaitu mewujudkan rangkaian yang menghubungkan kesemua kilang pembuatan dan kubu-kubu milik Portugis yang ada bertebaran di seluruh lautan Asia. Raja itu juga mahu melihat Portugis berjaya menakluki laluan perdagangan komoditi antara timur dan barat yang terpenting di dunia pada ketika itu.


Pada tahun 1509 , Diego Lopes de Sequiera  seorang kapten Portugis menghantar laporan expedisinya yang pertama ke Melaka. Dia melaporkan bahawa rombongannya tiba dan  menghadap Sultan Melaka. Pada mulanya hubungan itu berjalan dengan aman dan Sultan Melaka melayan mereka dengan baik . Tetapi kemudian sesuatu telah berlaku sehingga tercetusnya konfrantasi antara rombongan Portugis dengan pihak Melaka. Dalam laporan itu Diego menyatakan yang kapal Portugis terpaksa berundur dan meninggalkan  beberapa orang Portugis yang telah ditawan oleh pihak Sultan Melaka. Antara beberapa orang Portugis yang ditawan itu ialah seorang kelasi yang bernama Rui de Araujo.


Ketika dalam tahanan Rui de Araujo bertindak mengumpulkan maklumat risikan bagi mengetahui apakah kekuatan yang dimiliki pihak Melaka . Rui kemudiannya berjaya menghantar maklumat risikan itu kepada pihak Portugis yang berpengkalan di India .Rui memberikan maklumat terperinci mengenai saiz kota Melaka , komuniti pedagangnya , dan juga apakah aktiviti penduduk Melaka.


Dalam maklumat risikan itu, Rui menyatakan terdapat lebih kurang 10000 buah rumah di dalam Kota Melaka . 500 daripada rumah itu diperbuat daripada batu dan bataan tanah liat . Selebihnya kebanyakan rumah dibina daripada bahan-bahan tumbuhan . Terdapat lebih kurang 4000 pendekar di Melaka tetapi senjata mereka tidaklah sehebat mana. Kebanyakan mereka bersenjatakan pedang , panah dan “zarbatanes”. Melaka juga mempunyai banyak meriam tetapi keadaan dan rupanya tersangatlah primitif.


Rui de Araujo juga menyatakan betapa pentingnya Melaka sebagai pusat perdagangan komoditi berharga dari serata tempat seperti China , Borneo , kepulauan Jawa , Sumatera , Siam , Kemboja , Pegu dan Bengal .


Disebabkan oleh laporan risikan yang menabjubkan inilah maka wakil raja Portugis di India memutuskan untuk menghantar satu lagi ekpedisi ketenteraan ke Melaka buat kali kedua. Mereka mempergunakan alasan bahawa mereka mahu membebaskan orang Portugis yang ditawan dan mendesak Sultan Melaka membayar ganti rugi. Dari pengkalan Portugis di India , ketumbukan yang terdiri daripada 16 buah kapal perang Portugis dan seramai 1600 tentera berjaya dikumpulkan . Ekpedisi  ini diketuai oleh Kapten Afonso de Albuquerque dan berjaya sampai ke Melaka pada tahun 1511.


Selepas beberapa siri serangan yang hebat dan sengit maka jatuhlah Melaka ke tangan Portugis . Melaka disytiharkan milik jajahan Portugis apabila Sultan Melaka bersama pengikut-pengikutnya bertindak keluar dari Melaka dan berundur ke arah selatan Semenanjung Tanah Melayu [Muar]. Maka tinggallah  Portugis dengan kota perlabuhan Melaka yang termahsyur itu. Tanpa berlengah Afonso de Albuquerque segera membuat persiapan untuk menduduki Melaka .Sebuah tempat yang sesuai perlu dicari untuk membina kubu pertahanan Portugis dengan segera  bagi merialisasikan matlamat “Oriental Project” Raja Manuel I. Objektif projek ini turut melibatkan pembinaan kubu kuat Portugis di beberapa lokasi strategik di seluruh perairan Asia seperti Hormuz , Goa dan juga yang terbaharu Melaka.


Beberapa faktor perlu difikirkan Afonso de Albuquerque sebelum pembinaan kubu Portugis di jajahan baru Melaka ini dimulakan. Pertamanya dia perlu menilai dari aspek topografi dan bentuk muka bumi Melaka. Kemudian soal bahan pembinaan yang boleh diperolehi  dan bekalan tenaga buruh juga turut diteliti. Selain itu Portugis perlu memikirkan secara serius bagaimana untuk mengambil hati penduduk setempat agar membantu mereka. Turut difikirkan ialah apakah kemampuan ketenteraan yang dimiliki oleh musuh-musuh Portugis yang masih berada di sekitar bandar Melaka.


Kebiasaannya Portugis selalu membina kubu mereka berhampiran dengan laut. Ini bagi memudahkan mereka menerima bekalan dan sokongan dari kapal-kapal hebat mereka. Juga keselamatan dan aktiviti memungah barangan dari kapal-kapal mereka boleh terjamin dengan adanya perlindungan dari meriam-meriam yang dipasang pada kubu . Memandangkan Melaka telah ditawan dengan cara yang ganas dan memeritkan maka kubu yang akan dibina kelak perlulah cukup kuat untuk menjaga keselamatan askar Portugis yang akan ditinggalkan untuk menjaga Melaka sementara askar yang lain akan berlayar pulang. Kubu Kuat Portugis itu akhirnya mula dibina dan diberi nama A Famosa [yang terkenal].


Pada tahun 1514 , seorang warga Itali berbangsa Eropah yang turut sama terlibat ketika perang penaklukan Portugis ke atas Melaka bernama Giovanni da Empoli menulis surat kepada ayahnya. Giovanni da Empoli ialah orang yang bekerja dengan pihak Portugis dan dia menyaksikan sendiri bagaimana pembinaan  kota A famosa dilakukan. Dalam surat kepada ayahnya itu dia menceritakan perihal kota yang dibina Portugis itu . Suratnya berbunyi:

Kapten-Jeneral (Afonso de Albuquerque) dengan orang- orangnya bertungkus lumus semasa terik ketika siang dan berpandukan nyalaan api obor ketika malam membina kota itu dengan papan kayu dan kayu balak yang berat dan besar-besar. Melengkapkannya dengan unit meriam dan dalam masa sebulan siaplah ia. Apabila kubu kayu itu sudah cukup kuat kami mula membina satu lagi yang diperbuat pula daripada batu. Kami membinanya dengan meruntuhkan rumah orang-orang Melaka , masjid mereka dan beberapa bangunan milik mereka. Ia adalah tugas yang cukup payah untuk mengangkut batu di atas belakang badan kami dan semua orang yang ada kini menjadi buruh , penyusun batu bata dan pemahat batu. Sementara kami membuat kerja selalu sangat kami diganggu musuh dan hampir setiap hari juga kami diserang. Bermula dari satu arah , kemudian arah yang lain , kemudian dari arah laut dan kemudiannya dari arah darat pula. Kota itu dibina dengan senjata kami sentiasa tersedia di sebelah kami dalam keadaan panas terik matahari yang tak tertanggung”.

Kubu awal yang daripada kayu itu bertujuan melindunggi orang Portugis daripada serangan balas musuh . Startegi ini adalah biasa bagi orang Portugis dimana mereka dilihat selalu menggunakan taktik ini seperti di beberapa tempat lain di Asia dan kini turut diguna pakai ketika di Melaka. Sebahagian  kayu untuk kubu ini adalah pemberian Raja Portugis yang turut dibawa belayar dengan kapal, sudah sedia dipotong dan hanya menunggu untuk dipasang di tempat yang dipilih. Kelicinan dan kecepatan Portugis membina kubu dapat memastikan kelebihan berpihak kepada Portugis berbanding penyerangnya.


Rui de Brito Patalim adalah kapten Portugis Melaka pertama yang bertanggungjawab menyiapkan kota A Famosa dan menguruskan Melaka sepaya kembali kepada keadaan asal. Dia selalu memberikan perkembangan tentang kota A Famosa  melalui surat-suratnya kepada pihak berkuasa di Portugis. Salah satu suratnya kepada Raja Manuel I bertarikh 1 Jun 1514 ada menyebut:

“Kerja-kerja membina kota sedang dijalankan  .Menaranya cukup tinggi dan besar, dengan rumah yang elok dibina daripada kayu yang bagus. Setiap tingkat menara itu adalah setinggi 21-22 palms [ unit Palmos, kira-kira 4.8 meter ]. Saya berhasrat membina sebuah menara setinggi 5 tingkat, 130 palms tinggi [ 28 meter] lengkap dengan menara pemerhati [ameias], supaya keadaan di laut dapat dilihat dengan jelas daripada atas bukit.”


Dalam satu lagi surat kepada Afonso de Albuquerque ( 1 Jun 1514 ) , Rui de Brito Patalim menambah maklumat:

“Bumbung yang tirus [corucheo]di tenggahnya ialah setinggi 55 palms [ 12 meter ],kekudanya [asnas] ialah 60 palms [ 13.2 meter ] lebar”.

Beberapa tingkat pada menara itu sangat tinggi, diperbuat daripada kayu balak yang sangat panjang dan lurus yang diperolehi daripada sebuah tempat yang dinamakan “Cacam”, letaknya kira-kira 10 Km dari bandar Melaka. Dalam masa tiga bulan kapten Rui de Brito Patalim menjangkakan pembinaan menara itu akan selesai. Menara itu perlulah sangat tinggi supaya dapat berfungsi sebagai menara pemerhati mengawasi keadaan laut. Bumbung menara itu pula berkilat kerana disaluti plumbum cair.


Tome Pires, pengembara yang pernah tinggal di Melaka dari tahun 1512 hingga 1515 menulis dalam buku pengembaraannya “Suma Oriental” menyatakan bahawa kota A Famosa dibina di atas tapak asal masjid Agung Melaka , memiliki tembok yang sangat lebar dan menara setinggi 5 tingkat. Disebelah kota itu ombak laut membadainya dan yang sebelah lagi ada sebatang sungai mengalir .


Gaspar Correia, seorang setiausaha peribadi kepada Afonso de Albuquerque yang tinggal di India hampir separuh abad sehinggalah dia mati pada tahun 1563. Gaspar Correia menulis buku bertajuk Lendas da India [Legends Of India], berkenaan sejarah aktiviti Portugis di timur sejak dari zaman Vasco da Gama. Dia barangkali tidak pernah menjejakkan kaki ke Melaka tetapi dia gemar mengumpulkan maklumat yang boleh dipercayai daripada orang-orang yang pernah pergi sendiri ke Melaka. Dalam bab 29 bukunya berkenaan ‘Legend of Albuquerque’ dia menyatakan secara terperinci kisah penaklukkan Portugis ke atas Melaka. Menurutnya pada awalnya pihak Portugis menyiapkan kota yang diperbuat daribada kayu menggunakan banyak Jong rosak yang berlabuh di perlabuhan Melaka, turut digunakan ialah tong-tong kayu yang diisi penuh dengan tanah. Sehinggalah apabila tiada lagi ancaman yang datang dan mereka telah memiliki pertahanan yang kukuh [kubu kayu] untuk menerima ancaman musuh barulah Portugis mula membina kota A Famosa yang diperbuat daripada batu.


Menurutnya tapak yang dipilih untuk membina kota daripada batu itu ialah menghadap sungai dan terletak di Muara Sungai Melaka. Asas untuk tapak menara itu adalah sangat dalam,  lebar 20 kaki  manakala asas bagi tapak tembok pula ialah 12 kaki lebar. Setiap sudut kota itu pula dibina menara berbentuk empat segi , dengan bersyilingkan kayu, tingginya pula sama aras dengan tembok kota itu sendiri. Proses menyiapkan asas kota ini sahaja mengambil masa 2 bulan lamanya.


Memandangkan bekalan batu yang sangat terhad untuk membina tembok, maka Albuquerque telah mengambil langkah drastik yang terkutuk dengan merobohkan masjid Agung Melaka. Dia mengupah seramai 300 penduduk tempatan untuk kerja-kerja merobohkan struktur batu masjid Agung Melaka dan beberapa binaan lain yang lebih kecil, dan juga mengambil semua batu nisan dari kubur orang-orang Islam.


Pendapat ini disokong melalui catatan oleh Bras de Albuquerque [anak Albuquerque]  yang menyatakan bahawa kota itu dibina di atas tapak masjid Agung Melaka dimana kesemua bahan-bahan binaan kota adalah diguna semula daripada masjid yang dirobohkan itu. Salah satu batu yang diambil dari Melaka itu sendiri ialah batu besar yang diukir oleh ayahnya yang dinamakan batu Comendrios de Afonso de Albuquerque.


Pada batu ini diukir nama-nama penting kapten Portugis yang terlibat di dalam penaklukan Melaka. Akan tetapi timbul pula rasa tidak puas hati dikalangan kapten-kapten lain yang nama mereka tidak diukir sekali pada batu itu . Oleh itu Albuquerque mengarahkan batu hambar itu diletakkan di atas pintu kota tetapi bahagian yang tertulis nama-nama dipalingkan ke dinding. Pada permukaan batu yang menghadap ke depan itu diukir perkataan Portugis “Lapidem, quem reprobaverunt edificantes”. Iaitu maksud ayat yang diambil dari kitab injil  [batu yang para pembina itu hinakan].


Menurut Joao de Barros, yang tidak pernah menjejakkan kaki ke Melaka menyatakan untuk merancakkan pembinaan A Famosa, Albuquerque turut menggunakan khidmat ramai  Hamba Raja” [hamba Sultan Melaka] bagi membina kota itu. Dan juga penggunaan gajah untuk membantu membawa batu-batu besar.


Dalam masa empat bulan berikutnya seramai 700 orang tempatan lagi diupah untuk membuat simen kapur, daripada cengkerang kerang yang banyak didapati, mereka juga ditugaskan menyiapkan tembok itu yang ditinggikan secara berperingkat terutama yang berhampiran pantai , sehingga kira-kira setinggi orang dewasa. Kemudian semua kerja-kerja ini tergendala selama setenggah bulan kerana kedatangan angin monsun yang membawa bersamanya hujan lebat.


Menara “torre de menagem” [Menara Penjara] pula, seperti yang dinyatakan Gaspar Correia adalah setinggi 4 tingkat. Tingkat pertama setinggi 20 kaki , tingkat kedua 15 kaki , tingkat ketiga 12 kaki , dan yang ke empat 8 kaki .Syiling menara itu diperbuat daripada kayu yang sangat kuat dan panjang, ruangnya selebar 40 kaki sama seperti lebar tapak menara. Setiap tingkat mempunyai 4 tingkap dan setiap tingkap pula ditempatkan meriam yang besar.


Tingkat paling atas ada sebuah teres yang digunakan sebagai tempat untuk menyalakan obor. Menara penjara ini diselaputi keseluruhannya dengan mortar [argamassada] pada setiap sisinya. Bumbungnya pula sangat tinggi dan berbentuk tirus [corucheo] dan ada 4 buah menara kecil berbentuk piramid yang dibina pada setiap penjuru bumbung itu. Kesemua bumbung dan menara kecil itu diselaputi plumbum dan timah.


Kapten dan para pegawainya tinggal di menara ini, manakala askar Portugis tinggal di dalam rumah yang dibina di dalam kubu A Famosa ini. Gaspar Correia menyatakan yang kubu ini berbentuk empat persegi, dan lebarnya kira-kira 66 meter. Ada 2 buah perigi yang digali di dalam kota ini.


Pada tembok yang selari dengan pantai mempunyai sebuah pintu kecil yang besarnya seperti pintu rumah yang biasa, tingginya kira-kira 2 fathoms [bracas] dari aras tanah. Pintu tinggi ini boleh dinaiki menggunakan  sebuah tangga yang sempit muat-muat untuk seorang sahaja melaluinya. Di atas pintu ini dihias dengan Jata Portugis, dan di atas Jata itu dipasang salib manakala dua buah sfera armilari mengapit Jata itu di kiri dan kanan. Pada sebelah tembok yang menghadap sunggai juga dibina pintu yang serupa tetapi bersaiz lebih kecil.


Sebuah peta bandar Melaka yang dilukis sendiri oleh Gaspar Correia kini disimpan di muzium Arquivo Nacional da Torre do Tombo, di Lisbon.


Akan tetapi peta itu kini dipertikaikan memandangkan kedudukkan kota yang dilukis itu tidak tepat seperti mana di lokasinya yang sebenar , sedikit berpaling mengikut arah jam , menunjukkan seolah-olah ia dillukis oleh orang lain, atau berdasarkan maklumat orang lain atau mungkin juga Gaspar Correia sebenarnya tidak pernah langsung ke Melaka walaupun dia seorang kapten yang bertanggungjawab menyudahkan kerja-kerja membina A Famosa.


Tambahan pula saiz kota yang dilukis itu sangat kecil tidak seperti yang digambarkan oleh beberapa penerangan dari abad ke 16 yang menyatakan kota Melaka itu mempunyai hampir seramai 100,000 penduduk. Terdapat juga pendapat yang menyatakan yang jumlah penduduk seramai itu hanya diperbesar-besarkan memandangkan pegawai tempatan Portugis di Melaka berkemungkinan cuba menarik  perhatian pegawai atasan.


Apapun kota yang dibina Portugis ini sememangnya sangat kukuh . Ini berdasarkan bahawa A Famosa masih dapat bertahan sedangkan banyak serangan yang bertali arus datang sepanjang sejarah kewujudannya. Faktor kemampuan bertahannya yang lama ini juga mungkin disebabkan oleh ketidakupayaan kuasa-kuasa tempatan untuk mempunyai arteleri yang cukup kuat bagi memusnahkannya, atau kepakaran ketenteraan untuk menewaskan kota itu. Sekurang-kurangnya sehingga tahun 1550. Kebanyakan penentangan dari kuasa tempatan terhadap Portugis hanya berlaku di sekitar semenjung Tanah Melayu atau di perairan Selat Melaka. Dan kerap kali juga ia dimenangi oleh Portugis yang ketika itu mempunyai persenjataan api yang lebih hebat dan keupayaan kapal lautnya yang cemerlang.


Pada tahun 1546, Raja Portugis yang baru bernama Joao III memerintahkan kepada wakil kerajaannya di India bahawa dia mahu melihat lakaran kesemua kota-kota utama milik Portugis yang dimilikinya di Asia. Disebabkan arahan ini maka pakar-pakar tempatan mula mengumpulkan data dan maklumat yang diperlukan untuk membuat lakaran sebelum dihantar kepada raja. Ini termasuk juga lakaran untuk kota Melaka.


Pada tahun 1568, muncul satu lukisan yang dilukis oleh pembuat peta Portugis yang pernah tinggal di Melaka tetapi namanya tidak diketahui.  Lukisan itu menunjukkan paparan kota Melaka dari sudut pandangan mata burung. Lukisan bersejarah itu kini disimpan di muzium Biblioteca Nacional, Rio de Janeiro, Brazil. Ia menunjukkan saat serangan tentera Kesultanan Aceh ke atas kota A Famosa.


Pada sebelah kiri bawah lakaran ini ditulis “Sultan Allaharadim Riayat Shah, pemerintah Aceh dan sekutunya datang mengepung bandar Melaka ...dengan 300 kapal dan 15,000 askar, termasuk juga bangsa Turki dan tentera upahan dari negara-negara lain”. Dan lakaran itu juga menyebut bahawa Kapten Portugis, Leonis Periera yang berkhidmat dari tahun 1567 hingga 1570, “mempertahankan kota ini dengan kekuatan hanya seramai 200 orang Portugis ...dan berjaya menangkis serangan itu”.


Kesultanan Aceh yang berpusat di bahagian utara pulau Sumatra merupakan kerajaan tempatan yang semakin makmur semenjak kejatuhan Empayar Melayu Melaka ke tangan Portugis. Empayar Aceh semakin meluas dan turut menerima bantuan dan kepakaran daripada empayar Islam Uthmaniah di Turki. Empayar Uthmaniah membantu Aceh dengan menyalurkan kepakaran mereka dalam pembuatan senjata api, dan menasihat  strategi ketenteraan. Pada pertengahan kurun ke 16 , Aceh merupakan satu-satunya musuh Portugis dari kuasa tempatan yang terkuat dan sering mencabar kewujudan Portugis di Melaka.


Dalam lakaran yang teliti itu mengambarkan keadaan Melaka pada ketika kejadian. Didapati beberapa kawasan di dalam kawasan bertembok [intra-muros], wujudnya penempatan Portugis, manakala banyak kampung-kampung Melayu di sekitar bandar Melaka semakin hilang. Bandar itu kelihatan terancang, dengan jalinan jalan yang raya yang bagus, dapat dilihat dengan jelas juga bangunan dan ciri-cirinya seperti rupa bumbungnya yang berlainan, dan sesetengah rumah dua tingkat kelihatan diperbuat daripada kayu di bahagian atas manakala bahagian bawahnya daripada batu atau mortar.


Melalui lakaran ini menunjukkan Portugis membuat beberapa penambahbaikan terhadap kota itu jika dibandingkan ketika zaman Gaspar Correia. Didapati saiz kota itu juga semakin membesar di mana kota A Famosa yang asal kini merupakan satu kawasan kecil yang menjadi penempatan penduduk Portugis di tengah-tengah kota Melaka. Hampir keseluruhan kota Melaka kini dilindunggi oleh tembok dengan tambahan beberapa buah kubu yang kukuh di setiap penjurunya.


Ketika pemerintahan Kapten Dom Estevao da Gama [anak Vasco de Gama] yang memerintah Melaka dari tahun 1534 hingga 1538, penempatan Portugis ini dikelilinggi oleh tembok “taipa” iaitu tembok yang dibina menggunakan tanah dan batu-batu kecil yang dipukul bersama menggunakan kayu. Penambahan ini dilakukan selepas serangan Aceh yang pertama pada tahun 1537. Di mana ketika itu tembok batu yang asal telah runtuh lalu ia digantikan pula oleh tembok taipa.


Menurut seorang saksi yang bernama Diogo do Couto, seluruh kota itu lingkari tembok sepanjang 1000 Fathoms [2200 meter], dengan tidak lebih dari 3 buah kubu dan sebuah benteng [cubelo].


Portugis membina lagi tembok batu baru ketika era pemerintahan Kapten Dom Diogo de Meneses  [1564-1567], setelah pegawai tertinggi Portugis di India mengarahkan agar kota Melaka diperkuatkan susulan kerap menerima serangan dari Kesultanan Aceh dan beberapa negeri Islam lain yang berada di sekitar Selat Melaka. Tambahan pula negeri-negeri ini semakin kuat selepas dibantu oleh pihak Uthmaniah yang menyalurkan bekalan arteleri terus dari Laut Merah.


Pembinaan tembok A Famosa yang baru dapat diselesaikan sejurus sebelum serangan Aceh pada tahun 1568. Dalam serangan ini pihak Portugis di bawah pimpinan Dom Leonis Pereira [1567-1570] berjaya mematahkan serangan Aceh walaupun pada ketika itu pihak Aceh membawa lebih daripada 200 buah meriam tembaga yang besar. Portugis di Melaka sendiri ada menerima bantuan arteleri daripada pihak Portugis dari Goa. Tembok baru yang diperkukuh diperbuat daripada bahan-bahan yang lebih kuat itu adalah adalah satu contoh inovasi radikal Portugis yang paling berjaya dalam sejarah peperangan di Asia Tenggara.


Berikut adalah pelan rancangan Portugis ke atas penambahbaikan kota Melaka


     





Sejak dari mula kewujudan kota A Famosa, Portugis tidak jemu melakukan penambahbaikan yang berterusan sepanjang 130 tahun tempoh penaklukkan mereka di Melaka. Kota itu telah diperkukuhkan berkali-kali demi untuk memastikan kepentingan Portugis di Selat Melaka sentiasa terjaga. Ia juga tidak terkecuali menerima pendedahan kepada evolusi kaedah pertahanan yang efektif, taktik peperangan semasa yang sentiasa dikemaskini dan juga pendedahan terhadap teknologi ketenteraan.


Ini berdasarkan lakaran iconografik dan juga text-text dokumen lama yang berjaya dikumpulkan sejak dari kurun ke 16 yang jelas menunjukkan bahawa kota itu sentiasa menerima pembangunan dan dijaga dengan sebaiknya oleh Portugis. Kepentingan kota A Famosa itu yang sentiasa relevan terutama dalam mengharunggi serangan berterusan dari kuasa-kuasa tempatan sehinggalah kepada persaing Portugis yang datang dari benua Eropah [Inggeris dan Belanda] selepas itu.


Pada akhir kurun ke-16 dan awal kurun ke-17 berlaku proses perluasan kuasa politik dan ketenteraan oleh pihak Inggeris dan Belanda [pesaing Portugis]. Mereka dilihat mula aktif keluar dari benua Eropah demi mencari peluang-pleluang baru di seluruh dunia. Maklumat perisikan terhadap sumber-sumber asli yang ketika itu dikuasai oleh Portugis meliputi jajahan yang tersangat luas bermula dari timur Afrika sehinggalah ke selatan China mula dikumpulkan dan menjadi perhatian paling utama dua negara ini. Pada ketika ini Portugis dilihat mula memperhebatkan pertahanan kota-kota yang dimilikinya dalam menghadapi cabaran bentuk baru ini.


Pada tahun 1641 , kota itu akhirnya jatuh ke tangan pihak Belanda manakala Portugis dihalau keluar. Kejatuhan ini bukanlah disebabkan lemahnya pertahanan Portugis di Kota A Famosa tetapi disebabkan oleh faktor geo-politik, cabaran ekonomi dan juga ketenteraan yang dihadapi Portugis secara keseluruhan.





Rujukan


Rui Manuel Loureiro, Historical Notes on the Portuguese Fortress of Malacca ( 1511-1641).

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum....terima kasih pada Tuan kerana menulis kisah kisah sejarah di dalam blog ini untuk peminat sejarah seperti saya. Semoga Tuan teruskan usaha untuk menulis lagi sejarah yang lain. Terima kasih Tuan.

    BalasPadam