Selasa, 29 Mei 2018

Buat Sendiri : Masalah MyTv E020 - Saluran Tidak Ditemui

Kalau buka Mytv dan keluar error ni "E020-Saluran Tidak Ditemui". Jangan panik. Masalah ni senang je nak selesaikan.

Untuk kes saya mungkin sebab budak-budak kat rumah ni suka sangat main remote. Entah apa yang ditekannya . Bila abahnya nak tengok tv keluar pulak macam ni.


Kalau jadi macam ni. Kita cuma perlu pastikan tiada wayar pada decoder yang tercabut. Terutama wayar antena. Dan yang paling penting jangan pulak ambik tangga nak pergi goncang antena kat luar tu. Sebab masalah bukan pada antena.

Mula - mula ambik remote dan tekan butang Menu. Kemudian pergi ke bahagian "Mencari Siaran". Tekan OK. Kemudian pilih "Carian Automatik".

Pada skrin akan minta no Pin. Dengan menggunakan remote control Mytv taipkan "0000".

MyTv akan mula mencari siaran Tv dan Radio. Setelah selesai korang dah boleh guna MyTV seperti biasa.

Alhamdullilah. Suka tengok TV dah berfungsi kembali. Tak payah susah payah nak telefon orang datang betulkan. Mudah sangat. Semoga info ini membantu.

Buat Sendiri : Tangki air melimpah


Tangki air untuk rumah teres biasanya diletakkan di atas syiling. Tangki air diletakkan di tempat yang kukuh seperti palang kayu, simen  bumbung bilik air atau atas dinding rumah yang dibina daripada konkrit. Untuk gambar kat atas ni ialah air tangki rumah aku. Kat atas bumbung bilik air.

Untuk akses ke kawasan ini anda memerlukan tangga yang tinggi seperti 9 - 12 tingkat. Jika tangki berada di atas syiling maka carilah lubang syiling supaya anda boleh masuk ke atas. Lubang syiling biasanya berada di kawasan dapur atau di bilik tidur utama. Jika tangki berada di bahagian atas bumbung rumah maka anda perlu naik menggunakan tangga dari luar rumah.

Petanda awal tangki air melimpah.

Tangki air rumah berada di kawasan yang tersorok dan tinggi. Berikut adalah beberapa tips untuk mengesan jika tangki air bermasalah.

1. Bunyi air melimpah dari atas bumbung menitik jatuh ke lantai. Menunjukkan berlaku limpahan kerana tangki air telah diisi melebihi takat penuh . Pastikan tiada sesiapa yang menggunakan air dalam tempoh 10 minit supaya anda dapat mengesan bunyi air melimpah.

2. Bil air yang luar biasa. Jika masalah tidak dapat dikesan awal maka perhatikan bil air jika berlaku peningkatan jumlah bil yang luar biasa. Ini menunjukkan sama ada berlaku kebocoran saluran air paip dari meter air hingga masuk ke rumah ( Dalam tanah ) atau pun berlaku limpahan air dari tangki.

3. Pertumbuhan kulat hijau atau hitam pada syiling/bumbung batu.  Menunjukkan berlaku kebocoran yang disebabkan oleh air. Sama ada atap rumah sudah bocor atau pun limpahan dari tangki air. Percikan air juga boleh menyebabkan kulat tumbuh pada dinding.

Sediakan barang untuk langkah pemeriksaan.

Jika terdapat tanda-tanda seperti diatas maka bertindaklah segera. Masalah tangki air sebenarnya boleh diatasi dengan mudah tanpa perlu mengupah orang datang betulkan. Berikut adalah barangan yang perlu anda sediakan.

1. Tangga untuk naik ke atas bumbung/syiling. Kalau tangkinya atas bumbung sebelah luar maka kena ada 2 tangga. 1 untuk naik ke bumbung satu lagi untuk turun ke tempat tangki.
2. Inlet ( yang ada tangkai untuk pelampung ) . Berharga dalam RM16 ke atas. Pastikan saiznya betul. Biasanya kalau yang jenis besi tembaga tu saiz 1/2.
3. Spanar boleh laras - Saiz besar.
4. Pemutar skru - untuk umpil penutup tangki air.
5. Seal tape - untuk ikat pada ulir paip supaya air tak tiris.
6. Pergi tutup pili air masuk utama ke tangki - Biasanya ada di dalam bilik air. Tengok pada dinding bilik air yang ada pili bentuk bulat bungga. Pili masuk ialah pili yang paling rendah. Pulas ke kanan untuk tutup.
7. Inform semua orang dalam rumah supaya gunakan air sekarang. Sebab nak bagi air dalam tangki surut sikit. Nanti senang nak tukar inlet.

Cabaran Utama. GAYAT

Bila dah sediakan barang-barang tu maka bawaklah tangga nak naik ke atas. Pastikan tangga jenis terkangkang luas-luas dan tak bergoyang. Tak payah suruh orang lain tolong pegang. Nak elak gayat jangan tengok bawah atau sekeliling.

Dah Jumpa Tangki.

Buka penutup tangki dengan mengumpilnya guna skru driver. Korang akan nampak tadahan air korang yang confirm berkeladak. First tengok inlet yang ada pelampung tu. Kalau dia tenggelam dengan pelampung-pelampungnya sekali dalam air bermakna inlet tu dah tiris.

Suruh orang kat bawah buka balik pili air utama yang dalam bilik air tadi . Air akan mencurah masuk ke dalam tangki. Usik-usik pelampung naik turun untuk check . Sepatutnya bila sehabis naik atas air tidak akan mengalir ( inlet tutup ) . Jika ia menitis bermakna inlet dah bocor.

Jika inlet ketika itu terendam dalam air cuba dengar jika ada bunyi air keluar. Itu sebab korang kena kurangkan sikit air dalam tangki tadi sebelum nak naik atas bumbung tu.

Dalam situasi ini langkah terbaik ialah menukar terus inlet lama dengan yang baru satu set. Gunakan spanar boleh laras  dan pulas dari sebelah dalam tangki supaya inlet boleh tercabut keluar.

Selepas dicabut cuba check inlet itu apa masalahnya supaya korang dapat fahami. Untuk kes aku saluran keluar air tu dah sompek sedikit menyebabkan air menitis keluar. Sompek kerana karat air. Biasalah besi-besi paip memang senang terhakis sebab air ni membawa sekali keladak dan pasir.

Pasang inlet baru. Saiz kena sama. Untuk tangki air aku ni saiz 1/2 . Beritahu orang di bawah untuk buka semula pili air utama dan test. Inlet yang baik tidak akan melepaskan air walau setitik. Sekarang kerja korang dah selesai. Tahniah!!..untuk diri sendiri. Dah dapat pengalaman baru buat benda ini sendiri dan selamat duit dari mengupah orang.

Dan yang paling penting, jangan lupa selfie dengan tangki air tu sebelum turun ...kuikuikui.



Isnin, 28 Mei 2018

Aku masih main game Yoworld



Game Facebook paling lama pernah aku main. Start dari tahun 2009 sampai la ni 2018. Dah 9 tahun . Fuh lama betul main. Kenapa aku boleh tak jemu main game budak-budak ni ye.

Aku dapati aku ni memang dah ketagih dengan Yoworld ni lama dah. Sebab hari - hari aku ada rasa nak online FB semata-mata sebab nak main Yoworld. Kalau dulu nak main game FB cuma boleh guna PC je . Tapi sekarang dah senang . Dah boleh main guna Smartphone . Jadi apa benda game Yoworld ni?

Apa itu Yoworld?

Yoworld ialah social game dimana kita boleh berinteraksi sesama pemain lain di dalam sebuah dunia maya yang dinamakan Yoworld. Idea asalnya ialah untuk pengguna FB bersosial sesama sendiri sambil berinteraksi didalam permainan.

Secara mudahnya pemain akan diberikan satu avatar yang mewakili diri kita. Kita bebas mengubahsuai avatar ini mengikut kehendak dan daya imaginasi kita. Dari pilihan pakaian, gender, makeup, style rambut dan sebagainya. Avatar ini boleh bubble talk , bergerak dan melakukan pelbagai jenis action yang cute dan menyeronokkan.

Kemudian kita juga boleh melengkapkan avatar cute kita itu dengan menyediakan rumah untuk avatar ini tinggal . Dah macam main anak patung doll house tu pulak kan. Rumah itu pulak asalnya didatangkan kosong tanpa ada apa-apa hiasan dan perabot. Jadi pemain perlu menghiasi ruangan rumah dengan perabot dan segala macam benda yang boleh dibeli didalam permainan ini. Awas, kesemua perabot yang dibeli bukanlah percuma. Untuk itu pemain memerlukan matawang Yoworld.

Duit dalam dunia Yoworld

Pemain diberikan peluang untuk mendapatkan duit dengan "bekerja" secara maya.  Duit gaji yang diperolehi dapat digunakan untuk membeli segala jenis benda di dalam Yoworld. Yocash dan Yocoin adalah 2 jenis matawang yang digunakan. Aku sendiri dah menggumpul berjuta2 yocoin dan beribu-ribu yocash sejak 9 tahun bermain.

Ketagihan Bermain Yoworld

Pada awal ketagihan bermain Yoworld aku terpaksa mencipta beberapa account Facebook tambahan lain atas sebab nak cepat kaya kumpul duit yocoin. Aku ada 7 account di FB khas untuk main game ni je.

Mencipta multiple fake account di FB adalah salah. Menyelenggara kesemua fake account itu juga bukannya mudah . Penat dan memakan masa. Akhirnya aku terpaksa kurangkan fake account dan sekarang hanya gunakan 3 sahaja yang paling aku sayang sebab account2 ni dah maju dan kaya. Yelah tu kan.  Kaya dalam dunia maya bukanlah hakiki.

Kerana cinta pada Yoworld aku ciptakan juga satu fan page di FB dinamakan Yowolrd Malaysia. Setakat ni tak ada orang lain yang like page itu selain diriku hahahaha. Membuktikan game ini tak terkenal langsung bagi pengguna-pengguna Malaysia dan Asia.




Berbaloi ke main game ini?

Memandangkan game ini free tanpa kena bayar apa-apa maka ia menjadi salah satu sebab mengapa aku masih bermain. Walaupun usia aku dah semakin lanjut. lagipun nak mendapatkan matawang maya di dalam game ini tidaklah sesusah mana. Aku masih boleh berhibur seperti pemain mat salleh lain yang lebih kaya-raya asalkan aku rajin mencari yocoin. Pendek kata tanpa membelanjakan sesen pun duit aku masih boleh menikmati permainan ini.

Di dalam Yoworld pemain juga boleh berdagang dengan berjual beli barangan milik kita kepada orang lain. Berdagang adalah salah satu sebab bagaimana pemain dapat menjadi kaya.

Minat aku pulak memang suka kepada game yang decor-decor ni. Lagipun ia lebih mudah berbanding game-game lain yang pernah aku main . Macam game yang nak kena lawan sana lawan sini. Atau multiplayer game yang menuntut pemain sentiasa berjaga-jaga 24 jam sehari kalau takut kena serang. So pada aku memang kena lah game Yowolrd ini dengan citarasa aku.

Pada pendapat aku yang telah bermain 9 tahun ini. Yoworld adalah satu tempat yang penuh magis, seronok , boleh relekkan minda, menajamkan kreativiti dan skill bersosial. Tetapi ia juga agak bahaya kerana anda terdedah kepada pelbagai jenis pemain dari seluruh dunia dengan bahasa-bahasanya yang suka cari gaduh. Game ini juga dijamin akan menyebabkan ketagihan dan membuang masa. 

Nasihat Aku sebagai pemain

Nasihat aku jika mahu bermain apa-apa game online janganlah melampau sehingga membazirkan masa. Cukuplah sekali sehari atau lebih elok main untuk satu jangkamasa kemudian berhenti terus bila ada rasa macam nak bosan.

Memang tak susah mana pun kalau nak berhenti dari main game. Sebab aku pernah melaluinya. Antara game-game ketagih yang aku pernah main dulu sebelum berhenti ialah seperti Travian, Age Empire, Pharoah, X wing Vs Tie Fighters, Star Wars, King Quest 5, Settlers,  4 Empire, Last Day on earth dan macam-macam lagilah.

Akhirnya semua tu aku dah tinggalkan . Ingatkan kalau tak dapat main mungkin aku tak boleh move on kot. Tapi itu hanyalah persepsi sendiri je. Tapi masalahnya lepas aku tinggalkan game-game tu semua biasanya aku automatik tercari cari game lain pulak. Sebab nak mengisi kekosongan masa yang ditinggalkan sebab tak dapat main game. Hmmm....

Akhirnya sekarang cukuplah aku relek dengan Yoworld je. 3 kali sehari aku online. Hahaha

Kalau korang nak bersahabat boleh join ok. LIKE Yoworld Malaysia.


Jumaat, 18 Mei 2018

Buat Sendiri : Enjin Proton SAGA FLX tak boleh start

Kisahnya enjin kereta SAGA FLX tak boleh start. Di bawah ni senarai ringkas apa yang korang kena buat untuk mengenalpasti punca masalah.

Cara Check bateri OK ke tidak

Mula-mula masukkan kunci kat tempat lock tu. Pulas ke kanan satu kali kita akan nampak lampu-lampu kat panel akan menyala dengan macam-macam alarm keluar. Ini adalah normal. Jangan gelabah dan jangan panik.

Pulas ke kanan lagi untuk start enjin. Jika masa ni enjin kereta tak mahu hidup dan ada dengar bunyi macam bunyi cicak " Tik...tik...tik..." berturutan bermakna bateri kereta dah lemah. Kalau kena macam ni korang kena buat jumper pada bateri untuk hidupkan enjin. Bila enjin dah start jangan matikan sebaliknya terus drive ke pusat service untuk beli bateri kereta baru. Kalau korang matikan jugak nanti kena buat jumper lagi sekali. Hayat bateri kereta sel kering biasanya setahun lebih je. Jadi lepas ni pastikan korang tanya mekanik tu bateri kereta ok lagi ke tak setiap kali korang selesai hantar servis kereta. Biasanya kalau tak ditanya dia pun tak cakap.

Bateri OK tapi enjin masih Gagal dihidupkan.

Kalau tak ada dengar bunyi 'tik tik tik' tapi enjin masih tak nak hidup juga bermakna bateri kereta korang sebenarnya ok tak ada masalah. Jadi sekarang cabut keluar kunci kereta dan periksa keadaan kunci tu sendiri jika ada kerosakkan. Contohnya jika plastiknya dah pecah atau skru tertanggal.

Kalau korang nampak kunci kereta tu dah pecah atau casingnya boleh terbukak kemungkinan besar cip immobilizer dalam kunci tu dah terpelanting jatuh. Rupa cip tu kecik je macam dalam gambar ni.



Tanpa cip kecik ini enjin kereta korang memang tak akan dapat dihidupkan . Cubalah cari kat tempat simpan kunci tu kot kot ada. Kalau tak ada juga korang tak dapat buat apa-apalah. Kena towing kereta pergi pusat servis.

Terpaksa Towing kereta.

Untuk towing free je tak payah bayar. Cuma call je pusat insuran kereta korang nanti diaorang yang akan hantar tow truck tarik kereta pergi pusat servis. Pusat servis pula akan gantikan cip yang hilang tu dengan cip yang baru . Harga cip siap programming adalah RM44.85. Kalau nak tukar kunci baru satu set lagi lah mahal boleh jejak RM300.