Sabtu, 13 Februari 2016

Misteri keutuhan jasad Francis Xavier.


 Misteri keutuhan jasad Francis Xavier.


2016-01-09 10.43.23.jpg

Terlebih dahulu mari saya terangkan berkenaan patung lelaki bertangan kudung yang terdapat di hadapan runtuhan gereja bukit St. Paul di Melaka. Patung ini ialah patung Francis Xavier yang diperbuat daripada marmar putih. Ia diukir oleh Giuseppe Tonnini ( Joseph Tonnini ) yang Lahir di Loreto,1875 dan meninggal dunia di Rome, pada tahun 1954.
Tonnini merupakan seorang pengukir yang mahsyur berbangsa  Itali. Sepanjang hidupnya dia banyak menghasilkan ukiran untuk pelangan-pelangannya yang terdiri daripada orang biasa sehinggalah ke pihak kerajaan. Kebanyakan ukiran yang dihasilkannya bertemakan perayaan , peristiwa penting, patriotik dan juga keagamaan.
Patung francis Xavier di Melaka ini ialah salah satu hasil kerja ukiran Tonnini yang kini diletakkan di hadapan runtuhan gereja St. Paul di atas bukit St. Paul Melaka. Patung ini diukir sendiri oleh Tonnini pada tahun 1952 iaitu bersempena  400 tahun selepas kematian paderi itu.

2016-01-09 10.43.37.jpg
Parap ukiran pada bahagian bawah patung berbunyi “G TONNINI ROMA 1952”


Mengapakah patung ini bertangan kudung?, Siapakah sebenarnya Francis Xavier?

Paderi Francis Xavier merupakan seorang mubaligh yang sering menginap di Gereja St. Paul setiap kali dia datang melawat Melaka sekitar tahun 1545 hingga 1553. Francis Xavier meninggal dunia di Pulau Sancian,China pada hari Sabtu  3 December 1552 kerana demam panas ketika usianya 46 tahun.

Diceritakan Francis Xavier mula jatuh sakit sebulan sebelum kematiannya ketika sedang dalam pelayaran di perairan China dalam misi mengembangkan ajaran kristian di sana.  Faktor kepenatan dalam perjalanan kapal yang sukar mungkin menjadi penyebab sakitnya. Dalam suratnya yang  bertarikh 29 Jan 1552, dia ada menulis bahawa semua rambutnya kini telah bertukar menjadi kelabu .

Oleh kerana demamnya tidak kebah-kebah dia disuruh berehat sahaja di dalam kapal. Akan tetapi  keadaan kapal yang teroleng-oleng dipukul ombak menyebabkan keadaan beliau semakin buruk.  Akhirnya kapten kapal memutuskan untuk berlabuh di pulau berdekatan iaitu pulau Sancian, China dimana dia tinggal di dalam sebuah pondok kecil yang diperbuat daripada dahan-dahan kayu dan lumpur tanah dengan dindingnya yang banyak lubang supaya angin sejuk dapat memasukinya.

Dari hari ke hari sakitnya semakin teruk . Tambahan pula di pulau itu tiada bantuan perubatan, tiada bekalan ubat dan juga makanan. Hanya seorang sahabatnya yang bernama Antonio de Santa Fe yang setia menjaga dan menemaninya di pulau itu. Diceritakan bahawa Francis Xavier semakin nazak selepas mengalami batuk  berdarah sebanyak dua kali. Dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada hari Sabtu  3 Disember 1552.

Selepas kematiannya , jasadnya diletakkan di dalam keranda kayu buatan Cina di mana badannya ditutup dengan kapur [lime] yang banyak supaya dapat mereput dengan cepat. Ini supaya mudahlah tulang temulangnya diambil dan dibawa belayar apabila musim pertukaran angin monsun tiba dan kapal dapat belayar balik menuju ke Melaka. Penggunaan kapur ialah sebagai agen oksida kalsium dan ia dipercayai dapat mempercepatkan proses penguraian. Penggunaan kapur Ini dilakukan atas buah nasihat anak-anak kapal . Tetapi,  menurut catatan sekeping surat yang dikirim kepada Joao Eiro, proses ini dilakukan atas permintaan Francis Xavier sendiri yang mahukan tulangnya dibawa balik ke Goa, India.

Antonio, sahabatnya yang setia menemaninya ketika sakit dan juga kapten Francisco Aguiear membawa keranda kayu Francis Xavier itu ke kaki bukit di mana di situ terdapat salib yang telah didirikan oleh Portugis. Di tempat itulah dia dikebumikan untuk sementara dan batu-batuan diletakkan di bahagian kepala kuburnya sebagai tanda batu nesan. Ketika itu cuaca bulan Disember terlalu sejuk sehinggakan orang-orang Portugis yang lain tidak dapat keluar ketika upacara pengkebumian diadakan.

Pada 17 Februari 1553, perubahan angin monsun telah tiba dan kapal layar Portugis itu sudah bersedia untuk belayar balik ke Melaka. Orang-orang portugis telah datang semula ke kuburnya lalu mula menggali balik mayat Francis Xavier dari kuburnya. Ini untuk memeriksa sama ada tulang-temulang paderi itu sudah boleh diambil memandangkan sudah berbulan dia meninggal. Ketika keranda kayu itu dibuka dan semua kapur itu dibersihkan mereka amat terkejut apabila mendapati mayat Francis Xavier masih elok sama seperti ketika dia dikebumikan hampir 3 bulan yang lalu.

Orang-orang Portugis yang kehairanan itu menyentuh bahagian-bahagian tubuh mayat itu untuk memastikan bahawa paderi itu sudah benar-benar telah mati. Barulah mereka sedar bahawa keadaan mayat yang elok sebegitu adalah satu fenomena yang sangat luar biasa. Mana mungkin mayat yang sepatutnya cepat mereput jika dibiarkan dalam timbunan kapur itu masih lagi elok. Mereka percaya keajaiban ini ada kena mengena dengan Francis Xavier yang ketika hidupnya dihormati sebagai seorang Saint.

Ketika inilah berlakunya pemotongan badan paderi itu yang pertama. Kerana hendak  memberikan bukti kepada kapten kapal, orang-orang Portugis yang mengali kubur itu telah memotong sekeping daging dari peha kiri di atas lutut Francis Xavier kira-kira sebesar jari. Ketika memotong,  tempat yang luka itu berdarah dengan banyak. Melihat keadaan yang luar biasa itu, akhirnya mereka sepakat untuk membawa sahaja keranda kayu itu balik ke kapal dan kemudian terus belayar menuju ke Melaka.

Pada 22 Mac 1553, kapal itu tiba di Melaka dan berita tentang keajaiban mayat Francis Xavier tersebar dengan cepat. Ketua paderi di Melaka datang memeriksa mayat Francis Xavier dan kemudian membawa mayat itu berarak sehingga ke gereja St. Paul yang ketika itu masih bernama Church of Our Lady of Mount. Di sinilah Jasad paderi disemadikan di dalam salah satu ruangan gereja di hadapan pintu dan tanpa berkeranda. Diberitakan bahawa proses mengkebumikannya terlalu kasar. Kuburnya terlalu sempit dan apabila mayatnya dimasukkan ke dalam lubang itu leher Francis Xavier terpaksa dibengkokkan dan akhirnya terpatah.


Di dalam ruangan bersangkar itulah tempat Francis Xavier disemadikan ketika jasadnya dibawa ke Melaka


Ada cerita yang mengatakan mayat Francis Xavier diperlakukan secara kasar kerana perbuatan Gabenor Portugis di Melaka ketika itu yang bernama Dom Alvaro de Ataide. Gabenor ini begitu membenci Francis Xavier memandangkan paderi itu pernah menyumpahnya tidak lama dahulu sebelum bertolak untuk berlayar ke China.
Gambaran Francis Xavier terpaksa berdiri di atas batu kerana keengganan Gabenor Melaka,  Dom Alvaro de Ataide menyediakan perahu untuknya supaya dapat naik ke kapal Galleon. Dalam kisah itu Francis Xavier telah menyumpah Gabenor Melaka itu.

Batu Laterit tempat Francis Xavier pernah berdiri sebelum bertolak ke Taiwan dan China. Batu ini dahulunya berada di tengah laut sebelum seluruh kawasan ini ditambak ketika pemerintahan British. Sebatang salib dipacakkan di tengah batu sebagai tanda tempat Francis Xavier pernah berdiri.


Tidak lama selepas itu kuburnya digali semula pada suatu malam 15 Ogos 1553. Selepas digali mereka mendapati mayat Francis Xavier masih dalam keadaan elok lengkap dengan pakaian paderi yang telah dipakaikan sebelumnya. Mereka juga mendapati sapu tangan yang menutup muka Francis Xavier dan juga kusyen yang ada di situ dipenuhi dengan kesan darah kering. Terdapat pendarahan di bahagian servik yang kemungkinan berpunca daripada bahagian vetebra hidungnya telah patah. Mayatnya juga didapati tidak mengeras atau berbau busuk seperti mayat biasa. Mereka sangat hairan tambahan pula mayat itu tidak pernah diawet.

Berita tentang mayat Francis Xavier akhirnya sampai ke Goa, India. Kapten Lopo de Noronha dimanahkan membawa balik keranda dari Melaka ke Goa. Manakala Fr. Melchoir seorang Jesuit menyewa sebuah Galleon Portugis yang bernama Santa Cruz dan dihias dengan mewah untuk membawa balik mayat itu. Berita kedatangan mayat ini yang akan sampai ke Goa ini turut diberitahu kepada Naib ketua wilayah, Ahli Senat dan juga orang ramai .Akhirnya ramai orang dan juga ketua-ketua agama yang keluar berlayar dengan kapal masing-masing menuju ke kapal Santa Cruz yang membawa mayat Francis Xavier.

Di Bhatkal, orang ramai menjadi heboh apabila terlihat kapal Santa Cruz yang sedang berlayar menuju ke Goa sambil diiringgi oleh beberapa kapal lain. Ketua tempatan wilayah Batkal sendiri keluar bersama-sama dengan para bangsawan lain datang untuk menyambut kedatangan mayat Francis Xavier. Semua orang sangat gembira menyambut pulangnya mayat Francis Xavier ke Goa.

Sebanyak 6 buah kapal mengiringgi kapal Santa cruz yang membawa mayat Francis Xavier. Mayat itu diletakkan di dalam sebuah keranda kayu dengan lapisan merah delima hasil sumbangan seorang sahabatnya yang bernama Dioga Pereira.

Di Goa suasananya bagaikan perayaan. Semua tempat dihias indah termasuk juga di persekitaran sungai Mandovi. Meriam-meriam dari setiap kubu Portugis menembak terus menerus untuk menyambut kedatangan mayat Francis Xavier. Sementara itu Gabenor Goa, ketua paderi , ketua daerah and ahli-ahli senat membuat persediaan untuk majlis keraian yang bersesuaian. Mereka setia menunggu kedatangan mayat Francis Xavier.

Pada malam 14 Mac 1554, akhirnya mayat itu sampai ke Ribandar dan terus dibawa ke Gereja Ajuda. Selepas itu pada 16 Mac 1554 mayatnya dibawa pula ke gereja Sao Paulo . Hampir kesemua gereja disana yang berjumlah kira-kira 40 buah membunyikan loceng dan bunyinya bergema di seluruh Goa. Ramainya orang yang mengerumuni keranda itu ketika berarak sehinggakan Gabenor Goa sendiri tidak berpeluang melihat mayat Francis Xavier yang masih berada di dalam keranda.

Pada 16 Mac 1554, Melchoir Nunes, seorang naib ketua daerah dan reaktor sebuah kolej berkesempatan melihat mayat itu untuk kali pertama semasa kerandanya dibuka, dia segera menulis kepada S. Ignatius de Loyola. Dalam suratnya dia menulis “Saya melihatnya sendiri dengan mata kepala saya,dan menyentuhnya dengan tangan saya. Saya memang tak percaya sehinggalah saya melihatnya sendiri

Sebelum mayat Francis Xavier dipertontonkan kepada umum , Gabenor Goa iaitu D. Afonso de Noronha meminta pertolongan doktor bernama Dr. Cosme de Saraiva dan Dr. Ambrosio Ribeiro untuk memeriksa keadaan mayat itu dan untuk mengesahkan dakwaan bahawa mayat tidak mereput itu benar. Selepas selesai memeriksa, Dr. Saraiva mengeluarkan sekeping sijil yang dinyatakan didalamnya bahawa dia telah melihat dan menyentuh seluruh angota badan mayat Francis Xavier. Dia memeriksa bahagian abdomennya dan dapat merasakan apa isinya sehingga dapat mengesan kedudukan usus. Dia juga mengesahkan mayat itu tidak diawet. Bahagian peha dan angota badan yang lain masih berisi daging dan tiada hukum fizik dan ubatan yang boleh mengawetnya seperti itu memandangkan Francis Xavier telah mati setahun setengah yang lalu. Dia memperakui sijil yang ditulisnya itu dan mematerinya di bawah sumpah jawatannya.

Semasa memeriksa mayat didapati di sebelah kiri abdomen terdapat lubang kecil dimana darah yang masih cair keluar mengalir. Dr. Ambrosio pula merekodkan semasa dia memasukkan jari ke dalam lubang itu dia dapat merasakan usus di dalamnya. Dua orang lagi iaitu Bros. Antonio dan Joao Brovo turut menyumbat jari masing-masing ke dalam lubang itu dan mereka juga mendapati bahawa rongga perut itu penuh.

Mayat itu kemudiannya dipertontonkan kepada umum selama tiga hari. Diceritakan ketika mayat itu dipertontonkan buat kali pertama, seorang wanita Portugis bernama Dona Isabel de Caron telah memotong jari kaki kanan mayat yang kelima dari ibu jari dan seorang lagi bertindak memotong sebahagian daging yang kelihatan merah dan kering lalu memasukkannya ke dalam peti memperingati orang mati.

Pada hari ke empat Francis Xavier dikebumikan sekali lagi untuk kali yang ke tiga sesudah kematiannya. Kuburnya berada dekat dengan sebelah kiri altar gereja Sao Paulo.  Pada tahun 1560, gereja ini dirobohkan dan mayat Francis Xavier dan sekali lagi digali keluar dan dibawa ke gereja Sao Tome. Mayatnya disimpan di dalam bilik rektor dan kemudian dipindahkan lagi ke bilik Novice Master  dan akhir sekali ia dibawa pula ke gereja Casa Professa do Bom Jesus.

Mayat Francis Xavier ketika itu didapati masih lagi utuh walaupun telah dikebumikan di 3 buah negara yang mempunyai cuaca yang berlainan dan struktur tanah yang berbeza.

Tidak lama selepas itu seorang general dari pertubuhan Jesus Claudio Aquaviva meminta sebahagian anggota badan Francis Xavier untuk dijadikan relik. Ketua wilayah ketika itu yang bernama Francisco Vieira bersetuju untuk menghantar relik yang diminta. Ini untuk memberikan bukti mencukupi bagi kes mayat tidak mereput itu.

Sudahnya pada 3 November 1614, ketika tengah malam dan di dalam gereja itu berjumpalah mereka semua secara senyap-senyap. Mereka inilah yang akan terlibat membongkar semula kubur Francis Xavier. Sesuadah kerandanya dibuka, Bro Tome Dias diminta memotong tangan kanan mayat Francis Xavier di bahagian siku yang disaksikan sendiri oleh pelawat, ketua wilayah,dan juga 3 orang konsulat. Tangan itu kemudiannya dibawa ke Rome dan dipelihara di dalam sebuah peti memperingati orang mati . Peti itu kemudiannya disimpan di gereja Gesu.

Pada 27 April 1619 sekali lagi tangan mayat Francis Xavier dipotong. Kali ini tangan kanan itu dipotong terus dari bahu hingga ke siku. Ia kemudian dibahagikan kepada 3 bahagian dan dihantar ke kolej Jesuit di Melaka, Cochin dan juga Macau. Ketika proses pemotongan kali ini tiada direkodkan sama ada berlaku pendarahan seperti sebelumnya.

Setahun kemudian iaitu pada 1620, Jeneral tertinggi Portugis yang bernama Vetleschi mengarahkan agar semua organ dalaman mayat itu termasuk juga ususnya dikeluarkan dan diedarkan ke seluruh dunia termasuklah ke jepun. Begitulah yang terjadi kepada mayat Francis Xavier yang semakin hilang sedikit demi sedikit kerana diambil orang.

Pada tahun 1630, keranda Francis Xavier dibuka sekali lagi supaya seorang mubaligh dari Lisbon bernama Fr. Tranquillo Grasseti dapat melihatnya. Kesempatan ini digunakan oleh seorang lagi teman bernama Fr. Marcel Mestrilli untuk mencium mayat itu dan memakaikannya dengan pakaian paderi yang dibawanya. Pakaian itu adalah pemberian Ratu Elisabeth dari Sepanyol.

Seterusnya dari semasa ke semasa keranda itu akan dibuka seupaya orang ramai dapat mencium mayatnya terutama ketika hari perayaan dan keagamaan. Selain itu apabila ada orang penting yang datang melawat Goa mereka juga berhajat mencium mayat itu sendiri. Dan selalunya hajat itu akan ditunaikan. Jadi sudah berapa kali keranda itu dibuka? Tiada siapa yang tahu memandangkan keranda itu adalah di bawah jagaan Jesuits dan merekalah yang menguruskannya.

Ketika zaman itu terdapat kegilaan untuk menyimpan barangan relik. Semua orang mahu memiliki relik yang boleh menghubungkan di antara mereka yang hidup dengan yang telah mati. Ini supaya pemilik relik akan memperoleh manfaat dari azimat relik tersebut. Disebabkan itulah dalam kes mayat Francis Xavier ini , telah ramai orang yang mengambil beberapa bahagian badan mayatnya dan juga pakaiannya. Malah kumpulan Jesuits sendiri mempunyai kebebasan untuk mengedarkan apa sahaja peninggalan dari mayat itu sebagai hadiah.

Begitulah yang berlaku dari tahun ke tahun sehinggalah pada tahun 1744.  Fr. Francisco Rodrigues merekodkan bahawa “Tiada bahagian badan mayat yang dapat dikeluarkan” . Kesimpulan ini  jelas menunjukkan bahawa sudah tiada apa lagi yang tinggal pada mayat yang dapat dibahagi-bahagikan lagi melainkan luarannya sahaja.

Kerana kerakusan itu, kulit mayat mula mengering dan barulah ahli Jesuits mulai bimbang sekiranya mayat itu mungkin akan bertukar menjadi debu seperti mayat biasa. Pada tahun 1681, ketua wilayah Goa bernama Fr. Fernao de Queiros menulis surat kepada Jeneral Tertinggi Portugis meminta beliau mengeluarkan arahan supaya keranda itu tidak akan dibuka lagi. Ketua Bishop juga bersetuju dengan cadangan itu.

Pada tahun 1686, keranda itu dibuka lagi supaya mayat Francis Xavier yang kering itu dapat dialihkan ke keranda baru. Ketua wilayah bernama Gaspar Afonso menulis laporan kepada Jeneral Tertinggi Portugis meminta beliau mengeluarkan arahan agar keranda baru itu tidak akan dibuka lagi. Memandangkan mayat itu kini semakin mereput dan jika ia berterusan terdedah kemungkinan orang ramai tidak akan berpeluang melihatnya lagi.

Ketua wilayah Goa sendiri mengeluarkan arahan mutlak yang keranda itu tidak boleh dibuka. Vicar General bernama Domingos de marinis mengesahkan arahan itu dan berjanji akan mendapatkan pengesahan juga daripada Jeneral Tertinggi Portugis.

Namun walaupun telah dikeluarkan arahan mutlak sebegitu dan masing-masing telah pun berjanji tetapi keranda itu tetap dibuka juga pada tahun 1692. Ini untuk memberi ruang kepada Apostolic Vicar Spinola dan Jesuit dari Perancis Jean Bayard untuk melihatnya.

Pada tahun 1698, mayat Francis Xavier dipindahkan ke sebuah makam yang berseni Itali yang dibina hasil sumbangan Grand duke of Tuscany yang bernama Cosimo III .Akhirnya pada tahun 1707 Jeneral Tertinggi Miguel Angelo Tamburini mengeluarkan arahan keras yang memerintahkan agar mayat itu diletakkan di dalam kotak besi plumbum supaya tiada sesiapa dapat membukanya lagi. Arahan ini disampaikan kepada pemerintah di Goa dan ia dilaksanakan oleh ketua wilayah ketika itu yang bernama Manuel de Saraiva pada tahun 1708. Tetapi Fr. Francisco Rodrigues menyatakan yang arahan itu terlalu keras. Dia menyatakan bahawa arahan itu sepatutnya menyebut mayat diletakkan di dalam bekas kaca dan bukannya besi plumbum yang tertutup. Kemungkinan pindaan ini dilakukan kerana ramai orang yang memberi tekanan kepada kumpulan Jesuits untuk membuka keranda itu.

Fr. Franciso de Sousa. Seorang pengarang Oriente Conquistado dan Prepositor di Casa Professa meminta Jeneral tertinggi Tamburini agar dia perlu mengeluarkan arahan supaya kunci kepada keranda itu dibuang terus ke dalam laut.

Jadi apakah yang menyebabkan datangnya permintaan sebegitu?. Keadaan mayat yang semakin mengering mungkin boleh menjadi sebab munasabah tetapi itu mungkin bukan sebab utama. Sehingga kini mayat Francis Xavier masih belum menjadi debu. Juga tiada bukti badan mayat mula membusuk. Mungkin mereka semua telah sedar kesilapan mengedarkan bahagian-bahagian badan untuk dijadikan relik  dan mungkin juga mereka bimbang sekiranya mereka didakwa dalam mahkamah diraja atas perbuatan mereka merosakkan badan mayat Francis Xavier.

Hampir setengah abad kemudian keranda itu dibuka lagi pada tahun 1744. Tiada laporan perubatan direkodkan tetapi di dalam laporan yang dihantar oleh ketua wilayah Andre Pereira kepada Fr. Carbone dia menulis yang mayat itu dalam keadaan baik. Dia menulis bahawa “ kami telah mengesahkan sendiri dengan mata kami yang keajaiban ini masih berterusan setelah memeriksa bahagian kepala, ynag masih berambut, mukanya, dadanya dan kedua kakinya juga masih dilihat mempunyai bulu-bulu halus. Mayat tidak mempunyai tangan kanan malah tiada bau busuk”.

Pada tahun 1751, keranda itu dibuka lagi untuk dilihat oleh Penasihat dan isterinya, ketua paderi dan juga bekas Gabenor Goa bernama Dom Luis Caetano de Almeida. Masing-masing berpeluang mencium mayat itu. Dom Luis Caetano menyediakan laporan yang bertajuk “Noticias do Corpo do Glorioso Sao Francisco Xavier”. Ia menyatakan apa yang telah dilihatnya dan laporan itu juga ditunjukkan kepada isteri dan anaknya. Dia menulis bahawa tangan kanan mayat yang terpotong sebelum itu telah dihantar ke Rome dan hanya tangan kiri yang masih tinggal dan dapat dilihat dan ia sedang memegang tongkat emas. Tangan kiri itu agak kekeringan tetapi jari dan kukunya masih elok.

Kakinya pula juga mengering manakala kaki kanan itu pula tidak mempunyai jari yang ke lima dari ibu jari kaki dan ia diikat dengan reben merah. Jari-jari yang lain dilihat masih mempunyai kuku. Mukanya masih kelihatan segar tetapi agak keputihan. Dia tidak dapat membezakan dengan betul ciri-cirinya dan menyatakan kepalanya agak besar dan begitu juga dahi. Matanya berkeadaan tertutup dan dia tidak dapat membezakan keadaan bulu mata dan janggut memandangkan semuanya kelihatan sama warna dengan wajahnya. Tulang pipinya kelihatan berisi dan hidungnya agak kasar dan sedikit membengkok ke kanan.Wajahnya pula menunduk ke arah dada.

Pada 2 April 1755, raja Portugis yang bernama Dom Jose I mengetahui akan berita pembukaan keranda itu yang sentiasa berterusan telah merosakkan mayat itu. Dia mengarahkan supaya keranda itu tidak lagi dibuka tanpa arahan tertentu, tidak kira apa pun alasannya. Sama ada untuk dilihat orang-orang penting atau sesiapa sahaja.

Pada tahun 1759, monopoli kumpulan Jesuit ke atas mayat Francis Xavier berakhir apabila mereka diusir oleh Perdana Menteri Marquis de Pombal dan juga dengan kerjasama dari Gereja Bom Jesus dan Casa Professa. Mayat Francis Xavier kini dijaga oleh Ketua Paderi.

Pada 15 April 1765, demi untuk menjaga keranda itu Raja Portugis mengarahkan Ketua Paderi supaya membuat 3 bentuk kunci untuk keranda itu dan disimpan oleh penjaga yang berlainan. Pada 8 Februari 1768 pihak kerajaan yang diketui oleh Ketua Paderi menyatakan kepada raja bahawa kunci pendua dari kunci yang asal juga kini turut dimiliki oleh mereka yang tinggal di Casa Professa selepas Jesuits diusir keluar. Kunci pendua inilah yang akhirnya turut digunakan oleh mereka untuk membuka keranda dan akhirnya banyak lagi tinggalan dari mayat itu yang diambil sebagai relik.

Pada tahun 1782, satu pameran awam telah diadakan. Ketika ini keranda itu dibuka sekali lagi untuk pemeriksaan. Turut hadir ketika pembukaan keranda itu ialah beberapa tokoh terkenal,tiada doktor yang terlibat dan minit upacara itu turut direkodkan di dalam rekod bertajuk “Auto da abertura do tumulo de Sao Fransciso Xavier que teve lugar em 1 de Janeiro de 1782”. Ia ditulis oleh Dr. Feliciano Ramos iaitu seorang setiausaha negara. Menurut laporan itu kepala mayat terdapat rambut, mukanya mempunyai semua gigi yang terlihat kecuali satu, mayat mempunyai tangan kiri dan ada bulu-bulu tetapi telah mereput. Mayat tidak mempunyai tangan kanan.

Apabila Bishop Governor menyentuh tubuhnya selepas menyelak pakaian mayat dia mendapati ususnya tiada. Kulit di peha telah mengering . Tapak kakinya mempunyai kulit dimana saluran urat dapat dilihat. Jari kakinya mempunyai kuku dan hanya jari terakhir dari kaki kanan yang hilang.

Pada tahun 1859, mayat itu sekali lagi diperiksa oleh doktor. Mereka mendapati tengkoraknya diliputi kulit dan rambut di sebelah kanan dan di sebelah kiri pula tiada rambut. Wajahnya berparut dan kehitaman di sebelah kiri dan ada bukaan di sebelah kanan yang sebelumnya adalah lebam. Hanya satu gigi  antara yang kelihatan itu telah hilang. Kedua telingganya masih ada,tangan kanan hilang dan tangan kiri ada jari dan berkuku. Dinding perut telah berparut dan agak gelap warnanya. Tiada usus di dalamnya. Kakinya berparut dan jari ke 5 dan 4 dari kaki kanan telah hilang.

Felipe Nery Xavier yang turut ada ketika sesi itu menulis bahawa mayat kelihatan agak pendek berbanding orang biasa. Tetapi ini mungkin disebabkan oleh kekeringan yang dialami. Tambahan pula banyak organ dalamnya telah hilang. Kepalanya kelihatan terpisah dari leher tetapi selepas diperiksa mereka mendapati tiada perpisahan yang berlaku.

Pada tahun 1878, pegawai kesihatan awam turut ada ketika keranda dibuka lagi dan mereka mendapati keadaan mayat adalah baik. Pada tahun 1890, keranda dibuka tetapi kali ini tiada pegawai kesihatan yang hadir. Begitu juga ketika keranda dibuka pada tahun 1900.

Pada 12 Ogos 1923, mayat itu diperiksa oleh Dr. Francisco Antonio Wolfgango da Silva. Seorang pengarah perkhidmatan kesihatan. Dia hanya memeriksa bahagian badan yang terdedah sahaja. Mengikut pengamatannya mayat itu sudah mengering dan di beberapa tempat tulangnya sudah dapat dilihat. Rupa muka, bentuk telingga, mata yang tertutup semuanya kelihatan sama seperti sebelumnya. Panjang keranda itu ialah 1.52 m dan panjang mayat itu pula ialah 1.44m . Terdapat sisa rambut di kepalanya. Ada sedikit rambut janggut di sebelah kiri mukanya. Bentuk telingga adalah sempurna. Tiga batang gigi dapat dilihat. Ibu jari tangan kirinya mempunyai kuku. Jari ketiga dan ke empat mempunyai sisa-sisa kuku. Bahagian peha tidak dapat diperiksa dengan teliti.  Ia kelihatan mengering tetapi masih ada sedikit bahagian yang lembut.

Pada 9 januari 1932 mayatnya diperiksa lagi oleh pakar perubatan. Bentuk mukanya masih boleh dilihat. Sesetengah tulang pada tengkoraknya sudah mula kelihatan. Telingga terutama yang di sebelah kanan sangat elok. Pada tapak tangan kiri tendon dan urat-uratnya boleh dilihat. Kaki kanan mempunyai empat jari , kaki kiri mempunyai semua jari. Jari kaki yang kedua tidak mempunyai kuku. Semua bahagian badan kelihatan berparut kekeringan dan tiada tanda berlakunya pembusukkan.

Mayat itu diperiksa lagi pada 23 Jun 1951 oleh Dr. Antonio Luis de Sousa Sobrinho seorang pengarah Perkhidmatan kesihatan dan juga Dr. joao Manuel Pacheco de Figueiredo seorang pengarah sekolah perubatan. Ketika ini semua bahagian badan yang terlindung dan tidak terlindung diperiksa. Sesetengah bahagian badan dilitupi kulit dengan bulu-bulunya dan sesetengah bahagian lagi tanpa kulit. Kelopak mata sebelah kanan masih boleh dilihat. Lubang hidung juga kelihatan. Ciri-ciri wajah masih terpelihara. Janggut yang jarang, telingga kanan terpelihara, tendon dan kaki kiri masih ada tetapi kulitnya mengering. Jari kaki pertama dan terakhir ada kuku manakal 3 jari yang lain sudah mereput. Tapak kaki kiri masih baik. Kaki kanan tidak mempunyai 4 jari terakhir.Tendon dan uratnya masih boleh dilihat. Ibu jari kaki itu sangat menonjol tetapi tanpa kuku. Hampir keseluruhan tapak kaki itu masih baik.

Apabila jubahnya ditanggalkan, didapati kepalanya tertanggal dari lehernya. Kemungkinan besar disebabkan pengkebumiannya yang kasar semasa di Melaka kira-kira 400 tahun dahulu . Kulit pada tangannya sudah mulai hilang. Di tengah-tengah keranda itu terdapat banyak tulang. Kemungkinan keranda ini pernah terjatuh. Tiada kulit di bahagian abdomen.

Apabila tulangnya disusun semula, ketinggian daripada ibu jari kaki ke kepala ialah 170cm . Dari tumit ke ke kepala pula 162cm. Doktor itu juga merekodkan bahagian yang tidak mereput ialah bahagian yang tidak tertutup . Akan tetapi terdapat tanda-tanda kemusnahan yang perlahan terutama di bahagian muka, tangan dan kaki.

The sacred head

Hand

The sacred feet
Keadaan jasad Francis Xavier terkini. Kelihatan jasadnya mengering dan berkedut kerana kebanyakan organ dalaman dan anggota tubuhnya telah diambil sejak dahulu.


Jadi berbalik semula kepada patung Francis Xavier yang tanpa pergelangan tangan kanan di Melaka. Adakah ia satu kebetulan?

Semasa Tonnini mengukir patung batu marmar putih itu di Rome keadaan patung itu ialah seperti manusia sempurna. Semasa hari ia didirikan di hadapan runtuhan gereja St. Paul di Melaka keadaan patung itu masih juga belum rosak. Tetapi sehari selepas itu sebatang dahan dari pohon Casuaria yang tumbuh berdekatan telah patah lalu menghempap pergelangan tangan kanan patung itu.

Jadilah patung itu tidak berpegelangan tangan kanan sehinggalah sekarang. Jika dibandingkan patung itu dengan keadaan terkini sebenarnya mayat Francis Xavier sudah tidak mempunyai seluruh tangan kanan bermula dari bahu hingga ke jari-jarinya. Apapun setiap keajaiban yang berlaku ke atas Francis Xavier semuanya adalah kerana kuasa dari tuhan. Jawapannya  akan diperolehi bagi sesiapa yang mahu berfikir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan