Ahad, 19 Jun 2016

Muslihat Utimutiraja terbongkar lalu dia dan ahli keluarganya dihukum pancung.

Muslihat Utimutiraja terbongkar lalu dia dan ahli keluarganya dihukum pancung.

Albuquerque menyerahkan urusan pentadbiran kota Melaka kepada Utimutiraja iaitu seorang yang sangat kaya dan berpengaruh. Malah Albuquerque juga telah berkira-kira untuk melantik Utimutiraja sebagai Sultan Melaka yang baharu bagi mengantikan Sultan Mahmud yang terbuang itu. Seluruh ahli keluarga Utimutiraja sangat kaya dan berpengaruh dari anaknya, anak menantu, sehinggalah kepada cucu-cucunya. Keluarga ini yang dahulunya telah mengkhianati Sultan Mahmud kini semakin mabuk kuasa apabila diberi kepercayaan penuh oleh Albuquerque untuk mentadbir kota Melaka. 

Pada suatu hari mereka sekeluarga duduk berbincang tentang keselamatan harta benda mereka sekiranya Portugis memutuskan untuk berlayar pulang ke Portugal. Mereka membayangkan jika Portugis benar-benar keluar, pastilah Sultan Mahmud yang terbuang itu akan kembali untuk merampas Melaka. Ketika itu pastilah mereka sekeluarga akan menerima padah kerana mengkhianati Sultan Mahmud dan orang-orang Melayu.

Setelah puas berbincang dengan panjang lebar akhirnya Utimutiraja memutuskan untuk menulis sepucuk surat rahsia kepada Sultan Mahmud berpura-pura kononnya mereka sekeluarga selama ini masih berpihak kepada Sultan Mahmud. Dia menyatakan rancangannya untuk menyerahkan kota pertahanan yang sedang dibina Albuquerque bersama semua tentera Portugis yang ada di dalamnya sama ada hidup atau mati kepada Sultan Mahmud. Dia juga bersumpah yang dirinya, anak lelakinya, cucunya dan juga anak menantunya bersedia berkorban nyawa demi Sultan Mahmud.

Surat itu kemudiannya ditandatangani oleh semua ahli keluarga Utimutiraja yang terlibat dalam perbincangan itu. 

Sebenarnya rancangan Utimutiraja ialah untuk memerangkap Albuquerque dan seluruh orang Portugis. Kemudian dia akan membunuh mereka semua. Jika pengkhianatan ini berjaya mereka sekeluarga akan merampas kota pertahanan dan pentadbiran Melaka dari tangan Portugis lalu mentabalkan dirinya sendiri sebagai Sultan. 

Kemudian jika sekiranya Sultan Mahmud datang untuk merampas kembali Melaka maka ketika itu Utimutiraja akan mempertahankan dirinya dan menentang habis-habisan Sultan Mahmud yang terbuang itu. Jika rancangan membunuh Portugis ini gagal maka Utimutiraja sekeluarga sekurang-kurangnya masih lagi mendapat kepercayaan Sultan Mahmud dengan sumpah bohongnya melalui surat rahsia itu. Berjaya atau gagal rancangan ini hasilnya kelak keluarga Utimutiraja masih tetap kaya dan berpengaruh. Bagitulah mengikut perkiraan Utimutiraja yang sayangkan harta dunia itu.

Setiap hari dalam diam-diam Utimutiraja sentiasa memerhatikan orang-orang Portugis itu dan setiap hari juga dia merasakan rancangannya semakin ada harapan untuk berjaya. Dia menyedari yang jumlah orang-orang Portugis itu sangat sedikit. Dan jika sebilangan dari mereka keluar dari Melaka kerana sesuatu operasi maka jumlah mereka yang tinggal menjadi semakin kecil.

Satu hari Utimutiraja bertemu dengan Albuquerque dan memberikan maklumat palsu kononnya tidak jauh dari Melaka terdapat beberapa buah Jong kepunyaan lanun yang sarat dengan bekalan ubat dan rempah kayu manis. Bekalan ini baru sama dirompak dari negara lain tetapi tersadai di situ dan jumlahnya cukup untuk memenuhkan empat buah galleon Portugis. 

Albuquerque segera mengerahkan kapten Dinis Fernandes de Melo dengan kekuatan 70 orang tentera menaiki sebuah galleon untuk menyerbu tempat yang dikatakan Utimutiraja itu. Sesampainya di sana mereka mendapati tiada satu pun Jong yang ada di situ.

Kapten Dinis Fernandes de Melo dan angkatannya kembali ke Melaka lalu melaporkan kepada Albuquerque. Albuquerque tidak berkata apa-apa walaupun dalam hatinya mahu segera menangkap dan menghukum bunuh Utimutiraja itu kerana membohonginya. Dari peristiwa ini dia telah sedar yang tujuan Utimutiraja memberikan maklumat palsu itu adalah supaya Albuquerque menghantar seluruh tentera Portugis keluar dari Melaka dan meninggalkan kota pertahanan yang sedang dibina itu dengan tidak dijaga. Selepas itu dapatlah Utimutiraja dan pengikut-pengikutnya menawan kota itu dengan mudah. Akan tetapi rancangan Utimutiraja itu tidak berjaya kerana Albuquerque tidak menghantar kesemua tentera Portugis ke tempat itu seperti yang dirancangnya. 

Disebabkan hal ini Albuquerque mempercepatkan proses pembinaan kota A Famosa. Dia tidak dapat berbuat apa-apa ke atas Utimutiraja kerana orang kaya itu sangat berpengaruh dan pengikut-pengikutnya juga ramai sedangkan orang-orang Portugis masih bergelut mengejar masa menyiapkan pembinaan kota A Famosa itu. 

Kesabaran Albuquerque akhirnya membuatkan hasil apabila suatu hari saudara terdekat Utimutiraja datang berjumpa dengan Albuquerque untuk memohon jawatan sebagai Dato Shahbandar. Albuquerque mula merancang satu muslihat untuk memerangkap pula si Utimutiraja itu lalu dengan senang hati dia berkata yang permohonan lelaki itu boleh ditunaikan tetapi dia perlu berbincang dengan Utimutiraja terlebih dahulu. Lalu lelaki itu pun beredar dengan perasaan yakin yang jawatan Shahbandar itu hampir pasti miliknya.

Albuquerque menceritakan butiran rancangannya kepada pengawal peribadinya Pero de Alpoem yang sentiasa setia bersamanya. Ketika itu pembinaan kota A Famosa hampir siap dan menara setinggi 5 tingkat itu juga sudah pun beroperasi. Albuquerque tinggal di tingkat ketiga dan dia sentiasa dikawal rapi. Jika ada sesiapa yang mahu berjumpa dengannya mereka tidak dibenarkan membawa masuk sebarang jenis senjata.

Sementara itu orang Islam yang memohon jawatan Shahbandar itu pula diberitahu oleh Albuquerque supaya datang semula pada hari Jumaat minggu hadapan bersama-sama dengan Utimutiraja. Ini kerana Albuquerque mahukan hal perlantikkan Shahbandar mendapat nasihat dan sokongan daripada Utimutiraja terlebih dahulu.

Orang Islam itu sangat gembira mendengar keputusan Albuquerque itu kerana dengan adanya sokongan dari Utimutiraja ini sudah cukup membayangkan jawatan Shahbandar sudah hampir pasti menjadi miliknya.

Maka pada hari Jumaat yang dijanjikan itu mereka semua pun datanglah menuju ke menara Portugis itu dalam satu kumpulan yang ramai. Tetapi apabila sampai di pintu masuk hanya orang tertentu sahaja sahaja yang dibenarkan naik bertemu dengan Albuquerque manakala pengikut-pengikut Utimutiraja yang lain dikehendaki tunggu di luar kubu.

Yang naik ke menara 5 tingkat itu untuk bertemu dengan Albuquerque ialah Utimutiraja, anak lelakinya, seorang anak menantu lelaki dan juga seorang kerabatnya yang memohon jawatan sebagai Shahbandar itu. Setibanya mereka di tingkat pertama menara mereka dikehendaki meninggalkan senjata keris mereka bersama dengan sarungnya di luar.

Apabila mereka terus naik lagi ke tingkat seterusnya tiba-tiba mereka telah ditangkap oleh pengawal Portugis. Buku lali mereka digari lalu dibawa ke tingkat bawah tanah kota Portugis itu yang gelap dan sentiasa dikawal ketat. Sementara itu pengikut-pengikut Utimutiraja yang menunggu di luar masih tidak sedar apa yang berlalu kepada ketua mereka. 

Setelah menangkap an Utimutiraja itu selesai, Albuquerque memanggil Nynapam dan semua pembesar dan saudagar utama di Melaka supaya datang bertemunya dengan segera. Dia mahu hal berkenaan nasib Utimutiraja dibincangkan dihadapan semua ketua tempatan.

Apabila mereka semua telah datang , Albuquerque menunjukkan surat pengkhianatan keluarga Utimutiraja itu kepada mereka semua. Semua yang hadir ketika itu mengakui mereka kenal dengan tandatangan ahli keluarga Utimutiraja yang dicatat dalam surat itu.

Setelah mendapat pengesahan dari semua yang hadir akan ketulenan surat itu, Albuquerque memanggil hakimnya , Pero de Alpoem untuk membuat sebuah perjanjian berserta dengan terjemahannya dalam bahasa Melayu . Setelah siap perjanjian itu ia ditandatangani oleh semua yang hadir.

Selepas itu mereka semua dikehendaki turun ke tingkat bawah tanah untuk berjumpa dengan para tahanan. Dengan hanya berbekalkan api obor, ketiga-tiga tahanan ditunjukkan dengan surat pengkhianatan itu , tetapi mereka hanya menunjukkan reaksi bersahaja kerana yakin orang-orang Portugis tidak akan berani mengapa-apakan mereka. 

Mereka seterusnya mengakui yang surat itu ditulis oleh mereka , tetapi ia sebenarnya bertujuan untuk memperdayakan Sultan Mahmud dan menyelidik jika Sultan Mahmud berhasrat untuk menawan semula Melaka.

Utimutiraja dengan tenang berkata dia berbuat begitu kerana dia yakin yang Sultan Melaka akan dapat ditundukkan di bawah kekuasaan Raja Portugal seperti mana yang dilakukan oleh Albuquerque kepadanya.

Pengakuan dari Utimutiraja ini dicatat di dalam perjanjian dan ditandatangani oleh semua yang ada di situ sebagai saksi. Kemudian para pedagang dan orang kaya itu pun kembali kepada Albuquerque lalu menunjukkan surat perjanjian itu. Setelah menyemaknya lalu Albuquerque pun bangun ditenggah-tengah perhimpunan itu lalu dengan gayanya terus berucap. Dia mengatakan betapa dia telah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Utimutiraja, anaknya dan juga menantunya , malah telah bersedia untuk melantik Utimutiraja sebagai Sultan Melaka. Tetapi sebaliknya lain pula yang terjadi, Utimutiraja telah berkomplot untuk merampas kubu Portugis ini dan membunuh Albuquerque dan semua orang-orang Portugis. Oleh kerana ketiga-tiga tahanan itu telah mengaku yang mereka telah menulis surat itu maka dengan ini Albuquerque mensabitkan mereka semua telah bersalah dan memerintahkan mereka dijatuhi hukuman pancung sebagai pengkhianat.

Para pedagang yang hadir terkejut mendengar kata-kata Albuquerque itu. Mereka semua segera melutut di hadapan kaki Albuquerque memohon agar Albuquerque mengampunkan ketiga-tiga tahanan itu atas kesilapan mereka. Mereka merayu hukuman itu diringgankan kepada buang negeri daripada dikenakan hukuman pancung.

Albuquerque tetap berkeras dengan keputusannya dan berkata dia sedia memaafkan para tahanan itu tetapi pengkhianatan seperti itu hanya boleh diselesaikan dengan darah dan ketegasan.

Apabila orang-orang yang berada di kota Melaka mendengar berita berkenaan penahanan keluarga Utimutiraja itu maka mereka semua bersorak kegembiraan. Ini kerana pengkhianat-pengkhianat itu sememangnya orang zalim dan selalu melayan mereka dengan sangat tidak adil. 

Akan tetapi lain pula halnya dengan keluarga Utimutiraja. Para isteri yang suami-suami mereka menjadi tahanan itu telah bertindak mengumpulkan kesemua ahli keluarga mereka, rakan-rakan dan juga saudagar-saudagar kaya untuk merayu kepada Albuquerque. Akan tetapi Albuquerque tidak mahu mendengar atau berjumpa dengan mereka semua. 

Oleh kerana gagal memujuk Albuquerque maka sesetengah dari mereka pergi berbincang dengan kapten-kapten Portugis, memohon mereka agar masuk campur untuk mewakili mereka . Kapten-kapten itu juga disogok dengan rasuah oleh ahli keluarga Utimutiraja. Kemudian para kapten datang kepada Albuquerque dan cuba disogok sekiranya dia melepaskan para tahanan dan dibenarkan keluar dari Melaka dengan selamat , Albuquerque akan mendapat 7 behares emas, yang bersamaan dengan berat 30 quintaes, iaitu 10 quintaes untuk seorang tahanan. Tetapi Albuquerque masih tetap tidak berganjak dari keputusannya.

Para kapten Portugis itu kecewa dengan penolakkan mentah-mentah Albuquerque. Mereka berasa Albuquerque patut menerima habuan itu kerana ia dapat diberikan kepada Raja Portugal yang menakluk Melaka. Memandangkan Raja itu telah membelanjakan banyak wang untuk menawan Melaka tetapi masih belum mendapat apa-apa harta rampasan kerana Portugis masih belum kembali ke Portugal.

Albuquerque lalu berkata kepada kapten-kapten yang menyebelahi Utimutiraja itu: "Ada antara kamu nanti yang akan hidup lebih lama sehingga ke suatu waktu akan kelak menyedari bahawa adalah lebih baik membunuh daripada mendapat 30 behares emas . Adalah baik sekiranya mereka tahu bahawa kita membalas kekejaman dengan kekejaman dan kebaikan dengan kebaikan".

Pada hari yang sama itu juga datanglah pakcik kepada Utimutiraja, bersama dengan isteri-isteri para tahanan dan juga para pembesar dan saudagar kota Melaka. Kumpulan  ini diikuti pula oleh mereka yang menentang hasrat keluarga Utimutiraja itu , kerana mereka berharap Utimutiraja dihukum seberat-beratnya kerana ketidakadilan keluarga itu kepada mereka. Mereka semua tertanya-tanya jika Albuquerque akan membebaskan para tahanan atau tidak.

Setelah kedua-dua pihak yang menentang dan yang menyokong menyampaikan hasrat masing-masing maka Albuquerque bangun lalu menjawab: "Saya tahu Utimutiraja adalah ketua dan seorang yang dihormati di kota Melaka, dan kerana dia juga telah datang sendiri untuk meminta perlindungan dan berjanji untuk tunduk taat setia kepada Raja Portugal, saya, yang mempercayakan kata-katanya , telah memberikan begitu banyak kuasa kepadanya yang sebelum itu hanya dimiliki oleh Sultan Melaka". 

Sebagai balasan kepada makanan dan kebaikan yang diberikan kepadanya dia telah berkhianat dan merancang untuk membunuh semua orang Portugis dan menawan kota Melaka supaya dapat diberikan semula kepada Sultan yang terbuang itu. Dia memperdayakan saya dengan memujuk saya mengarahkan orang-orang Portugis untuk pergi menawan dua buah Jong , dan dia menyangka saya akan menghantar begitu ramai askar Portugis ke sana dan dengan itu mudahlah dia membunuh kami yang masih tinggal di sini. Rancangan jahatnya itu hampir berjaya. 

Manakala anak dan menantunya itu pula , mereka berdua turut berkonspirasi , dan dengan ini mereka mesti dihukum dengan harga kepala mereka. Manakala isteri-isteri mereka pula , walaupun tahu tentang konspirasi ini , mereka tidak akan dihukum , kerana bukanlah adat kami menghukum para isteri kerana kesalahan suami-suami mereka.

"Jika kamu mahu melihat bukti konspirasi itu , saya akan mengeluarkan arahan supaya surat pengkhianatan yang ditandatangani oleh mereka bertiga itu dibawa keluar supaya dapat ditunjukkan kepada kamu".

Mereka semua berkata "Tidak" kerana mereka tahu yang Albuquerque berkata benar. Mereka berkata yang mereka datang sebenarnya hanyalah untuk memohon belas kasihan atas kesalahan yang mereka telah lakukan.

Albuquerque tetap menolak permintaan mereka , dengan berkata yang dia tidak akan sekali-kali memaafkan pengkhianat-pengkhianat itu , kerana kesalahan itu sangat berat dan tak boleh diperbetulkan dengan apa-apa pun kecuali hukuman mati. Maka mereka bertiga mesti mati. Albuquerque bangun dan mengucapkan selamat tinggal lalu meninggalkan mereka semua.

Albuquerque mengeluarkan arahan supaya sebuah pentas didirikan di tebing sungai berhadapan dengan kota Melaka khas untuk menjalankan hukuman pancung itu nanti . Ia mestilah tinggi dan dapat dinaiki dengan tangga. Dia juga mengarahkan pengumuman diberikan dalam bahasa Melayu di seluruh kota Melaka supaya masing-masing dapat keluar untuk menyaksikan hukuman bunuh para pengkhianat itu dilaksanakan. Setelah pengumuman dibacakan seluruh penduduk kota keluar beramai-ramai dan berkumpul di sekeliling pentas itu.

Albuquerque mengarahkan 100 tentera Portugis bersenjatakan tombak untuk mengawal pentas dari didekati oleh orang ramai. Kemudian datanglah Hakim dengan diiringgi oleh para pengawalnya menemani para tahanan yang sedang menggigil , naik menuju ke pentas pemancungan. Seorang Kafir bertindak sebagai tukang pancung , dan dengan pengistiharaan "Ini adalah keadilan yang diperintah oleh Raja Portugal kepada pengkhianat orang Portugis" sejurus kemudian kepala tahanan itu pun dipancung.

Kepala-kepala itu lalu dipancang pada hujung kayu , yang ada di atas pentas, ia kekal berada di situ untuk dipertontonkan sehingga ke petang. Setelah tiba waktu petang maka mayat-mayat itu diambil, dengan arahan Albuquerque, dibawa belayar jauh ke tengah laut, lalu diikat kesemuanya dengan batu besar, lalu dihumban ke dalam laut.

Para isteri dan sanak saudara mereka yang dipancung itu mengumpulkan sekumpulan orang di luar kota Melaka dan berbincang untuk memujuk mereka supaya bangun memberontak menentang Portugis dan mengambil alih kubu mereka. Akan tetapi cadangan itu tidak dipersetujui , takut jika Sultan Mahmud kembali menawan semula kota Melaka pastilah mereka semua akan dibunuh kerana dianggap bersekongkol dengan Portugis.

Kerana kugusaran ini maka mereka terhalang untuk menyerang Portugis, tetapi dari luar kota sesetengah mereka bertindak masuk ke dalam kota pada waktu malam untuk membunuh, mencetuskan kebakaran dan apa jua kerosakan yang termampu mereka buat. Orang Portugis pula mempersiapkan pertahanan untuk menentang pengganas-pengganas itu, dan dengan susah payahnya , bekerja siang dan malam, mereka menutup jalan yang menghala ke arah hutan dengan mendirikan sebuah tembok. Dengan ini keselamatan kota Melaka lebih terjamin. 

Tugas ini diberikan oleh Albuquerque kepada Afonso Lesson, dengan sokongan 200 orang tentera , kerana para penganas itu mempunyai senjata musket yang didapati dari orang-orang Islam, yang telah mengajar mereka cara menggunakannya , dan dengan senjata ini telah menyebabkan banyak kerosakkan kepada Portugis. Disebabkan gangguan ini maka tempoh kesukaran yang ditanggung Portugis semakin berpanjangan. 

Manakala sanak saudara Utimutiraja telah melantik seorang ketua bernama Pateh Kadir, seorang pejuang yang berani dan handal, yang menjadi komander kepada sebuah pasukan bersenjata yang melancarkan perang gerila menentang Portugis siang dan malam. Atas sebab ini orang-orang Portugis semakin tertekan, dan ditambah pula dengan kerja-kerja berat untuk menyiapkan pembinaan kota A Famosa , menyebabkan ramai yang jatuh sakit dan mati.




Jumaat, 27 Mei 2016

Maksud Perkataan pelik di dalam rekod Portugis.



Natives = Orang peribumi iaitu merujuk kepada orang Melayu.
Aguada = "tempat berair" iaitu sebuah pulau yang banyak tanaman Lemon di Sumatra. Didiami kaum Sapata.
Bagre = sebuah tempat di Sumatra yang menghasilkan racun dari tulang ikan.
Beguea = Nakhoda Beego . Semasa menentang Portugis di laut, Nakhoda Beego luka dengan teruk tetapi masih tidak mati. Sehinggalah tangkal yang dipakai pada tanggannya dibuka. Azimat itu menyebabkan si pemakainya tidak boleh dibunuh oleh apa jua senjata yang diperbuat daripada besi.
Caciz = Kadi
Capacia = Negara Kemboja.
Calambuco = Persalinan mahal yang tidak terdapat di Melaka. Baju ini diberikan oleh Raja Kampar kepada Albuquerque sebagai tanda persahabatan dan tanda Kampar tunduk kepada kekuasaan Raja Portugal.
Camelo = Sejenis pelampung pada sisi kapal. Ia boleh digunakan sebagai senjata untuk menembusi badan kapal lain
Malaques = Duit perak di Melaka yang dibuat Portugis. 
Mouros = Orang Islam
Gala-gala = tar yang dicampur dengan bitumen putih yang disapu pada badan kapal . Kapal Melayu disaluti dengan 7 lapisan gala-gala supaya kapal tahan lama.
Gentiles = Orang bukan Islam beragama Hindu
Lacsamana = Laksamana
Liu-Kius = Orang Cina Taiwan
Quelins = Keling atau Orang India berasa dari Kainga atau Tamil.
D.Manuel = Dom Manuel, nama Raja Portugal 
Pangajava = kapal yang panjang tetapi rendah. Dimiliki oleh Nakhoda Beego.
Polvoreira = Pulau Berhala.
Pelitacas = Kapal orang Jawa yang berpetak-petak.
Quintaes = Quintal, unit ukuran Portugis . 1 Quintal = 100 Kilogram.
Cacho-Pucho = Sejenis candu dari Cambayan yang didagangkan secara barter.
Javanese = Bukan hanya merujuk kepada orang dari pulau Jawa tetapi juga kepada orang-orang yang berada luar dari pulau itu.
Storax = Resin yang wangi
Taforea = Kapal Portugis yang digunakan untuk membawa barang dan kuda
Theriac = Sejenis ubat tahan sakit yang terdiri dari campuran beberapa jenis ubat.


Khamis, 19 Mei 2016

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 12

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 12

Orang-orang Portugis mendapat kekayaan yang tak pernah mereka impikan sebelum ini. Kota Melaka itu sememangnya sarat dengan segala barangan berharga yang datangnya dari seluruh pelusok lautan Hindi. Dengan harta-harta ini, seluruh armada Portugis boleh balik ke India dengan muatan yang sarat. Diangarkan harta yang dapat dibawa balik itu bernilai dua contos ( 200000 cruzados ), ia sememangnya suatu hadiah yang sangat menabjubkan untuk dipersembahkan kepada Raja mereka. 

Mereka semua berpendapat yang Albuquerque tidak perlu menunggu lebih lama lagi di sini, sebaliknya Albuquerque patut mengarahkan armada yang sarat dengan muatan harta itu berlayar balik ke pengkalan Portugis di India. Di sana nanti, bolehlah lebih ramai tentera Portugis dapat menyertai armada ini. Kemudian dapatlah mereka kembali ke Melaka, jika Albuquerque mahu, dan membina kubu yang Albuquerque mahukan itu. 

Pendapat ini kelihatan seperti sesuatu yang betul untuk dilakukan . Maka orang-orang bangsawan Portugis datang berjumpa dengan Albuquerque untuk menyakinkannya , dan memberikan banyak alasan mengapa Albuquerque patut menurut apa yang mereka cadangan itu. 

Albuquerque yang telah terlebih dahulu diberitahu akan kedatangan para bangsawan Portugis untuk berbincang akan hal berlayar balik ke India ini , memberikan perhatian kepada mereka semua lalu berkata:

" Tuan-tuan, sememangnya kehendak kamu semua adalah sama dengan saya. Kalau diikutkan hati saya mahu segera meninggalkan tempat ini dan hidup dengan harta rampasan yang dikumpulkan ini. Selama ini, saya tidak pernah bermimpi dengan kehidupan seperti yang kita nikmati sekarang. Setelah saya meneliti dari segala segi, saya dapati yang kehendak Raja kita itu telah terpinggir dan diabaikan. Baginda tidak mempunyai sesiapa untuk mewakilinya melainkan diri saya, yang bersumpah setia berkhidmat untuk baginda dengan ketaatan dan nyawa saya. Kamu semua juga terikat dengan ketaatan kepada baginda. Maka dengan itu, dengan segala kuasa yang diberikan kepada saya, saya memerintahkan kamu semua jangan lagi berkata seperti mana yang telah kamu katakan itu. Tiada apa yang akan menghalang saya dari membina kubu yang terbaik pernah kita bina melainkan maut. Jika saya mati sekalipun, mengganti saya akan melakukannya seperti yang dia mahukan. Jika saya meninggalkan tempat ini tanpa memastikan penaklukan kita ke atas kota termahsyur ini kukuh dan tunduk di bawah kekuasaan Raja Portugal, sekalipun ia memerlukan perbelanjaan 10 contos emas , saya lebih rela dipenggal kepala dan roh saya terbakar di neraka. Jika kita meninggalkan Melaka dengan membawa segala kekayaannya , siapakah yang akan sanggup datang semula dengan rela hati untuk membuat kerja-kerja kita yang tidak disiapkan itu?".

"Melaka ini kota yang utama, kaya dalam perdagangan, sehingga membuatkan orang-orang Islam kaya-raya dan berkuasa di rantau ini. Tak dapatlah kita membuat kebaikan kepada tuhan dan kepada Raja kita, yang berdaulat melainkan untuk merampas dari orang-orang Islam itu perdagangan ini dan mencuri harta kekayaan mereka, untuk menjadi milik kita, dan milik mereka yang datang sesudah kita, dengan izin tuhan dalam galleon - galleon mereka. Memandangkan ini adalah kenyataan maka janganlah dibicarakan lagi akan perkara ini , tetapi biarkanlah kita meletakkan diri kita dengan rela hati untuk bekerja menyiapkan pembinaan kubu itu dengan secepat mungkin, kerana apabila ia siap kita akan berasa lega dan bergembira kerana dapat membuat kebaikan kepada Raja kita, yang berdaulat, yang menyebabkan kita berada dalam kemenangan yang gilang-gemilang".

Kata-kata Albuquerque itu menyebabkan mereka berfikir ia adalah munasabah dan bagus untuk semua. Maka selepas itu tiada lagi perbincangan untuk Portugis pulang ke India melainkan setelah semua kerja-kerja pasca penaklukan ini selesai.



Tamat.

Jumaat, 6 Mei 2016

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 11

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 11


Semua orang Portugis sudah tidak sabar-sabar untuk menjarah kota Melaka yang kini sudah jatuh ke tangan mereka. Kota itu terbuka luas dan hanya menanti nasib dijarah oleh Portugis. Sebelum keadaan menjadi semakin di luar kawalan, Albuquerque segera mengarahkan salah seorang ketua Hamba kepada Nynapam supaya segera datang berjumpa dengannya. 

Setelah Hamba itu datang, Albuquerque memberikannya sepucuk surat iaitu surat keamanan diraja , dengan tertera nama Raja Portugal. Albuquerque memintanya untuk menghubunggi semua saudagar dan juga kaum asing yang ada di Melaka supaya memberitahu kepada mereka yang mereka boleh kembali untuk mendapatkan jaminan keamanan daripada Portugis supaya harta benda mereka tidak dirampas. Albuquerque memberitahu supaya pengumuman ini dibacakan dalam bahasa Melayu . Arahan ini segera dilaksanakan oleh Hamba Nynapam itu. Hasilnya, menjelang malam ramai saudagar dan kaum asing yang keluar dari tempat persembunyian dan kembali ke rumah masing-masing.

Sultan Mahmud dan puteranya berserta keluarga dan para isteri masing-masing sudah keluar dari kota Melaka sebaik sahaja skuadron Portugis memasuki kota itu. Keluarga diraja itu berhenti seketika di pinggir hutan , di mana penduduk Melaka mula berpecah membawa haluan masing-masing dan lari masuk ke hutan.

Albuquerque mendapat maklumat yang ramai penduduk yang telah kembali ke kota Melaka telah keluar semula lari masuk ke hutan dengan membawa semua harta benda yang boleh dipunggah. Ini menyebabkan Albuquerque berasa marah dan rugi lalu memerintahkan supaya askar Portugis berjaga sepanjang malam untuk mencegah harta benda ini dibawa keluar dari kota Melaka.

Malam itu Albuquerque merancang satu muslihat. Sebelum subuh keesokkan harinya , dia menghantar Rui de Araujo dan seorang lagi yang berkulit hitam bernama Antonio Fernandes, lalu memberitahu mereka berdua untuk pergi dan membakar beberapa buah rumah di pinggir kota Melaka. Arahan ini dilaksanakan . Setelah selesai membakar, mereka segera beredar. Kerika dalam perjalanan kembali ke pengkalan mereka tidak melihat sesiapa pun berada di atas jalan.

Apabila kebakaran ini kelihatan dari pos Portugis, Albuquerque berpura-pura terkejut dan berkata yang orang-orang Melaka berhajat untuk memusnahkan kekayaan kota Melaka demi untuk menghalang harta benda ini dari jatuh ke tangan Portugis. Lalu Albuquerque mengarahkan supaya api itu segera dipadamkan. Sebuah skuadron segera berlari di atas jalan menuju ke tempat kebakaran itu tanpa berdepan dengan sebarang penentangan dari orang-orang Melaka . Sehinggalah mereka sampai di pinggir kota diikuti oleh Albuquerque. Tiba di sana kebakaran itu kemudian dipadamkan , dengan dibantu oleh para saudagar asing dan hamba-hamba mereka.

Sebaik sahaja api dapat dipadamkan, Albuquerque mengarahkan kepada mereka yang ada di situ dan juga hamba-hamba mereka supaya mula bekerja membina empat buah pos kawalan di pintu masuk kawasan itu supaya orang-orang Islam tidak dapat memasukinya. Apabila pos kawalan itu siap Albuquerque meletakkan orang-orangnya yang diketuai oleh Fernao Gomes de Lemos, Dom Joao de Lima, Rui de Brito Patalim dan Nuno Vaz de Castelo Branco. Setiap pos mempunyai kekuatan 200 orang.

Mereka diarahkan untuk sentiasa berjaga sehinggalah menjelang malam hari itu untuk mengelakkan kononnya orang-orang Islam datang semula dan membakar kota Melaka. Albuquerque juga berkata yang dia akan menyertai mereka sebaik sahaja subuh keesokkan harinya. Dia menasihati mereka supaya memastikan tiada sesiapa yang dirompak, kerana keesokkan pagi, setiap mereka akan menerima habuan masing-masing ( harta rampasan kota Melaka ).

Albuquerque mengarahkan agar diumumkan bahawa semua tentera Portugis bebas untuk untuk menjarah kota Melaka sepuas-puasnya pada keesokkan harinya. Tetapi dia melarang sesiapa pun untuk menyentuh Istana Sultan Melaka. Pengumuman ini mengembirakan orang-orang Portugis dan mereka rancak berpesta dan bernyanyi sepanjang malam itu sementara masih melaksanakan tugas berkawal. Albuquerque juga menghantar pesanan kepada Nynapam supaya menaikkan bendera yang telah diberikan kepadanya di rumahnya supaya ia tidak menjadi sasaran Portugis.

Sekembalinya Albuquerque di jambatan, dia berkata kepada Master dan Pelaut ( mereka yang dari kapal ) untuk terus berjaga sepanjang malam sehingga ke pagi. Dia mengarahkan pula semua bot kapal supaya kembali ke pantai dan bersedia untuk memunggah harta benda yang akan dikumpulkan nanti. Para pelaut itu melaksanakan arahan yang diberikan itu dengan baik.

Pagi itu sebaik sahaja terang, Albuquerque mengarahkan Pero de Alpoem untuk tetap berjaga memerhatikan bot-bot kapal , dan kemudiannya ia dipenuhi dengan harta rampasan lalu dibawa ke kapal galleon. Setelah kembali ke kapal galleon, mereka tidak dibenarkan datang kembali ke pantai sehinggalah mereka diarahkan untuk datang.

Albuquerque kemudian mengarahkan kepada para pegawainya pula supaya merampas apa sahaja yang mereka jumpa di dalam kota Melaka , tetapi tidak membenarkan mereka memusnahkan atau membakar bangunan yang ada. Kerana terlalu ghairah, para pegawai bergegas dengan orang-orang mereka dan juga hamba abdi yang mereka miliki untuk menjarah kota Melaka . Mereka masuk ke setiap rumah dan menghumbankan harta benda yang mereka temui ke atas jalan.

Makanya, jalan-jalan di Melaka dipenuhi dengan barangan dari segala jenis, termasuklah minyak benzoin dan kasturi di dalam balang, peti-peti yang dipenuhi dengan kain damask merah, satin, taffeta, sutera putih, camphor dan juga gaharu. Sesetengah rumah juga dijumpainya penuh dengan kayu cendana bermutu tinggi. Mereka tidak mengusik rumah itu kerana memerlukan tugas berat untuk memindahkannya. Setiap orang Portugis mengambil apa yang mereka termampu . Hanya yang terbaik sahaja akan dibawa pulang ke kapal.

Kawasan pantai Melaka dipenuhi dengan lambakan harta rampasan perang yang dikumpulkan untuk dipunggah ke bot-bot. Pero de Alpoem tidak membenarkan harta benda ini dibawa ke kapal galleon sehinggalah ketibaan askar kapal, pelaut, dan juga budak kabin yang dihantar oleh para kapten kapal. Apabila petugas-petugas kapal itu tiba, mereka mula sibuk memunggah segala harta benda untuk dibawa naik ke bot sebelum dihantar ke kapal galleon. Tidak dapat dinyatakan milik siapakah setiap harta benda yang dijarah ini. Harta yang sampai di kapal galleon disimpan di dalam bilik-bilik kabin. Harta yang bertimbun di pantai terlalu banyak sehingga menyebabkan bot-bot terpaksa berulang alik beberapa kali.

Ada harta yang dirampas oleh para pegawai Portugis terpaksa disimpan di dalam gudang besar sehinggalah mereka ada masa untuk memunggahnya ke dalam kapal galleon. Gudang-gudang ini dibina oleh orang Melaka dengan sebahagian bangunannya berada di dalam tanah dan sebahagian lagi di atas tanah. Bahagian atas dibina dengan batu bersalut mortar dan dapat mencegahnya daripada kebakaran. 

Harta benda yang disimpan didalam gudang-gudang ini tersangat banyak sehinggalah arahan terpaksa dikeluarkan supaya askar Portugis hanya dibenarkan mengambil harta yang paling bernilai sahaja untuk dipunggah ke dalam kapal galleon. Ini termasuklah barangan seperti benzoin, kasturi, damask, kain sutera dan juga barangan tembikar Porcelain yang mahal. Barangan yang kurang berharga dibiarkan bersepah di atas jalan-jalan kerana tiada askar Portugis yang mahukannya. 

Mereka juga menjumpai tembikar-tembikar yang tertanam didalam tanah penuh berisi dengan jongkong emas dan mutiara dari China. Setelah penemuan tembikar-tembikar ini, orang-orang Portugis mula ligat menjarah semula gudang-gudang simpanan dan mengali dasarnya . Hasilnya mereka menemui banyak harta yang seperti itu ditanam di dalam tanah. Proses mengali menyebabkan banyak kerosakan pada struktur gudang berlaku . 

Rui de Araujo memaklumkan kepada Albuquerque akan hal ini, dan kemudiannya arahan telah dikeluarkan melalui isyarat trompet . Portugis yang mendengar isyarat ini faham yang mereka telah diberi masa yang singkat untuk mengambil apa yang mereka mahukan dan segera berundur balik ke pengkalan. Kebenaran untuk menjarah kota Melaka sepuas-puasnya telah pun berakhir menjelang senja. 

Mereka yang kembali ke pantai datang dengan membawa seberapa banyak barangan dengan harapan dapat membawanya balik ke kapal galleon. Akan tetapi apabila mereka semua telah kembali ke kapal masing-masing mereka semua tidak dibenarkan untuk kembali semula ke pantai untuk memunggut harta yang masih tertinggal kerana telah malam. Semua orang Portugis telah mendapat habuan masing-masing termasuklah mereka yang ditugaskan untuk tinggal bagi menjaga keselamatan Albuquerque. 

Mereka juga diperingatkan supaya menjaga harta yang telah mereka kumpulkan kerana mereka tidak dibenarkan keluar menjarah kota Melaka pada waktu malam. Semua orang Portugis mesti berada di pos masing-masing. Arahan ini wajib diikuti dan penalti hukuman mati akan dikenakan kepada sesiapa yang melanggarnya. Disebabkan itu ramai yang tergesa-gesa memunggut apa yang termampu untuk dibawa dan pulang sebelum senja.

Albuquerque mengarahkan Pero de Alpoem, Rui de Araujo, Antonio Fernandes ( berkulit hitam ), Joao Botelho dan juga Ruy de Brito Patalim untuk pergi ke Istana Sultan Mahmud. Mereka ditugaskan untuk mencuri apa yang boleh ditemukan di sana dan, sebelum mereka kembali mereka perlu memusnahkan Istana itu dengan membakarnya. Mereka semua telah pergi, dan setibanya di sana mereka mendapati di bawah tanah Istana Melaka terdapat banyak penemuan emas dan Perak.

Albuquerque dikhabarkan yang Portugis telah menjumpai sebuah peti berkaki empat yang penuh dengan permata dan barangan kemas. Dianggarkan nilainya 60000 cruzados, empat buah balang emas yang mengandunggi minyak wangi yang setiap satunya bernilai 40000 cruzados. 

Selain itu dijumpainya juga mutiara yang sangat banyak, balang-balang emas, yang nilainya jika dibahagikan cukup untuk memberikan setiap askar Portugis 400,000 cruzados seorang. Barangan ini dijumpai di bawah katil Sultan Melaka. Didapati juga masih terdapat dayang-dayang Istana yang muda dan cantik yang tinggal untuk menjaga menguruskan Istana Melaka. Tidak diketahui apa yang dilakukan oleh Portugis apabila menemui dayang-dayang ini.

Kamar Beradu Sultan Melaka

Istana Melaka puas dijarah oleh Portugis dengan secukup-kucupnya sehinggalah larut malam. Segala harta dan barangan berharga yang dicuri dari Istana Melaka adalah yang terbaik dan paling bernilai pernah dijumpainya oleh Portugis di dunia sebelah Asia ini. Orang-orang Portugis menjual barangan berharga yang dicuri itu kepada para saudagar yang ada di Melaka. Walaupun dijual dengan harga yang sangat murah, orang-orang Portugis menjadi sangat kaya kerana rata-rata mendapat pendapatan dari hasil jual beli ini sebanyak 3 ke 4 ribu cruzados. Malah, orang-orang Portugis masih mempunyai banyak lagi harta yang belum terjual yang disimpan di dalam kapal-kapal Galleon Portugis.

Setelah puas menjarah, akhirnya Portugis membakar Istana Melaka sehingga hanggus seluruhnya . Keesokkan harinya Albuquerque mengarahkan semua orang Portugis memunggut hasil rampasan masing-masing dan tidak dibenarkan mengambil apa-apa lagi. Arahan ini mungkin dibuat kerana tindakan membakar Istana Melaka oleh orang-orang Portugis sebenarnya adalah satu kerugian yang amat besar kepada mereka. 

Di Melaka pula, penduduk tempatan yang masih tinggal berasa sangat gembira apabila Nynapam, yang baru dilantik menjadi ketua keadilan bagi penduduk tempatan, menjamin kepada mereka semua yang Portugis tidak akan mengambil apa-apa harta rampasan lagi. Dia juga menyakinkan mereka yang telah lari meninggalkan Melaka supaya kembali semula ke Melaka kerana perang sudah tamat. Albuquerque mengarahkan Nynapam dan juga kepada Bendahara baru kepada penduduk tempatan supaya sentiasa memerhatikan sekiranya tentera Islam Melaka datang pada waktu malam. Jika mereka muncul, Albuquerque akan datang membantu orang-orang Nynapam. 

Tentera Islam Melaka yang jumlahnya semakin berkurangan itu memang ada menyerang balas untuk beberapa kali tetapi tidak pernah berjaya. Mereka hanya mampu mencetuskan amaran dan kemudiannya melarikan diri. Secara keseluruhannya Melaka sudah selamat sepenuhnya menjadi milik mutlak Portugis, manakala Sultan pula duduk merempat di dalam hutan 20 leagues ( liga merujuk kepada jarak ) jauhnya.

Bersambung

Jumaat, 22 April 2016

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 10

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 10

Ruy de Araujo senang hati apabila mengetahui hamba itu diutuskan dari saudagar Nynapam . Kerana ketika ditahan oleh Sultan Melaka dahulu saudagar ini telah dengan sembunyi-sembunyi selalu membantu tawanan Portugis. Oleh itu Rui de Araujo dengan senang hati mahu mewakili saudagar ini dan berjumpa dengan Albuquerque. Albuquerque dengan senang hati mengarahkan keluarga saudagar Nynapam dan juga Hamba yang dihantarkannya itu tidak diapa-apakan. Albuquerque berjanji akan memberikan Nynapam kekuasaan dan melantiknya sebagai ketua hakim kepada orang asing sekiranya Portugis berjaya menawan Melaka kelak. Janji yang akhirnya ditepatinya tidak lama kemudian.

Tidak lama selepas itulah datanglah pula seorang kapten Peguan yang mempunyai tiga buah Jong yang ketika ini sedang berlabuh di perairan Melaka. Kapten itu datang ke armada perang Portugis sambil mengibarkan bendera putih. Kapten Pegu itu segera ditangkap dan dibawa kepada Albuquerque. 

Kapten Peguan itu kemudiannya bersujud di hadapan Albuquerque sambil berkata bahawa dia adalah seorang pedagang yang datang berdagang ke Melaka. Ada terdapat beberapa orang Pegu yang lain tetapi berada di dalam empat buah Jong yang lain. Kapten Pegu itu merayu agar tidak diapa-apakan oleh Portugis kerana mereka hanyalah saudagar asing dan berjanji akan menuruti apa sahaja kemahuan Albuquerque.

Albuquerque sangat senang hati melihat ketundukan kapten Peguan itu kepada kekuasaan Portugis. Albuquerque lalu berjanji yang kapten berserta semua ahli kumpulannya tidak akan diapa-apakan. Orang-orang Peguan mestilah berundur dan tidak membantu orang-orang Islam menentang Portugis. Kapten Peguan itu lalu berkata dengan izin Albuquerque dia akan membawa semua orang Peguan untuk belayar pergi meninggalkan Melaka. Albuquerque pula lalu berkata yang dia tidak mahu mereka pergi tetapi tunggulah sehingga Portugis dapat menawan kota Melaka. Kemudian Albuquerque akan memberikan mereka seorang wakil Portugis untuk sama-sama pergi menghadap Raja Pegu kerana Albuquerque berhajat mahu menjalinkan persahabatan dengan Pegu.

Kapten Peguan sangat senang hati mendengar penjelasan Albuquerque itu. Dengan membawa surat jaminan keamanan dari Albuquerque dia kembali semula kepada kumpulannya lalu menceritakan apa yang berlaku. Kemudian kapal jong orang-orang Pegu mula berkumpul tidak jauh dari armada Portugis kerana mereka yakin Portugis akan memulakan serangan seterusnya pada bila-bila masa.

Kemudian datanglah pula wakil dari orang-orang Cina kepada Albuquerque untuk meminta jaminan keamanan dan menyatakan hajat mereka untuk meninggalkan perairan Melaka memandangkan angin monsoon telah tiba untuk membawa mereka semua pulang. Albuquerque membenarkan mereka pergi dan memberikan surat jaminan keamanan kepada mereka semua yang boleh digunakan apabila mereka berhajat kembali semula untuk berdagang di Melaka kelak. Dia juga berpesan yang pihak Portugis akan memberikan mereka layanan keamanan dan penuh persahabatan adil dan saksama. Orang-orang Cina pergilah dari situ dengan rasa gembira dan berjanji akan datang semula ke Melaka dengan membawa muatan penuh barangan dagangan.

Urusan-urusan dengan para saudagar yang meminta keamanan ini berlalu selama lapan hari. Sementara itu askar Portugis yang cedera semakin pulih dan kuat dan mereka semua tidak sabar-sabar untuk menyerang Melaka. Sementara itu di Melaka ramai penduduknya telah mula meninggalkan kota itu. Kaum Chetti dan pedagang asing merunggut kepada Datuk Bendahara bahawa Pedagang Islam adalah punca kepada malapetaka yang menimpa Melaka kerana salah memberikan nasihat kepada Sultan. Mereka pedagang-pedagang Islam ( Arab dan lain-lain ) itu semua kelak akan menanggung akibatnya kerana memperdayakan Sultan untuk bangun menentang Portugis. Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis Albuquerque telah menghukum pedagang-pedagang Islam dengan menindas mereka semua. Akibatnya tiada pedagang Islam yang mahu singgah berdagang ke Melaka sejak ia dikuasai Portugis.

Albuquerque , yang melihat ramai askar Portugis sudah kembali pulih dan kuat dan tidak sabar-sabar untuk menyerang Melaka dan merampas harta kekayaannya telah berbincang dengan para pegawainya dan juga golongan bangsawan Portugis. Dia menasihati mereka agar menjaga anak buah masing-masing agar tidak mati terbakar, dirompak atau terbiar dari skuadron mereka sehinggalah mereka dapat menawan sepenuhnya kota Melaka dan mengusir semua orang Islam dari tanah air mereka. Jangan ada satu jiwa Islam pun yang akan tertinggal di Melaka dan mereka semua wajiblah dibunuh. 

Albuquerque menghantar Rui Goncalves dan Manuel Fidalgo dan mengarahkan mereka untuk mengumpulkan orang-orangnya kerana mereka akan menemani Albuquerque. Dengan pantasnya arahan itu dilaksanakan dan askar Portugis telah bersedia dengan senjata dan kelengkapan masing-masing. Hari itu ialah hari perayaan St. Bartholomeu, bersamaan dengan 24 Ogos 1511.

Pada pagi keesokkannya semua askar Portugis telah bersedia dalam skuadron masing-masing. Segalanya tersusun dan setiap skuadron membawa panji masing-masing. Albuquerque meletakkan kira-kira 200 orang termasuklah 100 orang yang lain  ( pelaut, tukang, Hamba dan sebagainya ) di bawah pimpinan Garcia de Sousa. Mereka bergerak dalam kumpulan 6x6 dengan pedang dan tombak yang diangkat tinggi. Albuquerque dan skuadronnya juga menggunakan formasi yang sama. Dia mengarahkan jangan ada sesiapa pun lari meninggalkan skuadron masing-masing atau mereka akan dihukum mati.

Formasi Portugis dengan diiringgi bunyi trompet dan launggan St James dan St. Bartholomeu, melangkah masuk ke kota Melaka. 2 skuadron dibawah pimpinan Garcia de Sousa dan Albuquerque telah masuk untuk mendahului. Apabila semakin dekat dengan sebuah bangunan mereka telah diserang hendap oleh tentera Melaka yang muncul dari tempat persembunyian mereka dan memanah tentera Portugis. Turut digunakan ialah damak beracun yang disumpit dan senjata-senjata pelontar yang lain.

Pertempuran pun meletus di atas jalan . Peliknya tentera Melaka tiada yang bertempur di dalam sebuah rumah besar yang berhampiran. Rumah itu lengkap dikelilinggi oleh tembok tanah , parit dan pagar. Rupanya penghuni rumah itu tidak membenarkan tentera Melaka memasukinya kerana takut harta benda mereka musnah dan dirompak.

Tentera Portugis menyerang dengan ganasnya dalam formasi teratur dan berdisiplin. Tentera Melaka tidak pernah menentang musuh sebaik ini yang lengkap dengan tombak yang sangat panjang . Akibat ketakutan dan panik tentera Melaka berpecah dan lari dari medan perang. Askar Portugis pula mara di sepanjang jalan itu sehinggalah mereka tiba di sebelah lain kota Melaka.

Albuquerque terus berjalan dengan formasinya sehinggalah ke penghujung kota Melaka, yang kini sepenuhnya bebas dari tentera Melaka. Dia mengangkat tinggi tanggannya kerana bersyukur tentera Kafir telah menang , dan mengarahkan trompet dibunyikan sebagai isyarat agar para pegawainya yang masih mengejar tentera Melaka supaya berpatah balik. Albuquerque menyambut para pegawainya dengan penuh kegembiraan dan mengkesatriakan mereka semua di situ juga atas kejayaan tertawannya kota Melaka.

Jumlah tentera Portugis yang tercedera 20 orang dan yang terbunuh 4.

Albuquerque dengan formasi yang sama menyeberanggi sekali lagi kota Melaka dan masuk ke sebatang jalan yang lain lalu kembali ke kedudukan tentera Portugis di pantai.

Ramai saudagar dan orang Islam Melaka telah lari kerana takut dibunuh oleh Portugis.

Sekembalinya di pengkalan, Albuquerque mengarahkan orang-orangnya agar membawa balik mereka yang tercedera untuk dirawat dan mereka semua makan tengahari beramai-ramai.


Bersambung.



Khamis, 21 April 2016

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 9

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 9

Sultan Mahmud tatkala melihat kedatangan skuadron Joao de Lima yang sedang mara menuju ke arahnya telah bertindak berpatah balik lalu masuk ke sebatang jalan yang lain. Kumpulan baginda bertemu dengan sebuah lagi kumpulan tentera Melaka yang lebih besar dan mempunyai 10 ekor gajah. Setiap gajah lengkap dipasangkan dengan binaan seperti kota di atas belakangnya. Pihak Portugis yang melihat ketumbukan musuh sudah bersatu menjadi kumpulan yang lebih besar tidak jadi untuk mara. Mereka berhenti di hadapan benteng Melaka yang baru mereka tawan tadi. Ketika ini tentera Portugis juga sedang teruk dihujani dengan tembakan musket , tembakan meriam kecil (Lela/Rentaka) dan juga panah-panah beracun.

Albuquerque segera diberitahu akan perkembangan terkini itu. Dia menempatkan dirinya dan juga kumpulannya di pintu masuk jalan besar dan menghantar skuadron Kapten Fernao Gomes untuk membantu skuadron Kapten Joao de Lima, yang telah kehilangan 12 atau 15 tenteranya dan ramai pula yang cedera. Apabila pasukan bantuan ini sampai, tentera Portugis mula berperang dengan semangat yang baru . Mereka masuk semula ke jalan besar lalu menyerang tentera Melaka dengan tombak-tombak panjang mereka. 

Tiada tentera Melaka yang mampu menangkis serangan tombak-tombak Portugis yang panjang itu. Akhirnya tentera Melaka bersama-sama dengan Datuk Bendahara mula berundur ke hujung jalan sehinggalah mereka tiba di sebuah persimpangan empat. Di sinilah sekumpulan tentera Melaka bergajah berdepan dengan tentera Portugis . Gajah-gajah itu mengeluarkan bunyi tempikan yang menakutkan. Buat seketika tentera Portugis mula panik dan teragak-agak untuk mara. Tiada apa yang dapat dilakukan melainkan jika mereka mendapat cara untuk melukakan gajah-gajah Melaka itu.

Keluarlah Kapten Fernao Gomes de Lemos dari barisan Portugis lalu menghunus tombak panjangnya ke mata salah seekor gajah. Tombaknya tidak mengenai sasaran sebaliknya mengenai telinga gajah itu lalu menembusinya. Gajah yang kesakitan itu menjerit sekuat-kuat hati lalu berpusing kebelakang. Kemudian beberapa orang Portugis termasuklah yang bernama de Melo pula menombak perut gajah itu. Gajah yang teruk dilukakan itu mula lari ketakutan lalu merempuh barisan tentera Melaka dan juga gajah-gajah lain sehingga mengakibatkan barisan tentera Melaka berantakan. 

Beberapa ekor gajah lagi menerima nasib yang sama apabila terkena rejaman tombak-tombak Portugis . Habis barisan tentera Melaka kucar-kacir kerana dirempuh oleh gajah-gajah yang panik dan ada juga tentera Melaka yang mati kerana terpijak. Melihat situasi di Medan peperangan yang semakin tidak memihak kepada Melaka, Sultan Mahmud dan puteranya lari dengan gajah mereka lalu meninggalkan tentera Melaka bersendirian untuk menentang Portugis. Seorang Sultan lari dari medan perang kerana takut mati!.

Dalam kekalutan itu, seorang askar Jawa sempat menyerang Ruy de Brito Patalim . Ruy menghunus tombaknya tetapi tidak mengena . Askar Jawa yang berani itu dapat mengelak tombak Ruy yang basah berlumuran dengan darah lalu menikam Ruy dengan kerisnya tepat mengenai bahagian kelengkang lalu rebahlah Ruy ke tanah. Salah seorang Hamba abdi milik Ruy menyelamatkannya dengan memikul dan membawanya balik ke pengkalan Portugis untuk dirawat.

Sementara itu gajah-gajah Melaka yang lari setelah ditikam sudah tidak mahu menurut perintah pengembalanya. Tiada seekor pun gajah yang masih tinggal dalam barisan tentera Melaka. Ketika itu hari sudah memasuki senja . Albuquerque mengarahkan tentera Portugis berundur ke arah masjid Agung Melaka yang telah sepenuhnya mereka tawan. Masjid ini sangat besar dan binaannya kukuh diperbuat daripada batu sesuai untuk menjadi tempat Portugis berkubu. Di situlah skuadron Kapten Joao de Lima yang kepenatan berjumlah kira-kira 400 orang askar dan para bangsawan tidur.

Sebelum langit gelap sepenuhnya, dua buah meriam besar ditolak masuk ke dalam masjid dan dari masa ke semasa salah satu meriam itu akan ditembak ke arah jalan manakala satu lagi ke arah jalan yang lain. Bagitulah yang berlaku sepanjang malam dan mereka terpaksa tidur dalam keadaan bunyi bingit tembakan meriam. Kumpulan Kapten Nuno Vaz mengambil tugas berjaga malam bersama 400 orang-orangnya. Mereka berjaga sepanjang malam sementara skuadron yang lain tidur dan setiap 15 minit meriam akan ditembak ke arah jalan yang gelap gelita itu.

Albuquerque memberikan arahan supaya mereka mengelak daripada bertempur dengan tentera Melaka yang kelihatan cuba untuk membina sebuah lagi benteng di atas jalan itu. Tetapi usaha tentera Melaka tidak berjaya kerana Portugis terus-menerus membedil jalan itu sepanjang malam.

Jumlah askar Portugis yang masih ada dikira dan didapati 28 orang telah mati terbunuh . Kebanyakannya kerana terkena panah beracun. Lebih 60 lagi cedera dan sebilangan daripadanya juga akhirnya mati. Mana-mana askar yang terlantar dan tak mampu bertempur dihantar balik ke kapal galleon untuk dirawat. Ramai juga bangsawan Portugis yang cedera dan terbunuh . Salah seorangnya ialah Fernao Gomes cedera kerana terkena panah beracun. Nasibnya agak baik kerana panah itu tidak mengenai saluran darah dan akhirnya dia terselamat dari maut.

Albuquerque melawat rakan-rakannya yang cedera. Antaranya ialah Vasco Fernandes Coutinho, Aires de Silva dan Simao de Andrade yang masing-masing cedera teruk kerana terkena lembing yang dibaling dari jauh. Sementara itu Joao de Lima cedera di kanan kiri. Francisco de Tavora, Antao Nogueira, Fernao Peres de Andrade, Dinis Fernandez de Melo masing-masing hanya mendapat cedera ringan. Albuquerque mengarahkan supaya dibawa masuk makanan yang dihantar dari kapal galleon kepada mereka yang bertahan di daratan . Malam itu dapatlah mereka makan dan berehat sementara sekumpulan yang lain tetap berjaga mengawasi sekeliling.

Albuquerque mula bimbang kerana terlalu ramai tentera Portugis yang cedera. Lebih-lebih lagi termasuklah kapten-kaptennya yang mengetuai kumpulan masing-masing. Tanpa pertolongan dari kapten-kapten ini Albuquerque tidak dapat berbuat apa-apa. Pun begitu kapten-kapten Portugis tetap mahu masuk ke dalam kota Melaka dengan secepat mungkin, selepas mereka menerima rawatan atas kecederaan mereka. Tambahan pula jalan-jalan di Melaka kini terbuka dan lenggang tanpa sebarang penghalang atau benteng pertahanan.

Setelah mempertimbangkan dan melihat segalanya sudah bersedia, Albuquerque menunggu sekejap untuk melihat sama ada Sultan bersetuju untuk menerima perjanjian Portugis. Sekiranya ini berjaya dapatlah Albuquerque berkongsi harta pampasan bersama para kaptennya. Dengan ini semua orang Portugis yang lain pasti akan berpuas hati. Dia menjangkakan hendak memberikan mereka sebanyak 100,000 cruzados untuk menampung perbelanjaan Raja Portugal dan membina sebuah kubu Portugis di Melaka. Kubu ini akan dibina oleh orang-orang Portugis dengan perbelanjaan yang ditanggung oleh Albuquerque sekiranya perjanjian dengan Sultan itu berjaya.

Sementara menunggu, Albuquerque sangat kerap dilihat berbincang dengan bekas tahanan Melaka, Rui de Araujo yang sentiasa mengapi-apikan sentimen orang-orang Portugis kerana dendam dan bencinya kepada orang-orang Islam. Rui sentiasa berkata "Sultan Melaka yang kaya-raya itu senang-senang sahaja dapat memberikan Albuquerque 200,000 cruzados emas tanpa perlu mengambilnya dari perbendaharaan Melaka. Sultan boleh mengumpulnya dari para pedagang kaya yang ramai di Melaka, cukuplah jika Sultan bertitah yang dia mahukan banyak emas".

Namun Albuquerque berhasrat tidak mahu membinasakan Melaka. Dia tidak mahu apabila Melaka ditawan kelak rakyat Melaka akan membenci Portugis dan menentang mereka di kemudian hari. Dia mahu Melaka jatuh ke tangan Portugis dengan cara yang paling aman, dan dia tetap mahu sebuah kubu Portugis dibina di Melaka walau apa pun kesudahannya.Tetapi dia juga sedar tentera Portugis juga perlukan rehat. Perang yang tidak berkesudahan akan membunuh mereka sedikit demi sedikit.

Setelah berfikir masak-masak Albuquerque berhasrat mahu menghantar satu lagi pesanan kepada Sultan Melaka , tetapi cepat-cepat dihalang oleh Rui de Araujo dengan mengatakan bahawa dalam hal maruah, orang-orang Melayu lebih rela mati daripada hidup dalam kehinaan. Walau bagaimanapun , tidaklah menjadi kehinaan jika sekalipun mereka kalah dalam perang atau dikhianati. Mereka itu semuanya bangga jika dapat memperdayakan lawan. Oleh itu Rui terus menghasut Albuquerque agar jangan mengharapkan Sultan akan bersetuju dengan sebarang perjanjian damai Portugis.

Keesokkan harinya, ramai tentera Melaka dilihat datang semakin dekat dengan kedudukan Portugis. Mereka berlindung di balik bangunan-bangunan sambil menembak dan memanah dari jauh. Tentera Melaka tidak berani untuk berdepan dengan Portugis secara terbuka di atas jalan raya kerana risiko dibedil dengan meriam. Bagitulah yang berlaku sepanjang hari. Menjelang malam pula tentera Portugis sekali lagi terus membedil jalan yang gelap itu untuk menghalang tentera Melaka dari cuba mendekati kedudukan Portugis.

Beberapa hari berlalu, dan Portugis masih bertapak di Melaka tanpa dapat diusir. Tentera Portugis yang tercedera kini sudah semakin ramai yang pulih. Albuquerque pula masih berdiam diri dan tidak mahu meneruskan untuk mengempur kota Melaka. Manakala orang-orang Melaka pula yang menanggung sengsara kerana sudah lebih 1000 orang gugur ketika melawan tentera Portugis. 

Orang-orang Melaka mula bermesyuarat. Seorang ketua pedagang asing bangun lalu menyatakan kebimbangannya yang malapetaka lebih besar akan menimpa mereka jika kota Melaka jatuh sepenuhnya ke tangan Portugis. Tindakan berdiam diri dari pihak Portugis pula menyebabkan orang-orang Melaka menyangka yang Sultan sedang berunding dengan Portugis tentang perjanjian damai. 

Ketika orang-orang Melaka sedang dalam dilema itu, seorang saudagar Melaka yang kaya bernama Nynapam ( Naina Chatu ) telah dengan senyap-senyap menghantar seorang hambanya kepada orang Portugis. Hamba itu membawa surat Nynapam untuk diberikan kepada Albuquerque. Setibanya dia di jambatan yang dikawal Portugis, hamba itu telah ditangkap oleh Rui de Araujo. Lalu surat itu diberikan kepada Rui dan disampaikan terus kepada Albuquerque. Setelah Albuquerque membaca isi surat itu, dia mengarahkan supaya jangan diapa-apakan Hamba itu dan juga Nynapam seisi keluarga. Portugis kini memiliki kelebihan dalam perang ini iaitu seorang tali barut dari kalangan saudagar besar di Melaka.

Bersambung










Khamis, 7 April 2016

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 8

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 8

Portugis terus membedil Melaka sehinggalah masuk waktu fajar. Apabila mendapati langit sudah semakin terang maka Albuquerque mengarahkan kesemua kapal Portugis supaya menarik naik sauh masing-masing dan segera berlayar menjauhi kawasan pantai. Pengunduran ini diperhatikan dari jauh oleh orang-orang Melaka. 

Apabila melihat armada Portugis mula belayar pergi ke tengah laut orang-orang Melaka mula percaya yang Portugis mahu bergerak balik ke negara mereka seperti yang dikatakan oleh Datuk Bendahara. Mereka mengandaikan Portugis akan berlayar pergi dari Melaka selewat-lewatnya malam ini. Perkembangan ini membuatkan suasana Melaka mula kembali tenang. 

Tetapi, hakikat sebenarnya Albuquerque berbuat demikian kerana dia tidak mahu membedil kota Melaka pada waktu siang. Ini untuk memberikan masa kepada orang-orangnya untuk berehat dan juga untuk menjimatkan seberapa banyak yang boleh penggunaan peluru meriam Portugis yang jumlahnya sudah semakin terhad itu. Sebaliknya Albuquerque mengarahkan tenteranya menyediakan banyak balang tembikar yang akan diisi penuh dengan serbuk bedil. 

Sudahnya, mereka menghabiskan masa sehari suntuk hanya dengan kesibukkan menyediakan balang-balang itu. Kebetulan hari itu juga ialah hari bersempena perayaan Our Lady of August ( 14th August ).

Apabila malam pula menjelma Albuquerque sekali lagi mengarahkan semua kapal supaya menaikkan sauh masing-masing dan bergerak pula mendekati kawasan pantai untuk membuat satu lagi bedilan besar-besaran. Dia mengarahkan kepada penjaga meriam kapal agar hanya menggunakan separuh kuantiti serbuk meriam jika meriam mereka hendak digunakan nanti.

Kemudian apabila semua kapal Galleon Portugis sudah berada di dalam posisi, Albuquerque dan para kaptennya turun dan masuk ke dalam bot lalu berlayar menuju ke arah jambatan yang telah mereka tawan sebelumnya. Akan tetapi oleh kerana kepekatan malam menyebabkan orang Portugis tidak dapat melihat kedudukan jambatan itu. Bot mereka tersasar di laut agak lama tetapi akhirnya mereka tiba juga di jambatan Melaka. 

Sesampainya mereka di sana Albuquerque cepat-cepat membentuk dua formasi penyerang yang akan dilindungi oleh benteng guni pasir. Satu kumpulan mula berpecah menuju ke tebing sebelah kanan ( Bahagian Pentadbiran ) manakala satu lagi kumpulan ke sebelah kiri ( Upeh ). Di antara dua kumpulan penyerang itu dia meletakkan enam buah meriam besar yang dihalakan ke arah bandar Melaka. Dari atas bakul-bakul berisi pasir yang banyak terdapat di jambatan itu pula mereka meletakkan papan-papan yang tebal yang diambil dari Jong mereka yang telah rosak ketika pertempuran sehari sebelumnya.

Maka terbinalah sebuah platform di atas jambatan itu dengan tiang-tiang yang tercacak dari bakul pasir diikat pada kayu-kayu Jong yang akhirnya membentuk struktur berdinding lengkap dengan tingkap. Platform yang dibina portugis dari bakul pasir dan papan kayu Jong ini menjadikan hujung jambatan yang menghadap kota Melaka itu seperti sebuah kota kecil yang lengkap dengan meriam besar dan sedia digunakan pada bila-bila masa. Di bahagian jambatan yang menghadap Upeh pula dia meletakkan empat buah meriam besar.

Di tengah-tengah jambatan pula ialah pusat arahan Albuquerque . Di sinilah kain layar dari kapal Galleon yang besar digunakan dan dijadikan sebagai bumbung untuk seluruh jambatan. Ia sentiasa berkibar-kibar kerana angin yang bertiup kuat dari arah laut oleh itu hujung kain layar yang besar ini diikat dengan rapi pada tepi jambatan . 

Jambatan itu sendiri dipenuhi dengan bendera Portugis yang dipasang pada setiap tiang yang ada. Di tengah-tengah jambatan pula dipasang dengan bendera diraja Portugal yang berkibar pada sebatang tiang yang paling tinggi. 

Albuquerque mengawal semua operasi penaklukan Melaka dengan teliti dari atas jambatan ini. Dia dibantu oleh para pegawai Portugis yang sangat bersungguh-sungguh dan apabila menjelang subuh semua persiapan untuk operasi menyerang Melaka telah sedia untuk dilaksanakan. Pagi itu semua tentera Portugis yang terlibat bersorak sekuat-kuat hati sehingga mengejutkan orang-orang Melaka . Mereka sedar yang Portugis telah memperkukuhkan pertahanan mereka di atas jambatan dan sekarang sudah bersedia untuk serangan terakhir bagi menakluk kota Melaka sepenuhnya.

Akan tetapi memandangkan kota Melaka itu tersangat besar dan tentera Melaka yang mempertahankannya pula berjumlah agak ramai menyebabkan penduduk Melaka yakin yang Portugis akan dapat dikalahkan dengan mudah. Kemudiannya pastilah orang-orang Portugis itu akan berundur balik ke tengah laut dan pergi meninggalkan Melaka. Malah belum pernah ada sebelum ini dalam sejarah Melaka yang kota ini diserang di tempatnya sendiri dan tertewas ke tangan musuh.

Sultan Mahmud yang lengkap dengan segala persiapan dirajanya duduk megah di atas gajah. Mengapit gajah baginda ialah gajah puteranya dan juga gajah anak menantunya. Mereka bersama-sama keluar dari Istana Besar untuk melihat segala persiapan Melaka bagi menangkis serangan pihak Portugis. 

Sementara itu dari masa ke semasa tentera Melaka masih tetap mencuba menembak meriam ke arah kedudukan Portugis tetapi meriam Melaka hanya dapat menyebabkan merosakkan yang minima. Meriam yang digunakan orang Melaka adalah bersaiz kecil dan tak mampu menembak sasaran yang jauh. Manakala meriam yang bersaiz jauh lebih kecil dari itu sehinggakan boleh dipikul itu pula tersangat kecil dan tak mampu menerobos benteng pertahanan Portugis. Akan tetapi tentera Melaka memiliki banyak senapang Musket yang setakat ini masih efektif untuk megekang kemaraan Portugis.

Albuquerque mengarahkan kepada penjaga-penjaga meriam untuk menembak ke arah orang-orang Melaka hanya jika mereka yakin yang sasaran itu boleh mengena. Albuquerque sendiri yang memilih siapa yang akan menjaga meriam berdasarkan kebolehan unik mereka mengendalikan senjata berat itu. Setiap skuadron bersedia dengan senjata-senjata mereka ke tahap terbaik yang mereka mampu. Sepanjang hari itu kedua-dua pihak hanya berbalas-balas tembakan dan Portugis hanya bertahan di sekitar jambatan manakala tentera Melaka langsung tidak dapat mengusir mereka pergi .Bagitulah situasinya sehingga menjelangnya malam hari berkenaan.

Malam itu Albuquerque bermesyuarat dengan para kaptennya. Mereka telah memutuskan untuk tidak menyerbu ke kota Melaka memandangkan benteng pertahanan Melaka di jambatan telah berjaya mereka kawal. Orang-orang Portugis sendiri telah berhempas-pulas dalam pertempuran sejak beberapa hari ini . Masing-masing sudah keletihan dan ramai juga yang tercedera. Situasi ini menunjukkan mereka belum cukup bersedia untuk menyerbu kota Melaka yang dipertahankan oleh tentera yang lebih ramai bilangannya. 

Untuk keselamatan satu cara yang lebih baik telah dicadangkan. Mereka akan menyerang benteng pertahanan Melaka yang menutup sebatang jalan besar terlebih dahulu, iaitu sehari sebelum memasuki kota Melaka , kemudian membakarnya dan membedilnya dengan meriam supaya roboh. Dengan cara ini mereka dapat menghalau tentera Melaka dari jalan-jalan utama dan dapatlah Portugis mara dengan selamat. Cadangan ini dipersetujui oleh semua. Maka seharian esoknya mereka hanya duduk di atas jambatan itu dan menghabiskan masa dengan berehat dan berjenaka.

Keesokkan harinya pula , semua orang Portugis bersedia dengan skuadron masing-masing dalam posisi berperang. Di tengah-tengah jambatan itu berdirilah lapan orang paderi lelaki. Mereka tidak putus-putus menerima kedatangan tentera Portugis yang mahu membuat pengakuan. Di antara paderi-paderi itu ialah seorang yang bernama Friar Domingos de Sousa dari gereja Order of St. Dominic. Dia telah meninggalkan jemaah di tanah airnya dan memilih untuk menjadi paderi dalam ekpedisi ketenteraan Portugis pimpinan Albuquerque.

Seorang lagi Paderi yang berkhidmat sebagai Paderi peribadi Albuquerque bernama Alvaro Mergulao pula membuat salib dari sebatang tiang lalu menggantung sebuah patung lelaki yang disalib padanya. Kemudian dia memberikan ucapan pengampunan kepada semua Portugis yang ada di situ. Setelah selesai Albuquerque dan semua tentera Portugis mara ke arah tembok pertahanan Melaka sambil membunyikan trompet. Dalam hatinya Albuquerque berdoa agar tuhan membantunya.

Portugis mara di atas daratan dengan berhati-hati kerana mereka telah diberitahu oleh rakan mereka yang pernah ditawan oleh Sultan Melaka dahulu bahawa kawasan pantai Melaka dipenuhi dengan damak beracun. Oleh itu Portugis mengarahkan hamba abdi mereka untuk meletakkan banyak papan kayu di atas tanah supaya dapat menjadi laluan tentera Portugis yang selamat untuk berpijak tanpa risiko terkena damak-damak beracun itu.

Albuquerque dan orang-orangnya mara sambil tetaplah mereka berdoa kepada St. James dengan bersungguh-sungguh sehinggalah mereka semua sampai ke garisan pertahanan tentera Melaka. Kapten Joao de Lima mara bersama orang-orangnya ke posisi utama iaitu di sebuah jalan besar yang menuju ke arah masjid Agung Melaka. Ramai tentera Melaka telah siap berkumpul di situ demi untuk mempertahankan masjid Agung Melaka dari menjadi mangsa dibinasakan Portugis.

Kapten Fernao Gomes dan orang-orangnya pula mara ke posisi lain iaitu sebuah jalan yang berhubung terus dengan jambatan tempat Portugis bertahan. Apabila kedua-dua skuadron ini telah sampai ke posisi masing-masing mereka kemudiannya berhenti tanpa bergerak sedikit pun. Hanya bendera diraja Portugal yang mereka bawa sahaja yang berkibar-kibar ditiup angin. Paderi yang membawa salib dalam skuadron itu juga tidak berkata apa-apa. Mereka hanya memandang ke arah tentera Melaka yang berada di belakang garisan pertahanan.

Kemudian, secara serentak kesemua tentera Portugis pun mara menyerbu lalu menyerang kedudukan tentera Melaka dengan beraninya. Serangan tentera Portugis itu sangat hebat sehinggalah tentera Melaka yang tidak pernah berpengalaman dalam peperangan seumpama itu mula terhimpit. Akhirnya setelah puas diasak maka tentera Melaka lari meninggalkan benteng pertahanan Melaka. Mereka lari menuju ke arah kota Melaka dan Portugis yang sudah berjaya menawan benteng itu segera mengejar mereka yang lari itu.

Albuquerque meninjau dari jauh kejayaan Portugis menawan benteng itu. Dia nampak tentera Portugis mula mara menuju masuk ke kota Melaka. Maka Albuquerque dan orang-orangnya yang berda di belakang mara lalu mengambil tempat di posisi benteng pertahanan yang baru ditawan Portugis itu. Albuquerque mengarahkan tentera dan pengawal peribadinya untuk meleraikan benteng Melaka itu dengan mencabut tiang-tiang kayu yang tercacak di atas tanah. Mereka juga menggunakan cangkul-cangkul yang mereka bawa lalu menimbus parit yang dibina oleh tentera Melaka. 

Dengan kejayaan menawan benteng ini maka Portugis mendapat akses mudah kepada sebatang jalan utama di belakangnya. Melihat ramai tentera Portugis dari skuadron utama yang semakin jauh masuk ke kota Melaka maka Albuquerque mengarahkan trompet dibunyikan bagi memberi isyarat kepada tentera Portugis agar berhenti. Apabila mendengar bunyi trompet itu, tentera Portugis yang sibuk mengejar tentera Melaka mula berhenti lalu berpatah balik untuk bergabung dengan kumpulan utama.

Sementara itu skuadron Kapten Dom Joao de Lima dan para pegawainya telah berjaya mara sehingga menuju ke arah hadapan masjid. Di situ mereka telah berdepan dengan ramai tentera Melaka yang berkubu di dalam masjid. Orang-orang Melaka telah bermati-matian mempertahankannya. Ini menyebabkan skuadron kedua sedikit terlewat kerana masih gagal menawan masjid Agung Melaka. Tentera Portugis lalu menggunakan balang-balang berisi serbuk bedil lalu dilontarkan ke arah masjid. Kesan letupan dan kebakaran yang terhasil dari balang-balang itu sangat membinasakan menyebabkan tentera Melaka berundur.

Jumlah tentera Melaka yang gugur kerana serangan di benteng pertahanan dan yang terbakar kerana dibom balang berisi serbuk bedil adalah kira-kira lebih dari 200 orang. Kemaraan tentera portugis terhenti apabila mereka mendapati tentera Melaka yang berundur dari benteng pertahanan yang ditinggalkan tadi mula bergabung dengan tentera Sultan Mahmud di sebatang jalan . Mereka terpaksa menunggu sehinggalah skuadron kedua pimpinan kapten Dom Joao de Lima berjaya memusnahkan dan menghapuskan tentera Melaka yang berkubu di dalam masjid Agung Melaka. Kedua-dua skuadron perlu bergabung di sini sebelum mereka dapat mara untuk bertempur dengan Sultan Mahmud.



Bersambung.





Jumaat, 11 Mac 2016

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 7

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 7


Semua yang hadir mula membuat bising dan bercakap-cakap sesama sendiri. Ada yang tidak bersetuju dan cuba untuk bersikap berkecuali dari tanggungjawab yang diberikan oleh Albuquerque keatas mereka. Seperti biasa mereka menolak tanggungjawab itu balik semula kepada Albuquerque kerana Albuquerque adalah ketua bagi armada ini. Mereka memberi alasan yang mereka semua adalah rakyat Portugal yang setia kepada Raja, dan sebagai orang Portugis yang yang setia maka mereka semua bersedia untuk mati demi untuk tuhan dan Raja mereka. Mereka akan bersedia menurut arahan Albuquerque selaku pemerintah untuk armada ini, dan bersedia membuat apa sahaja yang Albuquerque arahkan walaupun untuk mati demi untuk tuhan dan Raja.

Oleh itu terpulanglah kepada Albuquerque untuk memberikan mereka arahan. Semuanya tertakluk kepada dia, dan Albuquerque perlu menilai dan merancang semua benda dengan teliti. Apa yang telah dimulakannya perlu disudahkan dengan sebaiknya kerana itu adalah takdir dari tuhan mereka.

Apabila Albuquerque mendengar jawapan para kaptennya yang masing-masing meletakkan tanggungjawab menyerang Melaka di atas bahunya, maka bangunlah Albuquerque lalu berkata:

"Tuan-tuan sekalian, saya sedar akan tanggungjawab yang kamu semua berikan kepada saya , yang saya sedia menerimanya dengan rela hati. Saya merayu supaya kamu semua mendengar betul-betul satu pendapat saya ini iaitu , adalah elok, jika kita menakluk Melaka , kemudian membina sebuah kubu di dalamnya, atau adakah cukup dengan hanya menyerang kota itu dan menjarah semua harta bendanya sahaja dan kemudiannya kita semua bertolak balik ke India?".

Semua yang ada menjawab pertanyaan Albuquerque itu dengan menyatakan mereka sudah pun memberitahu jawapan mereka sebelum ini dan bersedia untuk berbuat apa sahaja, termasuk membina sebuah kubu di Melaka, malah sanggup membina dua buah kubu jika perlu. Albuquerque mengarahkan setiausahanya Pero de Alpoem, yang juga selalu hakim armada, untuk menulis sebuah perjanjian yang menyatakan apa yang telah dipersetujui dan akan disimpan sebagai dokumen penting.

Kemudian setelah selesai, Albuquerque mengumumkan kepada para kaptennya, "Tuan-tuan, saya dengan ini memutuskan untuk kita pergi menakluk Melaka dan, selepas ianya ditawan sebuah kubu akan dibina diatasnya. Dengan izin tuhan".

"Kita semua telah pun terlibat. Kamu semua, boleh pergi dan bersiap sedia untuk berperang. Masa akan menunjukkan kepada kita apa hasilnya".

Para kapten Portugis pun bersurai ke kapal masing-masing dan memulakan persiapan berperang seperti yang diarahkan.

Albuquerque pula, sibuk membuat pertimbangan perkara-perkara yang mungkin akan berbangkit ketika operasi serangan dimulakan . Dia mengambil kira jika Portugis pergi menyerang Melaka dengan membawa pertempuran di daratan, armada ini akan terbiar di tengah laut tanpa ada sesiapa yang menjaganya. Akibatnya dia mengarahkan Pero Lopes,  jurumudi untuk armada dan Bartholomeu Fernandes, master untuk kapal galleon Albuquerque, sebaik sahaja hari mulai malam untuk mengumpulkan semua bot kecil dari kapal-kapal lain. Setiap bot akan dinaiki oleh enam orang lengkap dengan senjata, mereka ini akan ditugaskan untuk berjaga dan mengawasi seluruh armada . Tujuannya supaya apabila armada Albuquerque berlabuh betul-betul berhadapan dengan kota Melaka maka adalah penting untuk menghalang pihak musuh daripada menghampiri kapal-kapal Portugis atau cubaan untuk membakarnya.

Seterusnya Albuquerque membahagikan tugas kepada kapten-kaptennya untuk misi jahat menyerang dan menakluk empayar Melayu Melaka seperti berikut:

Garcia de Sousa diarahkan membawa 100 orangnya untuk menyerang jambatan. Dia akan dibantu oleh Gomes Teixeira, Bastiao de Miranda, Pero de Alpoem, Joao Pereira, Antonio Raposo dan Luis Coutinho. Kemudian baki orang Portugis yang lain pula mereka dibahagikan kepada dua skuadron. Satu skuadron akan diketuai oleh Dom Joao de Lima manakala satu lagi akan diketuai oleh Fernao Gomes de Melo.

Setiap satu skuadron pula mempunyai beberapa kumpulan kecil lain yang diketuai oleh kapten kapal masing-masing . Jumlahnya seramai 300 orang askar untuk setiap satu kumpulan kapten. Jumlahnya jauh lebih kecil berbanding tentera Melaka tetapi mereka ini sangat terlatih untuk bertempur. Albuquerque sendiri akan mengetuai satu kumpulan yang berbesar dengan kekuatan seramai 400 orang.

Rui de Araujo, perisik dan seorang anti Islam sentiasa mendampingi Albuquerque dan sentiasa dilihat berbincang dan merancang semua benda bersama. Melihat kesungguhan Albuquerque untuk menyerang Melaka , Araujo berkata bahawa orang Portugis tidak mempunyai askar yang cukup untuk melawan Melaka yang lebih ramai dan mempunyai armada laut yang besar. Walaupun Portugis berjaya menawan benteng pertahanan Melaka mereka memerlukan kekuatan yang ramai untuk bertempur secara bersemuka dengan tentera Melaka. Akibatnya nanti Portugis akan mengalami kehilangan yang besar. Melainkan jika Albuquerque mencetuskan kebakaran di sebahagian kota Melaka.

Albuquerque kecewa mendengar nasihat Araujo itu lalu berkata jika kota itu dibakar maka tiada apa lagi yang tinggal untuk orang-orangnya . Rui de Araujo lalu berkata:

"Tuan, walaupun jika Tuan membakar kota Melaka itu, semua harta yang terbaik masih akan tersimpan di dalam gudang-gudang yang diperbuat daripada batu yang kukuh. Separuh daripada bangunan gudang itu berada di dalam tanah manakala pintunya pula sangat kukuh. Maka tidak dapatlah ia terbakar dan semua harta dan barang dagangan mahal yang disimpan di dalamnya masih akan selamat".

Mendengar penjelasan Rui itu membuatkan Albuquerque berasa lega. Akhirnya dia mengambil Rui de Araujo untuk membantu skuadron Antonio Fernandes . Antonio Fernandes ialah seorang Afrika yang telah memeluk agama Kristian dan mendapat pendidikan di Portugal. Dia telah dibeli oleh Albuquerque untuk berkhidmat dengan Portugis. Antonio ditugaskan untuk mencetuskan kebakaran di Kota Melaka apabila skuadron Portugis menghampiri tembok pertahanan Melaka. Antonio dan Rui akan berpecah dan setiap seorang akan menyerang salah satu sebelah tebing sungai Melaka dan setiap mereka akan membawa 20 obor.

Albuquerque mengambil masa untuk memperhalusi rancangan ini. Kapten-kapten Portugis yang sudah lama mempersiapkan anak buah masing-masing kelihatan teruja untuk menakluk seluruh harta kota Melaka . Mereka mengesa supaya Albuquerque segera menyerang kota Melaka .

Albuquerque mengarahkan semua pelaut untuk terus kekal berada di dalam bot masing-masing pada waktu malam dan terus berjaga. Siangnya pula mereka diperlukan untuk membantu tentera yang akan menyerang daratan .

Setelah memeriksa segala persiapan perang untuk kali terakhir, Albuquerque mengarahkan armadanya untuk bergerak sedekat yang boleh dengan kota Melaka pada waktu malam dan bersiap sedia untuk membedil dengan meriam mereka apabila mendengar isyarat diberikan iaitu bunyi daripada sebuah meriam kecil.

Apabila semuanya sudah sedia Albuquerque sempat untuk makan malam dan tidur sekejap. Apabila tiba tengah malam dan kebanyakan penduduk kota Melaka sedang tidur , ketika Inilah Albuquerque memberikan isyarat dengan menembak meriam kecilnya lalu menyebabkan seluruh armada itu turut sama menembak ke arah rumah-rumah dan tembok pertahanan Melaka.

Bunyi bedilan meriam-meriam itu sangat mengerunkan suasana gelap malam ketika itu. Seluruh kota Melaka terjaga dalam keadaan huru hara. Orang ramai menjerit menangis dan berlari bersama-sama anak mereka , dan mengendong harta-benda mereka di belakang mereka . Masing-masing bertempiaran lari tidak tahu arah mana hendak dituju. Penduduk yang lari ke arah tembok pertahanan mendapati tiada sesiapa pun di situ dan kelihatan banyak peluru meriam yang ditembak Portugis berselerakkan di situ.

Sultan Mahmud, datang dengan menaiki gajah, menyangka yang pertempuran sedang tercetus di pantai , berpatah balik lalu bersembunyi di dalam Istananya yang lebih besar dan kukuh. Dia menyangka dia akan terselamat daripada bedilan meriam Portugis.

Datuk Bendahara datang meninjau bersama dengan sekumpulan tentera , menyedari bahawa orang Portugis masih belum mendarat lalu pergi bergabung dengan tentera Sultan. Dia juga memaklumkan Sultan yang sedang menyorok itu bahawa Portugis belum lagi mendarat. Datuk Bendahara juga memandai-mandai mengumumkan yang Portugis tidak akan bertempur dengan mereka kerana mereka hanya mahu merosakkan kota Melaka dari jauh menggunakan meriam kerana mahu membalas dendam. Selepas itu pasti mereka akan pergi kerana mereka tidak boleh tinggal dengan lebih lama lagi.


Bersambung





Ahad, 21 Februari 2016

Nak baca tapi belum beli lagi, inilah dia Novel 1515 dari Faisal Tehrani


Assalamualaikum

Novel 1515 fiksyen sejarah terbitan kumpulan Utusan. Sayangnya tak ada dijual di Bookcafe.com . Ada jual di Mybooks.com.my tapi nak beli kena daftar jadi ahli dulu. Tak jadi masalah aku memang suka jadi ahli-ahli ni. Tapi, proses mendaftar guna website Mybooks yang masalah. Macam mana nak beli kalau nak daftar pun tak boleh. Dah siap masuk maklumat diri bagai akhir sekali minta masukkan CATHA Tapi haram jadah gambar CATHA tak keluar. Jadi maklumat tak dapatlah disahkan. Tak dapatlah teman membeli pada harga patut. Sungguh-sungguh aku hampa.

Cuba cari pulak di MPH online. Jumpa, tapi harga RM22 tak ada promosi. Terus tak jadi. Suka lagi kalau jadi beli di Mybooks. Sana tawar harga RM18 , dah dapat jimat RM4 . Kan banyak tu.

Akhirnya bertanyalah aku dengan Sheikh Google dan ada jumpa 1515 di books.google.com . Dapatlah baca 122 mula surat yang pertama. Boleh tahan hebat juga cerita rekaan Faisal Tehrani. Gaya sejarawan yang tahu Sejarah.

Insyaallah. Kalau ada jodoh bertemulah jua, kalau hati dah suka membelilah kita.


Sabtu, 20 Februari 2016

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 6

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 6

Albuquerque mendapatkan pandangan daripada para kapten dan orang-orang bangsawan Portugis tentang misi menakluk Melaka. Seterusnya detik serangan dan kejayaan menawan kota Melaka yang terkaya di alam Nusantara. Kejayaan yang tidak pernah dicapai sebelum ini dan tidak akan diulangi lagi.

Para kapten dan orang-orang bangsawan Portugis sudah penat dan berasa sangsi sama ada kota Melaka akan dapat ditawan. Kota Melaka itu terlalu besar dan dipertahankan pula oleh orang-orang Melaka yang mahir berjuang. Sedangkan jumlah tentera Portugis yang masih tinggal sekarang terlalu sedikit dan ramai pula yang tercedera. 

Setiap kapten kapal membincangkan hal ini dengan anak buah mereka di kapal masing-masing. Terdapat banyak kerugian sekiranya mereka tidak dapat menakluk kota Melaka, tetapi ia mungkin boleh menjadi kenyataan jika kota Melaka terus diserang beberapa kali lagi. Pastilah lebih ramai orang Portugis akan terbunuh dan akibatnya nanti timbul masalah kerana terlalu sedikit orang yang akan tinggal untuk menavigasi kapal-kapal Galleon mereka kelak.

Albuquerque pula sentiasa menggalakkan semangat mereka dengan berkata bertapa kayanya kota Melaka itu dan beruntungnya mereka jika dapat menakluk Melaka. Akan tetapi jika Melaka terus-menerus diserang sebegitu ditakuti tidak banyak lagi harta yang akan tinggal di dalamnya. Pun begitu ramai orang Portugis yang berbelah bahagian sama ada hendak meneruskan misi ini atau pulang sahaja ke India. Beberapa masalah lain yang diketengahkan juga menjejaskan keterujaan dan semangat orang-orang Portugis itu.

Banyak benda yang dibincangkan oleh kapten-kapten Portugis di kapal masing-masing itu dimaklumkan kepada Albuquerque dan ini menyebabkan dia berasa menyampah. Tetapi jika tanpa bantuan kapten-kaptennya itu dia diibaratkan manusia tanpa kaki dan tangan. Oleh itu Albuquerque memutuskan untuk membawa semua perkara ini di perbincangan dengan para kaptennya dan orang bangsawan Portugis . Untuk melindungi dirinya hasil perbincangan ini dan pandangan mereka semua akan ditulis di dalam laporan.

Selepas 8 hingga 10 hari berlalu, mereka yang tercedera semakin pulih dan ada yang sudah mampu untuk bertempur sekali lagi. Albuquerque telah mengarahkan supaya mereka yang tercedera ini dirawat dengan seeloknya dan disediakan apa sahaja keperluan mereka.

Kemudian pada hari yang dijanjikan, Albuquerque mengadakan satu lagi mesyuarat dengan kapten dan orang bangsawan Portugis di pejabatnya dalam kapal galleon miliknya. Dia memanggil setiausahanya yang juga merangkap hakim kepada armada ini, Pero de Alpoem untuk menulis apa sahaja yang akan dikatakannya dan apa pula jawapan kapten-kapten Portugis itu dalam bentuk laporan minit mesyuarat.

Apabila mereka semua sudah berkumpul dan duduk dengan tenang di kerusi masing-masing maka bangunlah Albuquerque lalu berhujah:

"Tuan-tuan, kapten dan orang bangsawan, kamu semua sedia maklum bahawa Raja kita yang berdaulat itu mengharapkan kepada kamu semua dan harapan besar Raja itu berada di dalam tangan tuan-tuan sekalian. Harapan Raja itu telah diamanahkan kepada kita dan ia tidak akan lemah atau lenyap selagi badan kita masih dikandung nyawa. Sesiapa yang akan terselamat kelak akan memberitahu akan pencapaian kita di sini, dan saya, yang telah menyaksikan sendiri dengan mata saya apa yang telah terjadi setakat ini dan saya boleh menyatakan bahawa apa yang kamu buat dan daripada penat lelah kamu itu saya jamin Raja kita, yang berdaulat , akan berterima kasih dan baginda akan memberi ganjaran setimpal kepada kamu semua".

"Kamu, tuan-tuan sekalian , sedia maklum yang kita semua telah diarahkan untuk berlayar ke Selat Melaka , atas perintah Raja , dengan misi untuk menamatkan penguasaan laluan perdagangan rempah oleh perdagang-perdagang Islam yang boleh memudaratkan perdagangan milik Raja kita. Kita meletakkan sepenuh usaha kita untuk menjayakan misi ini. Kita sedia maklum bahawa kita akan menempuh pelbagai cabaran yang akan membantutkan usaha kita. Tetapi demi untuk mengelakkan armada ini mengalami kerugian, kita telah pun bersetuju untuk berlayar ke Melaka untuk membebaskan orang-orang Portugis dan untuk menuntut bela kerana penduduknya yang membunuh dan merompak kita. Tuhan telah membawa kita semua ke sini selepas ahli majlis bermesyuarat dan telah diputuskan untuk kita berperang dan kamu semua cukup yakin yang kota ini akan menjadi milik kamu dengan izin tuhan".

"Tetapi, nampaknya ada antara kamu yang masih tidak yakin sekiranya kota Melaka dapat ditawan, dapatkah kita membina sebuah kubu dan seterusnya mengendalikannya. Jika khabar ini benar, Raja kita yang berdaulat, akan menganggung kerugian, contohnya perbelanjaan yang ditanggung oleh armada ini dan kehilangan nyawa anak kapalnya. Selain itu juga, setiap kerugian ini tidaklah seberapa dan kita akan menanggung kerugian yang lebih besar, kerana kota ini adalah emporium untuk semua jenis ubatan dan barangan berharga yang dibawa oleh perdagang Islam dari serata tempat dari sebelah Timur dan dari sebelah Arab. Kapal-kapal mereka sentiasa datang ke sini penuh dengan muatan. Dengan berlayar di antara pulau-pulau mereka dapat mengelak dari bertembung dengan kapal-kapal kita. Ubat-ubatan yang mereka bawa dijual di bandar Kaherah, Venice dan serata tempat di Timur dan Barat, sehinggalah sejauh Flanders. Kerana persaingan dari mereka inilah ubat-ubatan yang dijual oleh Casa Da India terpaksa dijual dalam harga yang sangat tidak menguntungkan".

"Mereka pedagang-pedagang Islam ini menjual juga ubat-ubatan di India, setelah membelinya dari Melaka, dan menukarkannya dengan kain dari Cambay, dan kemudian nya dibawa pula ke Melaka. Untuk sekian lama orang-orang Islam dari serata India dan lautan Hindi sudah sangat berkuasa dan kaya-raya, dan dengan itu mereka sangat dominan di dunia sebelah Timur dan sangat berpengaruh kepada raja-raja dan orang bangsawan di negara-negara ini. Dengan kuasa yang ada pada mereka, mereka telah menentang kita di Kalikut dan di seluruh India. Jika tidak kerana kuasa mereka yang kuat itu sudah tentu orang Portugis dapat berkuasa di seluruh India".

"Oleh itu apa sumbangan kita yang boleh kita buat untuk tuhan dan kepada kepercayaan kita selain menghukum orang-orang Islam, dan menghapuskan perdagangan mereka dari Melaka, dan merampas harta mereka, supaya mereka jatuh dari kedudukan hebat mereka sekarang?".

"Inilah tindakan yang patut kita lakukan. Walaupun kita dapat menakluk kota Melaka yang terkaya ini kita tidak akan melakukannya melainkan kita dapat mempertahankan nya dengan sebuah kubu yang akan terus berdiri selamanya, dan kita akan melakukan ini atas nama tuhan dan juga Raja kita, yang kita semua diperintahnya. Kita berjuang untuk menakluk perdagangan di sebelah Timur yang kita harapkan dapat mengumpulkan seberapa banyak kekayaan. Dengan menakluk perdagangan di Melaka dari tangan orang-orang Islam, kita akan memaksa mereka untuk berambus dari India, sesuatu yang akan menjadi kenyataan dengan izin tuhan".

"Menakluk kota ini dan kesemua kekayaannya akan menjadikan kita terbilang, dan menguntungkan Raja kita, yang berdaulat, yang menjaga dan melindungi kita dan keluarga kita. Kita telah pun tiba di sini dengan perbelanjaan yang sangat besar untuk membawa armada ini dan kuasanya dapat membantu kita mencapai kemenangan".

"Jika kita tidak membalas jasa Raja yang menanggung perbelanjaan ini, Raja akan kalah dengan teruknya. Dengan itu patutlah kita membina dengan usaha kita sendiri akan sebuah kubu dengan itu dapatlah kita berkata yang kita menakluk kota ini dengan darah dan senjata kita, dan menyerahkannya kepada Raja dalam keadaan yang sempurna, bersedia untuk berkhidmat kepada Raja, dan dapatlah kita meminta ganjaran untuk keluarga dan anak-anak kita. Pastilah permintaan ini tidak dapat ditolak oleh Raja. Saya kemukakan semua fakta ini kepada kamu semua, wahai tuan-tuan sekalian, supaya setiap orang akan menandatangani dokumen ini sebagai tanda mempersetujui perjanjian ini. Saya lakukan ini untuk mengelakkan saya dari kemungkinan dituduh ketika di hadapan Raja bertujuan untuk menentang saya".

"Saya membuat pengumuman rasmi kepada kamu semua bahawa jika saat ini Melaka mahu menyerah kalah kepada saya dengan membawa seluruh kekayaannya sekalipun, saya tidak akan terima melainkan saya dapat membinanya kepada lebih baik dan kuat. Sudah tentulah dengan membina sebuah kubu yang terkuat di dunia sebelah sini".

"Melaka adalah kota yang paling padat di lautan Hindi dan kedudukannya di tengah-tengah laluan perdagangan yang terkaya. Kamu, tuan-tuan semua, perlu memutuskan apa yang perlu dilakukan, kerana saya tidak akan memutuskannya melainkan seperti apa yang kamu semua putuskan".

Orang-orang Bangsawan mendengar dengan sepenuh perhatian kata-kata Albuquerque itu, yang kedengaran munasabah, kerana pertelingkahan yang diutarakan sebelum ini adalah sangat jelas. Tugas mereka, juga, telah dijelaskan dengan terperinci, dan dengan menandatangani kenyataan itu akan mengesahkan tanggungjawab mereka bersama akan perbuatan untuk menyerang Melaka dan juga tugas untuk membina kubu pertahanan, kerana Albuquerque telah berjanji jika kubu itu tidak akan dibina maka dia tidak akan sesekali menyentuh kota Melaka , dan dia akan membawa armada ini balik ke India.


Bersambung