Rabu, 10 Februari 2016

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 1

Kisah Melaka dari Buku Lendas Da India . Bahagian 1

Maka bertolaklah armada Albuquerque meninggalkan Cochin menuju ke Melaka . Ketika melepasi pulau Ceylon menuju ke arah Pasai Albuquerque terlihat ada dua buah kapal dagang yang juga belayar menuju ke arah yang sama. Albuquerque mengarahkan 2 buah galleon Portugis untuk pergi memintas kapal-kapal itu bertujuan untuk merompaknya. Apabila galleon Portugis itu semakin hampir kapal-kapal dagang Islam yang dikejar itu terpaksa menyerah diri dan menurunkan layar kapal. Albuquerque mendapati kedua-dua kapal dagang itu datangnya dari Mekah menuju ke Pegu dan sarat dengan barangan tembaga, perak, batu karang , kain, kemenyan, minyak Attar dan duit dalam bentuk syiling dari wilayah Aden.

Afonso Pereira diarahkan untuk merompak muatan kapal dagang Islam itu dan membahagi-bahagikannya kepada semua orang Portugis di dalam armada itu. Kemudian setelah habis dirompak orang Portugis membakar kedua-dua kapal dagang itu dan meninggalkan mereka semua untuk mati.

Armada Portugis meneruskan pelayaran sehinggalah nampak daratan negeri Pasai yang kelihatan dari jauh. Di situ orang Portugis bertembung dengan dua lagi kapal dagang yang datangnya dari arah Cambay sarat dengan muatan kain untuk di dagangkan di Banda dan Moluccas. Apabila kapal dagang itu nampak kapal-kapal Galleon Portugis menuju ke arah mereka maka mereka segera menurunkan layar kapal sebagai tanda menyerah. Nuno Vaz dihantar untuk menemui mereka. Dia mendapati kapal dagang ini datangnya dari Cambay menuju ke Melaka. Albuquerque tidak mengapa-apakan anak kapal dagang ini kerana demi keselamatan orang Portugis yang ada ditawan di Cambay. Memandangkan kapal dagang itu juga mahu menuju ke Melaka maka Albuquerque membenarkan mereka belayar bersama armadanya.

Cuaca tiba-tiba menjadi buruk dan angin yang datangnya dari arah Pasai menyebabkan armadanya terkandas selama berhari-hari di tengah laut. Mereka hanya boleh bergerak apabila akhirnya angin berubah bertiup dari arah laut dan dapatlah armada Albuquerque mara menuju Pedir. Sampai di situ mereka melepaskan sauh dan mendarat ke pantai. Diogo Lopes de Sequeira membina longgokan batu untuk dijadikan monument sebagai tanda kedatangan Portugis ke Pedir. Penduduk tempatan yang nampak kedatangan kapal-kapal Portugis itu segera menaiki perahu masing-masing menuju ke arah mereka untuk menjual barangan makanan kepada Portugis. Daripada orang-orang Pedir itu Albuquerque mendapat tahu ada 9 orang Portugis dari ekpedisi pertama yang sempat melarikan diri dari Melaka dan kini berada dalam jagaan Raja Pedir.

Albuquerque gembira mendengar khabar itu dan mengutuskan sepucuk Surat kepada Raja Pedir yang akan dikirim oleh penduduk tempatan itu. Albuquerque meminta supaya 9 orang Portugis itu dihantar kepadanya kerana kedatangan armada perang Portugis kali ini adalah untuk menyerang Melaka kerana Sultan Mahmud telah menawan orang-orangnya. Albuquerque mengingatkan Raja Pedir akan perjanjian damai dan perdagangan yang dibuatnya dengan Raja Portugal. Jika Raja Pedir enggan menurut maka Albuquerque akan meruntuhkan monumen yang dibuat oleh Diogo Lopes de Sequeira sebagai tanda persahabatan itu. Selepas itu Pedir akan dimusnahkan dengan perang.

Apabila Raja Pedir menerima Surat Albuquerque itu dia segera menyerahkan orang-orang Portugis termasuklah Joao Viegas. Mereka semua sihat walafiat dan dijaga dengan baik. Ini kerana Raja Pedir sudah diberi amaran oleh seorang nujum diraja bahawa apa yang akan dilakukan kepada orang-orang Portugis yang lari dari Melaka itu sama ada buruk atau baik akan turut mempengaruhi apa yang akan menimpa Pedir kelak.

Raja Pedir turut memberikan hadiah dan makanan dan turut berpesan bahawa baginda mahu monumen yang didirikan Diogo itu akan kekal selamanya dan Pedir tidak akan sesekali bangun menentang Portugis.

Setelah urusan di Pedir selesai Albuquerque bertolak pula menuju ke perlabuhan Pasai. Perlabuhan ini adalah yang paling utama di pulau Sumatra. Bekas pelarian Portugis memberitahu Albuquerque bahawa tidak berapa lama dahulu seorang anak Raja Pasai bernama Melagia telah berkomplot dengan Datuk Bendahara Melaka untuk membunuh Sultan. Malangnya rancangan mereka telah diketahui Sultan lalu Datuk Bendahara seisi keluarga dihukum bunuh . Manakala Raja Melagia sempat melarikan diri balik ke Pasai. Semasa di Melaka Raja Melagia telah melayan tahanan Portugis dengan layanan yang buruk. Kaki dan tangan mereka telah diikat dan didera.

Apabila Albuquerque sampai di Pasai, dia berlabuh di perlabuhannya. Beberapa orang tempatan datang ke pantai untuk menjual kepada mereka ayam dan makanan. Albuquerque menghantar Joao de Viegas kepada Sultan Pasai membawa hadiah hasil rompakan dari kapal dagang Islam yang datang dari Mekah sebelum ini. Albuquerque menuntut Sultan Pasai menyerahkan Raja Melagia kepadanya. Sultan Pasai enggan menurut dan bertindak menyembunyikan Raja Melagia. Kemudian Sultan Pasai berbohong menyatakan Raja Melagia telah lari setelah mendapat tahu kedatangan Portugis di Pedir sebelum ini.

Albuquerque tahu ini adalah helah Sultan Pasai. Pun begitu Albuquerque berterima kasih atas pemberian banyak lembu, kambing dan makanan dari Sultan Pasai itu kepadanya. Sementara itu Raja Melagia pula telah pun sampai ke Melaka dan segera memberitahu Sultan Mahmud akan kedatangan armada perang Portugis itu di Pedir dan kini berada di Pasai. Raja Melagia berbuat begitu agar maklumat berharga ini akan membuatkan Sultan Mahmud mengampunkannya . Sultan Mahmud berbesar hati atas keikhlasan Raja Melagia dan mengampunkannya .

Kemudian armada perang Portugis bertolak dari Pasai dan terus berlayar hampir dengan kawasan pantai. Di pertengahan jalan armada Albuquerque bertembung dengan kapal laut Melayu yang paling besar dilihatnya. Ia datang dari arah pantai Malabar dan sarat dengan muatan kain mahal sesuai untuk golongan bangsawan. Albuquerque gembira kerana dapat menawan kapal besar itu dan berjanji kepada anak kapal dagang itu yang mereka tidak akan diapa-apakan. Albuquerque mengarahkan 20 orang Portugis naik ke atas kapal dagang itu supaya ia tidak dapat terlepas lari.

Selepas melewati kawasan beting pasir menuju ke Melaka armada perang Portugis bertembung pula dengan sebuah Jong yang muncul pada waktu fajar. Sebuah galleon diarahkan pergi menuju ke Jong itu dan mengarahkan anak kapal Jong supaya menyerah dan segera meniarap. Anak kapal Jong itu membalas dengan tembakan meriam ke arah kapal galleon Portugis. Mereka menaikkan bendera dan membunyikan dram dan gong tanda bersedia untuk bertempur.

Apabila Albuquerque nampak Jong itu menyerang kapal galleonnya maka Albuquerque mengarahkan seluruh armada perang Portugis menuju ke arah Jong itu. Kapal-kapal Galleon mula menghujaninya dengan tembakan meriam tetapi Jong itu sentiasa bergerak lari sambil tetap membunyikan dram dan gong perang. Kapal galleon Portugis pula mengubah taktik dengan menembak ke arah kain layar dan dengan segera anak-anak kapal Jong itu menurunkannya kerana tidak mahu kain layar itu rosak.

Sungguhpun kapal Jong itu sudah dapat dihentikan tetapi dinding Jong itu tersangat tinggi dan orang-orang Portugis tidak dapat memanjatnya. Badan Jong itu pula terdiri daripada empat lapisan kayu tebal menyebabkan peluru meriam Portugis langsung tidak dapat menembusinya.

Benci kerana seluruh armadanya tidak dapat berbuat apa-apa ke atas hanya sebuah Jong besar itu, Albuquerque mengarahkan orang-orangnya bersedia untuk bertindak lebih ganas. Albuquerque yang menaiki galleonnya yang bernama Flor de la Mar antara galleon yang paling besar berbanding galleon lain bergerak menghampiri Jong besar itu. Walaupun Flor de la Mar adalah galleon yang paling besar tetapi ia masih tidak dapat menandinggi ketinggian Jong besar itu. Dari Flor de la Mar orang-orang Portugis cuba untuk memanjat naik tetapi ditentang habis-habisan oleh anak kapal Jong yang bertempur dengan beraninya mempertahankan Jong mereka.


Bersambung


Tiada ulasan:

Catat Ulasan