Ahad, 7 Februari 2016

Melaka ketika dan selepas Portugis . Bahagian 3

Utimutiraja membalas pesanan Albuquerque itu dengan menjelaskan memang benar dia telah mengarahkan orang-orangnya untuk membantu Sultan Melaka. Tetapi itu semua hanyalah sandiwara sahaja. Supaya Sultan Melaka tidak syak apa-apa. Lagipun Utimutiraja hanya memberikan bantuan yang kecil, bukanlah kerana niatnya tetapi dia terpaksa kerana Utimutiraja adalah seorang berbangsa asing. Jika dia tidak memberikan apa-apa bantuan langsung kepada Sultan pastilah dia akan dimurkai. Atas alasan ini dia berharap Albuquerque akan mengerti. 

Kerana pertolongan Utimutiraja yang tidak sepenuh hati ketika serangan Portugis ini menyebabkan Sultan Mahmud bertindak membayar gaji kepada semua orang Jawa . Ini kerana Sultan mendapati mereka orang-orang Jawa di bawah kawalan Utimutiraja ini tidak berjuang dengan bersungguh-sungguh.

Albuquerque menerima alasan Utimutiraja itu. Tetapi Albuquerque mula berhati-hati kerana pada pendapatnya Utimutiraja ini seorang yang bersifat talam dua muka. Albuquerque juga perasan yang orang-orang Jawa tidak berperang dengan bersungguh-sungguh semasa Portugis melanggar Melaka. Tetapi dia tidak tahu jika itu adalah kerana kejayaan hasutan Utimutiraja atau kerana sebab lain.

Afonso de Albuquerque kumudiannya turut mengirim pesanan kepada seberapa ramai pedagang asing yang datang berdagang di Melaka. Menurutnya, sesiapa diantara mereka yang berhajat untuk meninggalkan Melaka, mereka dibenarkan keluar dengan aman.Jika mereka memilih untuk tetap tinggal di Melaka juga dibenarkan selagi mereka tidak terlibat dalam membantu Sultan Melaka itu menentang Portugis. Orang-orang Portugis hanya mahu berperang dengan Sultan Melaka dan rakyatnya sahaja sehinggalah mereka semua tunduk kepada kemahuan Portugis. 

Hasil daripada pesanan yang dikirim Albuquerque ini membuahkan hasil yang memberangsangkan kepada pihak Portugis. Para pedagang dilihat mula berbincang sesama mereka dan akhirnya masing-masing pergi menghadap Sultan Mahmud meminta baginda menerima syarat Albuquerque itu demi keamanan dan keselamatan semua pihak. Para saudagar juga bersetuju untuk memberikan Sultan sejumlah wang yang besar untuk digunakan sebagai pampasan perang. Bagi mereka adalah lebih baik pihak Melaka membayar sahaja pampasan kepada Portugis agar pertumpahan darah dapat dihentikan.

Sultan Mahmud menolak permintaan para saudagar asing itu. Bagi baginda Portugis yang patut dipersalahkan kerana melangar Melaka dan juga telah mencemar kedaulatan negeri Melaka ini keseluruhannya. Nyawa rakyat Melaka yang terkorban wajib dituntut bela dan perhitungan ini hanya boleh diselesaikan dengan darah Portugis itu sendiri. Bukannya dengan menunduk kepada permintaan kurang ajar mereka. 

Para pedagang asing yang datang menghadap itu sangat kecewa dengan pendirian tegas Sultan Mahmud. Di Melaka Sultan berkuasa mutlak dan setiap apa yang baginda katakan adalah hukum yang tidak boleh dilanggar. Kerana kecewa , sudah ada cakap-cakap di kalangan para pedagang itu supaya mereka berpihak kepada Portugis. Mungkin dengan cara ini dapatlah pedagang-pedagang asing ini terselamat dari kekejaman Portugis.

Selepas pengunduran Portugis dengan kapal mereka ke tengah laut, Albuquerque mendapati pihak Melaka telah bertungkus-lumus memperkuatkan pertahanan kota Melaka tidak kira siang atau malam. Kawasan yang terdedah dan mudah dibolosi Portugis itu kini sudah dibina benteng dan pertahanan. Jambatan yang menjadi rebutan itu juga sudah diubah suai menjadi seperti kubu. Lengkap dengan meriam dan tembok kayu setebal dua lapisan.

Albuquerque mula bertindak untuk mensabotaj usaha pihak Melaka itu . Dengan menggunakan sebuah Jong besar milik orang Cina dia meletakkan meriam Portugis di dalamnya dan belayar sehampir yang boleh dengan jambatan itu. Kemudian meriam itu digunakan untuk menembak bertalu-talu ke arah jambatan yang sedang giat diperkuatkan oleh orang-orang Melaka itu. 

Tetapi oleh kerana air yang surut, halangan beting pasir dan juga jarak Jong yang masih jauh Albuquerque hanya dapat mengacah sahaja dan untuk menakutkan pihak Melaka. Dia sendiri tidak mahu merosakkan jambatan itu . Sebaliknya Portugis hanya dapat membedil bangunan-bangunan yang lebih tinggi dari jambatan itu dan yang mudah dijadikan sasaran.

Apabila air mula pasang, Portugis cuba membawa Jong besar itu memasuki muara sungai Melaka tetapi gagal kerana air laut yang bergelora. Malah sebuah lagi Jong yang lebih kecil juga gagal berbuat demikian. Akhirnya Portugis membatalkan usaha itu dan memutuskan untuk menunggu ketika air pasang besar semasa bulan purnama yang akan tiba beberapa hari lagi. Ketika itu mereka akan mencuba lagi untuk serangan Kali kedua.

Sementara itu, Jong orang-orang Cina yang yang turut belayar disamping armada Albuquerque mula menghadapi masalah. Disebabkan perang yang memakan masa ini Jong-jong Cina tidak dapat berlabuh di Melaka menyebabkan bekalan makanan mereka mula kehabisan. Orang-orang Cina datang menemui Albuquerque untuk meminta izin supaya Jong-jong mereka dapat dibenarkan belayar pergi mencari perlabuhan lain. Mereka berhasrat untuk pergi ke Siam.

Albuquerque memberi keizinan dan menghadiahkan mereka beberapa bal beras dan beberapa lembaran artikel daripada Eropah. Albuquerque juga meminta mereka membawa seorang utusan Portugis yang akan membawa surat Albuquerque untuk disampaikan kepada Raja Siam. Orang-orang Cina itu bersetuju dengan permintaan itu lalu berlayarlah mereka dengan aman.

Utusan Portugis yang berlayar bersama orang-orang Cina itu bernama Duarte Fernandes. Dia ialah seorang tukang jahit tetapi ditawan dan dipenjarakan oleh Sultan Melaka bersama-sama dengan Rui de Araujo semasa ekpedisi pertama Portugis dahulu. Disebabkan lamanya dia ditawan Duarte Fernandes telah dapat mempelajari bahasa Melayu dan sudah dapat bertutur dengan baik. Dalam surat itu Albuquerque menjelaskan akan kedatangan Portugis dan situasi terkini di Melaka. Dia bersumpah dengan nama Raja Portugal dan kedaulatannya bahawa Portugis tidak akan sekali-kali meninggalkan Melaka sehinggalah Sultan yang kejam dan orang-orang yang bersekongkol dengannya dimusnahkan. Albuquerque menambah lagi bahawa sekiranya Portugis berjaya, dia sendiri akan memberitahu Raja Siam itu akan berita kemenangan Portugis dan akan mempelawa orang-orang Siam datang menetap di Kota Melaka. Ini supaya dapatlah Portugis dan Siam bersahabat baik. 

Yang sebenarnya niat Albuquerque berbuat demikian adalah untuk menghapuskan orang-orang Islam dan mengusir mereka terus dari Melaka. Albuquerque tahu yang selama ini Melaka berdegil tidak mahu tunduk kepada pengaruh Siam. Dengan menjalinkan hubungan ini Albuquerque berharap Raja Siam akan sentiasa memusuhi Sultan Melaka sebagaimana yang sebelumnya. Dia yakin benar yang Raja Siam itu pasti gembira sekiranya Sultan Melaka dapat ditewaskan.

Setelah pemergian utusan Portugis bersama orang-orang Cina yang bersekongkol dengan Albuquerque itu belayar pergi ke Siam, Albuquerque mula menunggu sehingga air pasang besar tiba. Hanya dengan air pasang besar sajalah Jong pemberian orang-orang Cina dapat memudik masuk ke muara sungai Melaka. Memandangkan tiada apa yang dapat dilakukan oleh Portugis sepanjang tempoh menunggu itu maka Albuquerque dilihat seolah-olah memberikan masa kepada Sultan Melaka untuk berfikir semasak-masaknya. Perkara yang dilihat sama seperti yang pernah dilakukannya ke atas Raja Ormuz.

Albuquerque mula mengkaji plan jangka panjang sekiranya Portugis berjaya menawan Melaka. Laporan risikan Rui de Araujo berkenaan topografi Melaka mula diteliti. Menurut laporan itu, Portugis akan menghadapi masalah untuk mendirikan kubu mereka kerana ketiadaan batu di Melaka yang boleh digunakan. Keadaan tanahnya juga adalah berpaya. Sekiranya Portugis berjaya maka Albuquerque akan terpaksa membina kubu pertahanan daripada kayu yang boleh diperolehi dari hutan.

Galleon Portugis juga menghadapi masalah apabila semakin kekurangan ubat bedil dan senjata. Di dalam armada itu hanya ada seorang tulang besi dan dia tersangat sibuk pada setiap hari memperbaiki senjata yang rosak. Albuquerque mula risau akan bekalan tenaga kerja yang dilihatnya sangat terhad di dalam armadanya itu. Bagaimana dia hendak membina kubu daripada kayu itu kelak, tambahan pula terdapat tanda-tanda penyakit taun boleh merebak dan jika orang Portugis terus bekerja berat membina kubu itu nanti pastilah mereka akan jatuh sakit. Akhirnya nanti Albuquerque juga yang akan rugi apabila kubunya tidak dapat disiapkan dan orang-orangnya pula mati.

Albuquerque semakin pening memikirkan masalah yang akan dihadapinya nanti. Namun semua itu terpaksa ditolak ke tepi kerana demi nama Raja Portugal dia wajib menakluk Melaka walau dengan apa cara sekalipun. Lagipun dia tidak mahu nama Portugis akan tercemar sekiranya Sultan Melaka yang kejam itu tidak dapat dihukum. Sudah banyak usaha dan wang yang digunakan untuk membawa armada lautnya merentas perjalanan yang sukar ini untuk datang ke Melaka. Tidak mungkin dia boleh kembali dengan hanya bertangan kosong sahaja.


Dilihatnya jauh-jauh ke arah kota Melaka. Masih terdapat pergerakan orang-orang Melaka yang sibuk membina pertahanan yang semakin kukuh dari hari ke hari. Jika Albuquerque masih menunggu lama lagi pastilah Sultan Melaka akan sempat membina pertahanan yang cukup kukuh. Ketika itu usaha askar Portugis yang jumlahnya jauh lebih kecil berbanding tentera Melaka itu pastilah akan menjadi bertambah sukar. Albuquerque juga masih tidak dapat melihatkan dimana armada laut Melaka yang gah itu berada. Sekiranya armada laut Melaka itu tiba-tiba muncul maka Portugis akan menghadapi jalan yang tersangat sukar dan tidak menguntungkan.

Setelah puas berfikir akhirnya Albuquerque membuat keputusan memanggil mesyuarat bersama kapten-kapten kapal. Apabila dibincangkan tentang masalah, cabaran dan plan jangka panjang Portugis maka diantara mereka yang hadir itu mula bertelagah sesama sendiri. Ada yang mahu menghentikan semua usaha ini kerana dilihat sebagai sesuatu yang sia-sia dan mengsyorkan Portugis balik sahaja ke Goa. Ada pula yang menyokong untuk terus tinggal dan berjuang. Akhirnya setelah lama berbincang maka kata putus pun dicapai. Mereka sepakat untuk teruskan misi ini memandangkan mereka telah datang dari jauh dan tidak mahu semuanya berakhir begitu sahaja.

Albuquerque sendiri bertekad untuk meneruskannya walaupun ada antara kapten-kaptennya yang tidak lagi bersetuju memandangkan orang-orang tawanan Portugis yang ditawan sudah dapat dibebaskan. Albuquerque masih yakin dan percaya yang Portugis boleh menang dengan gemilangnya. Jika mereka menang maka nama Portugis akan terkenal sehingga ke seluruh rantau alam Melayu. Dengan ini dapatlah mereka menyekat perkembangan agama Islam yang semakin tersebar luas. Di dalam hatinya, Albuquerque memandangkan setiap orang Islam itu sebagai keji dan jahat. Seumur hidupnya dia sentiasa memeranggi mereka dan sering kali juga dia memperoleh kajayaan demi kajayaan.

Akhirnya air pasang besar pun tiba ketika bulan purnama dan Albuquerque sudah tidak sabar-sabar lagi untuk membawa Jong besar itu masuk ke muara sungai lalu membawa mereka terus sehingga ke jambatan. Dia mengarahkan Antonio de Abreu iaitu anak kepada Garcia de Abreu, seorang bangsawan Avis supaya mempersiapkan semua bekalan dan senjata untuk serangan kali ini. Setiap askar Portugis sudah bersiap siaga dengan baju besi dan perlindungan masing-masing.

Apabila Jong besar itu berjaya melepasi beting pasir dan mula menghampiri jambatan mereka dihujani dengan tembakan meriam dari askar Melaka. Peluru meriam itu yang disalut besi plumbum membolosi dinding Jong dari sisi ke sisi dan membunuh ramai askar Portugis. Dalam kekecohan itu Antonio de Abreu telah ditembak dengan senapang Musket Melaka di bahagian dagunya. Sebahagian tulang dagunya hilang bersama-sama dengan sebaris gigi. Akan tetapi dia masih terselamat dan akhirnya akan terus hidup selepas perang ini dengan dagu yang cacat.


Bersambung









Tiada ulasan:

Catat Ulasan