Ahad, 7 Februari 2016

Melaka ketika dan selepas Portugis . Bahagian 1


Bagaimana Afonso De Albuquerque mendarat dan berjaya menawan jambatan Melaka .

Selepas dipersetujui di dalam mesyuarat antara kapten-kapten kapal, Afonso De Albuquerque mula membahagikan tugas kepada orang-orangnya untuk menyerang kota Melaka. Albuquerque sendiri akan mengetuai skuadron pertama yang akan melancarkan serangan ke atas jambatan Melaka bersama-sama dengan kapten kapal yang lain . Antara kapten lain yang akan turut terlibat dalam serangan berdarah itu ialah Duarte de Silva, Jorge Nunes de Leao, Simao de Andrade, Aires Pereira, Joao de Sousa, Antonio de Abreu, Pero de Alpoem, Dinis Fernandes de Melo, Nuno Vaz de Castelo Branco, Simao Martins dan Simao Afonso.

Skuadron kedua pula akan menyerang ke arah kawasan bandar Melaka iaitu sebuah kawasan yang menempatkan Masjid Agung Melaka. Kedudukkannya bersebelahan dengan Istana Sultan.Dalam skuadron yang akan menyerang bandar ini terdiri daripada kapten D.Joao de Lima, Fernao Peres de Andrade, Bastiao de Miranda, Gaspar de Paiva, dan Jaime Pereira Teixeira . Semoga mereka semua kekal terlaknat selamanya.

Matlamat serangan kali ini ialah sebaik sahaja pihak Portugis mendarat di pantai Melaka mereka perlu segera menawan jambatan Melaka dan bertahan di sana . Ini penting kerana jambatan itu merupakan penghubung di antara kedua-dua bahagian bandar. Semua jalan utama di Melaka menuju ke jambatan ini. Maka mereka yakin yang orang-orang Melaka akan bermati-matian mempertahan jambatan ini. Sekiranya misi menawan jambatan ini berjaya maka pihak Portugis akan memperoleh kelebihan strategik yang besar selain mempunyai tapak yang kukuh untuk langkah ketenteraan seterusnya.

Setiap hari orang-orang Cina yang bersahabat dengan Albuquerque datang melawat kapten Portugis itu. Mereka nampak betapa Albuquerque bersungguh-sungguh menawan Melaka kali ini dan ingin mengambil kesempatan yang ada. Mereka ialah pedagang Cina yang menyebelahi Albuquerque dan turut menyatakan hasrat untuk membantu Portugis mendarat ketika serangan kelak. Kerana orang-orang Cina ini merasakan telah dianiaya oleh Sultan Mahmud Shah.

Albuquerque berterima kasih atas bantuan orang-orang Cina ini tetapi dia menolaknya dengan baik . Albuquerque menyatakan kepada orang-orang Cina itu bahawa Portugis tidak pernah meminta pertolongan sesiapa pun ketika menentang orang Islam kerana bagi mereka Tuhan akan memberi mereka bantuan yang diperlukan. Kerana pengabdian ini maka orang Portugis akan menyerang Melaka pada hari raya agama mereka ( St. James eve ).

Pun begitu Albuquerque ada meminta satu pertolongan daripada orang-orang Cina itu . Dia meminta agar dipinjamkan beberapa buah jong Cina kerana pihak Portugis kekurangan kapal untuk mendaratkan semua tentera Portugis ketika operasi besar-besaran itu kelak. Dia juga berharap orang-orang Cina akan belayar mengikutinya tetapi cuma memerhatikan dari jauh untuk melihat bagaimana Portugis berperang . Ini supaya orang-orang Cina itu kelak dapat memberitahu Maharaja mereka akan keberanian Portugis dan dengan itu dapatlah pihak Portugis dan China bersahabat baik . Berita ini menyenangkan hati orang-orang Cina itu dan mereka pun bersetuju dengan permintaan Albuquerque.

Pada subuh keesokkan harinya iaitu pada hari raya St.James, trompet dibunyikan dan semua kapal Portugis membuat formasi menggelilinggi kapal galleon Captain-Major's. Seorang paderi membacakan ayat pengampunan dengan kuat dan semua orang Portugis yang berada di atas kapal masing-masing diam mendengarnya sambil menunduk. Selepas selesai bacaan itu maka orang Portugis menjadi semakin bersemangat lalu memulakan formasi berlayar beramai-ramai menuju ke daratan. Albuquerque membawa skuadron pertama belayar menuju ke muara sungai untuk misi menawan jambatan manakala kapten yang lain pula membawa skuadron kedua bergerak ke arah bandar seperti mana yang telah ditetapkan .

Ketika skuadron pertama hampir sampai ke daratan Albuquerque memekik "Santiago!" dan trompet dibunyikan lagi . Maka bermulalah serangan yang pertama untuk hari itu. Tentera Portugis menjerit penuh bersemangat mara bertali arus menuju ke medan perang. Di belakang mereka kapal-kapal Portugis melepaskan tembakan meriam membedil ke arah jambatan di mana berkumpulnya ramai orang-orang Melaka .Tembakan meriam itu membunuh ramai tentera Melaka dan menjadikan keadaan kucar-kacir. Suasana gempita dan bunyi orang yang menjerit kesakitan kedengaran di sana-sini. Itu sudah cukup menggerunkan semua yang ada.

Apabila Portugis berjaya mendarat maka berlakulah perlawanan secara berdepan (hand-to-hand fighting) antara Portugis dan tentera Melaka. Dua lokasi yang menjadi tumpuan ialah di atas jambatan dan kawasan lapang di mana kapten D.Joao de Lima ditugaskan. Segerombolan tentera Melaka bertambah ramai maju ke arah Portugis di dua lokasi ini. Mereka orang-orang Melaka berteriak kuat sambil membunyikan senjata masing-masing dengan melaga-lagakannya. Bunyi alatan senjata itu membinggitkan telingga pihak Portugis tetapi tentera Portugis sudah biasa dengan hal itu memandangkan mereka sudah banyak pengalaman berperang dengan orang Islam sebelum mereka datang ke Melaka lagi.

Akhirnya selepas pertempuran yang sengit itu tentera Albuquerque berjaya juga menawan jambatan walaupun dipertahankan dengan bermati-matian oleh tentera Melaka. Tuan Bandar iaitu pegawai Sultan yang ditugaskan mempertahankan jambatan itu masih kekal berada di atasnya. Pihak Portugis datang kepadanya lalu menghalaunya dengan menghunuskan pedang. Lalu berlarilah Tuan Bandar ke arah jalan besar yang menuju ke kawasan luar bandar, Upeh.

Melihat orang besar Sultan Melaka itu berlari di atas jalan membuatkan beberapa orang askar Portugis mahu mengejar dan menangkapnya tetapi dihalang oleh Albuquerque. Dia tidak mahu mengejar kerana ketika ini Albuquerque tidak dapat melihat di mana skuadron kedua Portugis berada. Dia takut jika orang-orang Melaka yang lari itu sebenarnya mahu memperdayakannya masuk ke dalam perangkap . Mungkin orang-orang Islam sedang berkumpul semula di bahagian utara-barat bandar Melaka. Jika hal ini berlaku mungkin tentera Melaka akan menawan semula jambatan. Dari arah belakang Albuquerque menghantar Aires Pereira dan Antonio de Abreu bersama beberapa orang Portugis yang lain untuk menghalang tentera Melaka yang dilihatnya mula cuba berkumpul disebelah lain jambatan. Albuquerque sendiri ketika itu masih sibuk menghalang tentera Melaka yang telah lari tadi daripada kembali ke jambatan.

Dalam serangan ini . Albuquerque mendapati tentera Melaka yang datang menentang para kapten yang dihantarnya di sebelah lain jambatan itu tadi adalah kumpulan baru dan masih bertenaga. Serbuan pertama tentera Melaka yang baru ini menyebabkan tentera Portugis berundur kira-kira dua suku daripada panjang jambatan. Disebabkan ruang jambatan yang sempit hanya barisan depan sahaja yang sibuk menentang Portugis. Di belakang mereka ramai tentera Melaka yang berhimpit-himpit mahu menuju ke depan.

Melihat situasi yang semakin genting Aires Pereira dan Antonio de Abreu memperhebatkan serangan balas mereka. Barisan hadapan tentera Melaka yang tidak mampu bertahan diasak hebat oleh Portugis itu mula berundur . Sesetengah tentera Melaka yang terdesak terjun ke dalam sungai cuba menyelamatkan diri dengan berenang. Akan tetapi di bawah jambatan itu sudah sedia menanti bot milik Portugis. Tentera Melaka yang terjun ada yang terjatuh di atas bot lalu dibunuh oleh pelaut Portugis. Mayat mereka pula dihumbankan ke dalam sungai . Maka ramailah mayat tentera Melaka yang hanyut dibawa arus sungai itu.

Albuquerque lantas datang membantu dua orang kaptennya itu. Dia yang juga sudah agak cemas untuk terus mempertahankan jambatan itu sendirian di sebelah sana mengambil keputusan untuk bergabung dengan dua orang kaptennya itu. Tambahan pula dia masih tidak dapat melihat di mana perginya skuadron kedua Portugis yang ditugaskan menyerang masjid Agung Melaka dan kawasan lapang itu.

Tiga orang pegawai Sultan sudah berjaya dibunuh. Termasuklah Tuan Bandar yang diamanahkan untuk mempertahankan jambatan. Tuan Bandar bukanlah pembesar berbangsa Melayu tetapi seorang berketurunan Bengali. Albuquerque merekodkannya sebagai seorang yang sangat bijak dan licik.

Sementara itu sekumpulan lain unit Portugis dari skuadron pertama yang diketuai oleh kapten D.Joao de Lima dan beberapa orang kapten yang lain telah berjaya juga mendarat selepas pendaratan Albuquerque. Mereka juga ditugaskan Albuquerque untuk membantu menawan jambatan. Kemaraan mereka terhalang kerana sekumpulan tentera Melaka yang diketuai sendiri oleh putera Alauddin dan abang iparnya berada di hadapan mereka. Putera Alauddin tahu Portugis mahu cepat-cepat menguasai jambatan oleh itu baginda telah menempatkan orang-orangnya untuk menghalang Portugis dari memberi bantuan kepada Portugis lain yang kini berkubu di atas jambatan. 

Pertembungan pun berlaku dan menjadi sangat sengit menyebabkan kedua pihak bertebaran berundur di jalan-jalan. Tiba-tiba sekumpulan tentera Sultan Mahmud muncul dari arah jalan yang lain dan menyerang Portugis dari arah belakang mereka.

Unit tentera Sultan Mahmud berjumlah seramai 700 orang. Sultan Melaka itu sendiri menaiki gajah yang dihias kain dan lengkap berperisai. Ada dua ekor gajah lagi yang mengapit di kiri dan kanan gajah baginda. Ramai tentera Melaka yang lari dari Portugis mula berkumpul di belakang tentera Sultan Melaka.

Gajah Sultan Melaka yang dibina di atas belakangnya struktur seperti kota. Dan di dalam struktur kota itu pula ada beberapa orang pemanah yang tak henti memanah. Setiap kiri dan kanan gajah ada beberapa orang gembalanya yang mengarahkan gajah itu berjalan bila diperlukan.
 Formasi skuadron kedua Portugis. Satu kumpulan bertemu dengan Putera Alauddin yang menghalang jalan menuju ke jambatan. Manakala satu lagi kumpulan yang lengkap dengan lembing bertemu dengan Sultan Mahmud yang menaiki gajah. Kelihatan dua ekor gajah pengiring baginda yang lengkap dengan dengan binaan kota di atas belakangnya.

Portugis yang terkepung oleh tentera Melaka yang lebih ramai mula risau jika mereka diserang dari arah belakang. Mereka lantas berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan akan bertemu dengan skuadron Putera Alauddin manakala satu lagi akan bertarung dengan tentera bergajah Sultan Melaka .Beberapa orang kapten Portugis yang ditugaskan berdepan dengan Sultan Melaka mula bersatu dan menggunakan lembing panjang untuk melawan gajah-gajah itu.

Dua daripada gajah itu berjaya dilukakan dengan lembing Portugis. Gajah yang cedera menjerit kesakitan lalu berpusing ke belakang tanpa mempedulikan gembalanya dan orang-orang yang mengawalnya dari atas belakangnya. Gajah itu lalu merempuh barisan tentera Melaka yang asalnya berada di belakang lalu berlari secepat kilat kerana takutkan leaving Portugis. Lajunya gajah itu berlari sehinggakan pihak Portugis sendiri tidak tahu kemana menghilangnya dua ekor gajah itu.

BERSAMBUNG.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan