Ahad, 7 Februari 2016

Melaka ketika dan selepas Portugis . Bahagian 9

Ketika Melaka sedang menghadapi situasi dalaman seperti itu, Raja Kampar yang wilayahnya terletak di bahagian sebelah Timur Melaka di Pulau Sumatera pula merancang untuk berbaik-baik dengan Portugis. Raja itu seorang duda dimana permaisurinya dahulu adalah Puteri kepada Sultan Melaka. Tetapi hubungan Raja Kampar dengan mertuanya Sultan Melaka itu tidaklah baik kerana berlaku perselisihan. 

Raja Kampar tahu masih terdapat beberapa orang besar yang tinggal di Melaka. Dia juga tahu selepas kematian Utimutiraja, Albuquerque terus melantik Pateh Kadir mengantikan tempat Utimutiraja dan kemudiannya Pateh Kadir pula memberontak. Atas sebab ini Raja Kampar telah mengutuskan sepucuk surat kepada Albuquerque supaya membenarkannya datang ke Melaka dan untuk menyatakan kesediaannya untuk berkhidmat di bawah naungan Raja Portugal. Raja Kampar amat yakin berdasarkan maklumat yang diterimanya bahawa orang Melayu Melaka pasti akan menyokong dan melantiknya menjadi ketua bagi mengantikan Pateh Kadir yang memberontak itu. Raja Kampar hanyalah berhasrat mahukan kekuasaan di Melaka dan tidak kisah jika terpaksa tunduk kepada penjajah sekalipun.

Pada fikirannya jika dia datang ke Melaka pastilah lambat laun dia boleh menguasai juga Melaka. Jika caranya itu tidak berkesan dia bercadang menghasut penduduk tempatan supaya keluar beramai-ramai dari Melaka dan membuat penempatan baru di tebing sungai Kampar di dalam wilayahnya.

Sebagai permulaan, Raja Kampar pergi ke sebuah pulau dimana orang-orangnya dikenali sebagai Sapata atau Aguada dalam bahasa Portugis. Di pulau itu terdapat banyak buah lemon yang ditanam oleh penduduk. Dari pulau ini Raja Kampar menghantar beberapa buah bal kayu bermutu tinggi dan getah lakuer kepada Albuquerque. Bahan-bahan ini diperolehi daripada sejenis tumbuhan yang dianggap Raja buah yang tumbuhan di pulau itu. Walaupun pulau kepunyaan Raja Kampar ini bebas dari kekuasan Portugis tetapi Raja Kampar sengaja mahu tunduk kepada kekuasan Raja Portugal dan Albuquerque demi cita-citanya.

Akan tetapi direkodkan bahawa Raja Kampar tidak pernah datang ke Melaka kerana Afonso de Albuquerque tidak bersetuju dengan permintaannya. Walau bagaimanapun ketika zaman Melaka diperintah oleh kapten Jorge de Albuquerque baharulah Raja Kampar dapat datang ke Melaka bersama dengan Pero de Faria dan armada laut dari Selat Sabang.

Tidak lama kemudian, pada suatu hari datanglah utusan dari seorang Raja dari pulau Jawa ke Melaka membawa hadiah dan menyatakan hasrat rajanya itu untuk berbaik-baik dengàn Portugis. Afonso de Albuquerque membalas pemberian Raja Jawa itu dengan menghadiahkan seekor gajah yang diambil dari Melaka kerana gajah sangat bernilai bagi orang-orang Jawa.

Utusan dari Raja Siam juga datang ke Melaka yang diiringgi oleh Duarte Fernandes yang Albuquerque utuskan sebelum ini ke Siam bersama-sama dengan orang Cina semasa perang meletus. Tujuan kedatangan utusan Siam itu ialah kerana Raja Siam mahu mengetahui apakah situasi sebenar di Melaka pada ketika ini, siapakah orang Portugis itu dan bagaimanakah Portugis mampu menewaskan Sultan Melaka. Raja Siam berbesar hati dengan pelawaan Afonso de Albuquerque dan berhasrat agar Siam menjadi sekutu kepada Raja Portugal. Raja Siam menghantar juga hadiah dan surat ke negara Portugal seperti mana yang diterima oleh Albuquerque di Melaka.

Albuquerque menghantar Antonio Miranda de Azevedo dan Duarte Coelho sebagai utusan dan membawa hadiah ke negara-negara jiran yang mahu bersahabat dengan Portugis ini. Salah satu tujuannya ialah untuk membentuk sekutu terutamanya dengan Raja Siam. Raja Siam itu, sejak sekian lama tidak mampu mengalahkan Sultan Melaka berbanding kejayaan Portugis yang dicapai dalam masa yang singkat. Dari semasa ke semasa Raja Siam menghantar juga orang-orang Siam untuk tinggal di Melaka kerana mereka akan dilayan dengan adil seperti mana layanan yang diterima oleh orang Portugis sendiri.

Selepas Siam, Rui de Cunha dan de Miranda juga kemudiannya diutuskan kepada Raja Pegu menaiki kapal yang sama ketika mereka datang. De Miranda akan turun di Tenasserim iaitu dalam wilayah Siam yang menghadap laut dan dari situ dia akan teruskan perjalanan ke kawasan pedalaman Siam menuju Pegu.

Rui de Araujo dan Nina Chatu mendapat tahu yang Albuquerque juga mahu mewujudkan perdagangan dengan pulau Moluccas dan Banda di mana di sana boleh didapati bekalan cengkih, buah pala dan getah lakuer. Ketika kapal mereka bersiap-siap untuk belayar , mereka melepaskan sebuah Jong membawa barang dagangan yang kaptennya seorang Muslim bernama Nakhoda Ismail untuk pergi belayar mendahului mereka. Albuquerque mengarahkan Nakhoda Ismail untuk pergi berlabuh di perlabuhan utama Jawa dan mengumumkan kepada orang-orang Jawa akan penaklukan Portugis ke atas Melaka dan mengajak penduduk Jawa supaya datang berdagang ke Melaka dalam keadaan aman tidak seperti di zaman Sultan Mahmud. Jong Nakhoda Ismail ini dikatakan sarat membawa barangan dagangan Melaka yang datangnya dari seluruh pelusuk dunia.

Dari tanah Jawa Jong Nakhoda Ismail belayar pula ke Moluccas dan juga Banda untuk berdagang di sana. Pengumuman yang sama seperti di Jawa juga diberikan. Afonso de Albuquerque melakukan ini bagi mengelakkan kemerosotan perdagangan dengan Melaka oleh mereka yang masih takut untuk datang setelah mendapat tahu kota Melaka telah ditawan Portugis. Misi ini juga untuk memastikan kapal Portugis yang akan tiba selepas itu ke perlabuhan-perlabuhan utama ini akan dapat diterima dengan baik oleh penduduk setempat.

Nakhoda Ismail berlayar hanya tiga atau empat hari sebelum diikuti oleh tiga kapal Portugis yang diketuai oleh Antonio de Abreu. Kapten Antonio de Abreu inilah yang telah cedera kerana ditembak di dagunya oleh senapang Musket Melaka semasa pertempuran di sungai Melaka. Dua kapal pengiring Antonio itu pula diketuai oleh kapten Francisco Serrao dan Simao Afonso, iaitu seorang kesatria dari Istana Portugal. Mereka semua diingatkan agar tidak mengambil sebarang rampasan atau menangkap sesiapa. Sebaliknya mereka mesti datang hanya untuk kedamaian. Apa jua gelaran yang akan diberikan kepada mereka kelak, mereka mestilah sentiasa bermurah hati dengan penduduk setempat. Selain itu pelayaran tiga kapal Portugis itu adalah untuk melukis peta lengkap kawasan kepulauan Melayu supaya memudahkan pelayaran kapal-kapal dagang yang seterusnya.

Selepas berlepasnya duta dan kapal-kapal Portugis itu, Afonso de Albuquerque mula memikirkan secara serius untuk rancangan membawa sebahagian armadanya balik semula ke India. Untuk itu dia perlu memastikan dahulu urusan di Melaka berjalan dengan lancar walaupun masih ada tanda-tanda penentangan sepanjang kewujudan Portugis di Kota Melaka.

Dia melantik Rui de Brito Patalim, seorang Bangsawan dari kampung Santarem sebagai Kapten yang menguasai kota A Famosa yang kini telah diperkukuhkan pertahanannya dan bertembok tinggi. Patalim diamanahkan untuk mengetuai sebuah pasukan tentera Portugis berjumlah kira-kira 300 orang yang akan tinggal untuk mempertahankan kota Melaka.

Sebagai membalas jasa, Rui de Araujo dilantik sebagai alcaide-mor atau pegawai perbandaran Melaka. Francisco de Azevedo, Pero Salgado dan Joao Jorge sebagai keraninya. Jacome Fernandes sebagai penjaga gudang senjata dan Francisco Cardozo pula dilantik sebagai keraninya. Bras Afonso pula dilantik sebagai penjaga gudang barang dagangan. Diogo Camacho dilantik menjadi pendaftar kematian dan superintendent hospital. Mereka semua ini dianggap orang-orang yang penting dan setia berkhidmat untuk Raja Portugal.

Nina Chatu pula dilantik sebagai Shahbandar dan Gabenor untuk orang asing . Dia juga dilantik sebagai ketua Kadi kepada orang-orang Islam dan Melayu. Oleh kerana Pateh Kadir telah memberontak maka Aregemute-raja dilantik menjadi ketua kepada orang-orang Jawa di Upeh manakala Tuan Colascar menjadi ketua kepada orang-orang Jawa di Hilir. Rui de Araujo yang fasih dan mahir berbahasa Melayu dan adat setempat dikehendaki sentiasa memasang telinga dan memantau ketua-ketua tempatan ini dan tugas yang dijalankan mereka. Mereka semua hendaklah sentiasa patuh kepada Kapten yang menjaga kota Melaka untuk mengelak dari terjadinya sebarang ketidakadilan kepada peduduk Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan